Saturday, June 18, 2011

Drama Hindustan teman Mariani


TELEVISYEN menjadi penghubung antara Mariani dengan drama Hindustan yang diminatinya.


DUNIA lakonan seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada seniwati veteran, Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail, 78, apabila wajahnya masih lagi menghiasi kaca televisyen (TV) sehingga hari ini.

Mula terjun dalam dunia lakonan sebagai tonggak utama menerusi filem Cemburu pada tahun 1953, nama Mariani terus bersinar sebagai heroin filem Melayu klasik bersama-sama Allahyarham Seniwati Datin Saadiah, Normadiah dan Roseyatimah.

Rakan seangkatan Mariani yang masih dirinduinya termasuk Latifah Omar dan Datuk Maria Menado.

Siapa sangka, biarpun pernah melalui era gemilang suatu ketika dahulu, ibu kepada aktres jelita, Melissa Saila itu merupakan seorang yang peramah dan banyak bercerita.

Kunjungan S3 ke kediaman Mariani di Jalan Peel, baru-baru ini, adalah untuk memaparkan kehidupan seniwati itu di sebalik dunia glamor sebagai anak wayang.

Ternyata Mariani yang mesra dengan panggilan Mummy menjalani rutin hidupnya seperti orang kebanyakan selain bersifat ramah dengan sesiapa sahaja.

Mempunyai 13 orang anak melalui tiga perkahwinan, Mariani kini hidup tanpa suami sebaliknya ditemani cucu.

“Beginilah rutin harian Mummy kalau di rumah, banyak menghabiskan masa di depan TV menonton rancangan kegemaran Mummy iaitu drama-drama Hindustan.

“Kalau filem Hindustan yang orang sekarang rujuk sebagai filem Bollywood, Mummy tidak berapa suka menontonnya kerana kalau adegan menari, bukan main lama.

“Kalau Mummy tak shooting atau keluar ke mana-mana, pukul 9.30 pagi lagi, Mummy sudah mula mengadap TV,” katanya yang tidak akan berganjak daripada tempat duduk sehingga rancangan kegemarannya tamat.

Tambah, kakak kepada Biduan Negara Allahyarham Puan Sri Saloma itu lagi, drama dari negara Mahatma Gandhi itu memberi kepuasan kepadanya.

“Mummy memang minat drama Hindustan kerana ia tiada babak menyanyi macam dalam filem dan jalan ceritanya juga berbeza dari cerita-cerita kita.

“Pelakon mereka juga hebat-hebat kerana boleh menghidupkan karakter yang dipegang. Itulah yang membuatkan Mummy suka tengok drama mereka,” katanya.

Meneruskan cerita, anak kelahiran Tanjung Pagar, Singapura itu, aktiviti hariannya di rumah adalah mengemas dan membersihkan teratak yang dihuni bersama cucunya, Lia Marini (anak angkat Melissa Saila).

Seperti mana kebanyakan wanita lain yang tidak boleh melihat keadaan rumah bersepah, begitu jugalah dengan pelakon filem Nasib Si Labu Labi ini yang tidak betah melihat keadaan rumahnya berselerak.

“Selalunya selepas subuh, Mummy mula mengemas apa yang patut dulu seperti menyapu sampah, bersihkan dapur dan mengelap meja.

“Mummy tidak suka tengok benda bersepah-sepah. Sakit mata dibuatnya,” tambah Mariani.

Kongsi seniwati yang pernah memenangi gelaran Ratu Cantik di Singapura sekitar tahun 1951, dia tidak suka bertandang ke rumah orang.

“Kalau keluar, Mummy ke pasar raya untuk membeli barang keperluan.

“Namun untuk bertandang ke rumah orang dan berbual-bual kosong, itu bukan sifat Mummy. Bukanlah kita ini sombong tetapi Mummy tidak biasa begitu,” ujarnya yang boleh berbahasa Hindi.

Ujar seniwati yang pernah mengimpikan untuk menjadi seorang doktor, dia lebih selesa hidup berdikari daripada tinggal dengan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: