Saturday, June 18, 2011

Kepuasan bagi Wan Sharmila


BIAR pun tinggal serumah masa mereka bersama banyak dihabiskan di Pool Bar.


DALAM menghabiskan masa lapang jadual hariannya, pelakon jelita, Wan Sharmila Wan Muhamad lebih gemar memanfaatkan kekosongan itu dengan bersantai bersama teman baiknya di puncak Trades Hotel, Kuala Lumpur.

Baginya, duduk melihat panorama kota raya yang dihiasi hutan batu itu merupakan satu kepuasan dalam menghilangkan lelahnya berkejar-kejar ke set penggambaran saban minggu.

Berbeza dengan insan lain yang lebih gemar menghabiskan masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti, teraju utama drama Taritirana ini lebih selesa bersantai di Pool Bar hotel berkenaan.

“Di sinilah tempat saya menghilangkan segala tekanan dan merehatkan diri. Rasa seolah-olah hilang segala apa yang terbeban di kepala.

“Boleh dikatakan setiap minggu saya akan meluangkan masa untuk datang ke sini sehingga pekerja di sini pun sudah kenal saya,” ujar lembut anak jati Johor Bahru, Johor itu ketika ditemui S3 di tempat lepaknya itu, baru-baru ini.

Tambah aktres yang mula dikenali dengan watak Tirana itu, apa yang membuatkannya terpukau dengan tempat bersantai itu kerana dia dapat menikmati makanan kegemarannya selain bertukar-tukar cerita bersama dengan teman-teman.

Baginya, kunjungan ke bar berkenaan tidak akan lengkap sekiranya dia tidak memesan kepak ayam, sushi dan kek yang telah menjadi menu wajibnya.

“Apa yang menarik di sini saya boleh makan apa sahaja yang saya mahu. Kepak ayam dan sushi di sini sememangnya sedap.

“Selain itu, sambil-sambil makan saya boleh bertukar-tukar cerita dengan kawan-kawan saya dan yang paling saya suka, di sini kawasannya agak privacy.

“Jadi bolehlah saya hendak buat apa dan duduk macam mana. Nak gelak kuat-kuat pun orang tidak kisah,” ujarnya sambil tersenyum.

Selain itu, ujar Wan Sharmila, setiap kali singah di Pool Bar, dia pasti akan ditemani rakan serumahnya, Tisya.

“Kami memang rapat dan di sini jugalah tempat kami meluangkan masa bersama.

“Biarpun tinggal serumah tetapi hendak berjumpa di rumah amat susah kerana masa kerja kami yang tidak sama.

“Kadang-kadang bila saya balik dia sudah tidur dan esoknya saya bangun dia sudah keluar bekerja.

“Untuk dapat masa seperti ini adakalanya kami terpaksa menghantar Blackbery Messenger (BBM) untuk bertanya masa sesuai datang ke sini,” jelas aktres yang akan tampil dengan drama Si Jundai disusuli dengan tawa manja.

Bagaimanapun, jelas anak bongsu daripada dua beradik itu lagi, selain daripada bersantai, bertukar cerita dan makan, aktiviti yang pasti tidak akan dilepaskan setiap kali bertandang ke hotel berkenaan adalah mendapatkan perkhidmatan urut.

“Dekat sini ada pakej, kalau kita datang selain makan kita boleh berurut. Sambil-sambil duduk begini kita boleh panggil atau pun pergi ke spa di tingkat atas untuk berurut,” jelasnya yang pernah mengikut kelas tarian Linda Jasmin.

Baginya, aktiviti santai seperti itu lebih memberi kepuasan kerana dia bukanlah jenis yang suka aktiviti sukan.

“Saya bukan jenis yang suka aktiviti luar seperti bersukan atau aktiviti lasak bahkan untuk menonton wayang dan membeli-belah juga saya kurang gemar.

“Jadi aktiviti saya lebih untuk lepak-lepak begini. Saya rasa lebih tenang dan seronok apabila dapat duduk bersama dengan kawan baik saya yang seorang ini,” katanya sebelum menamatkan perbualan tengah hari itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: