|
|
SABTU lalu, Konsert Pancaindera meneruskan siri penjelajahan buat kali ketiga dalam tahun ini. Lokasinya di Taman Rempah, Pangkalan Rama Melaka, mengambil semangat sempena Pesta Sungai Melaka 2011.
Apabila artis yang terlibat datang ke lokasi dengan menaiki pengangkutan air iaitu bot Melaka River Cruise dari Kampung Morten Melaka, ia bukan satu pengalaman yang biasa. Biarpun air Sungai Melaka dilihat berombak kuat apabila hujan turun sekitar pukul 7 malam, debaran kencang melanda di jiwa setiap artis, tetapi hanya itu satu-satunya cara untuk sampai ke lokasi konsert dengan cepat dan selamat.
Ternyata, situasi itu tak menggoyahkan semangat Mawi, Shahir, Marsha, Adira, Fazli Zainal, Fizo Omar, Kamal Adli, Jehan Miskin, Sivakumar, Super Girls dan pengacara Didie Alias serta Roslan Shah.
Pada sebelah pagi, mereka sanggup meredah kesesakan lalu lintas di lebuh raya PLUS pada cuti umum.
Ditambah pula dengan minggu cuti sekolah menyebabkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka memakan waktu sehingga lima jam.
Sampai saja ke hotel, terus diajak ke Sungai Melaka bagi sesi promosi dengan peminat. Nasib baik tidak ada yang mabuk bila berlama-lama dalam bot walaupun ada yang sudah ‘pening-pening lalat’.
Hanya sempat berehat sekitar dua jam pada sebelah petang, pukul 8 malam
artis sudah bersedia untuk naik bot sekali lagi untuk ke pentas konsert yang diadakan bersempena dengan majlis perasmian Pesta Sungai Melaka 2011 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Acara Konsert Pancaindera dibuka dengan persembahan pertama daripada penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan, Adira.
Membawa lagu penuh inspirasi berjudul Ku Ada Kamu dan disusuli dengan Mawi menyampaikan lagu Serulah Namanya.
Konsert Pancaindera di negeri bersejarah itu disemarakkan dengan celoteh bersahaja Didie Alias dan Roslan Shah. Ada saja lawak jenaka dan aksi lucu yang tak henti-henti menyuntik geli hati pengunjung.
Sekali gus, menjadikan momentum persembahan Fazli Zainal cukup bertenaga sewaktu mendendangkan lagu Bruno Mars berjudul Just The Way You Are dan Harapan apabila segenap ruang pengunjung turut menyanyi bersama.
Biarpun dilihat malu-malu sewaktu membawakan lagu Woosa Woosa, keyakinan kumpulan Super Girl bertambah tatkala mereka menyampaikan lagu popular Wonder Girls berjudul Nobody.
Begitu juga dengan penyanyi Sivakumar yang hangat dengan tarian India sewaktu menyampaikan lagu June Ponal dan Hare-Hare Sambo.
Kemunculan Marsha yang mendendangkan lagu Yang Terbaik dan Manusia membuai pengunjung. Cukup dramatik apabila persembahannya itu diiringi belon berterbangan memenuhi ruangan hadapan penonton.
Pementasan sketsa pendekar mencari kekasih hati daripada Jehan Miskin, Fizo Omar dan Kamal Adli memberi nuansa berbeza menjadikan sketsa pendek selama kira-kira sepuluh minit itu menghiburkan.
Mawi yang muncul buat kali kedua di khalayak cukup bergaya tatkala mendendangkan Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Kian. Ternyata aura anak kelahiran Kulai Johor ini masih bersinar. Bertemu dengan Mawi menjadi peluang keemasan buat orang ramai.
Adira yang muncul mempersona dengan gaun jingga menyanyikan lagu Ilusi juga tidak menghampakan. Tiga bujang kacak, Jehan Miskin, Fizo Omar dan Kamal Adli yang muncul sebagai ‘pengacau’ bukan dirancang, sebaliknya menjadikan persembahan Adira seperti menonton klip video komedi.
Kalau artis wanita lain menerima jambangan bunga, tiga “samseng Kampung Dusun” itu telah menghadiahkan Adira satu pasu bunga besar di pentas, ambil kau.
Shahir yang muncul dengan balutan tangan kiri meraih simpati pengunjung yang rata-rata menanti penampilannya. Biarpun dalam keperitan dek tangan kirinya patah, Juara Akademi Fantasia musim kelapan ini tetap sporting tatkala menyanyikan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan.
Kumpulan Kristal menutup Konsert Pancaindera di Melaka dengan lagu Seragam Hitam dan Selagi Ada Rindu. Belum puas Kristal goyang kepala, acara perlu ditamatkan atas alasan mengikuti tempoh permit acara iaitu sehingga pukul 12 malam sahaja.
Apalagi, aktiviti malam kami tidak terhenti setakat itu sajalah. Atas jemputan, semua artis dan teman media bergegas ke Restoran Elizzat yang terletak di Jalan Hang Tuah atau lebih dikenali sebagai Hang Tuah Mall.
Di situ ahli rombongan dijamu dengan keenakan masakan asam pedas, sambil mendengar alunan piano daripada pemuzik berpengalaman, Ramlan Ab. Rahman. Selain itu suara lunak bekas penyanyi kelab malam sekitar 80-an, Abdul Ghani Hassan (Bob) dan teman-temannya dengan konsep ‘ala 1 Malaysia’ turut kedengaran.
Roslan Shah dan Didie Alias yang begitu ‘sporting’ turut mendendangkan lagu dangdut Memori Daun Pisang sebagai acara penghujung malam berkenaan.
Sepanjang hari di negeri bersejarah, hanya keceriaan yang berbekas. Kami pasti yang terakam dalam minda peminat dan pembaca Mingguan Malaysia, sudah pasti semua yang indah-indah belaka. Terimakasih orang Melaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: