|
|
TEGURAN dan pandangan yang dibuat oleh rakan artis sebelum ini nampaknya langsung tidak menjadi ‘kudis’ kepada bekas artis, Bob Lokman. Nampaknya, Bob langsung tidak kisah dengan permintaan rakan-rakannya supaya tidak terlalu mudah menjatuhkan hukuman kepada anak-anak seni lain pada ketika dirinya sudah memilih satu pentas politik untuk cari makan.
Malah dalam beberapa ceramahnya di pentas parti pembangkang, Bob berterusan menghentam dan menghina artis-artis tempatan yang suatu ketika pernah menjadi teman sepermainannya di gelanggang seni. Malah, Utusan Malaysia juga turut dikaitkan sebagai agen penyebar dakyah dan turut mengkritik apa yang ditulis dalam ahbar ini dengan penuh lantang.
Sebenarnya, tidak ada siapa yang pernah menghalang Bob Lokman dari terus berubah mengikut jalan yang dipilihnya. Apa parti yang Bob mahu masuk, bukan masalah kepada sebilangan besar peminat setia pelawak itu pada dasarnya.
Namun apa yang menjadi masalah apabila Bob masih lagi menjadikan dunia artis sebagai medan kejian dalam setiap siri ceramah yang dihadirinya. Apa sudah jadi Bob? Bukankah satu ketika dahulu Bob merasakan dirinya tersasar jauh dari Tuhan dan ingin kembali ke pangkal jalan.
Pastinya masih ramai yang teringat kata-kata Bob yang mahu mendekatkan diri dengan Tuhan dan dalam masa yang sama Bob tidak mahu mati dalam keadaan yang sia-sia. Tapi rentak Bob sangat berlainan hari ini dan bahasa yang digunakan juga bukan bahasa yang mulia, tak percaya dengarkan sendiri beberapa siri ceramahnya sebelum ini di blog-blog.
Cakap-cakap Bob nampaknya semakin angkuh. Malah dalam beberapa siri ceramah yang terkini juga Bob masih memandang serong orang seni sehingga sanggup menjadikan anak seni sebagai bahan cercaan dalam ceramahnya. Pokok pangkalnya, kenapa Bob mesti berterusan menghina orang seni setelah dia meninggalkan bidang ni? Inikah sifat seorang lelaki?
Tidak mahu isu ini terus dipermainkan atas pentas-pentas politik, Pancaindera mendapatkan reaksi daripada beberapa insan seni yang cukup berpengalaman mengenai isu ini.
Jangan ambil duit royalti
“KALAU dia betul tak suka dengan bidang seni, jangan makan duit royalti yang dia dapat tiap-tiap tahun tu. Rasanya duit royalti yang dia dapat memang banyak. Dia kena sedekah sajalah kepada orang lain. Buat apa nak makan kalau dia sendiri anggap kerja seni ni sesuatu yang hina, betul tak? ” ini ayat pertama yang diluahkan penyanyi Hattan sebaik sahaja diajukan persoalan ini.
Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Biso Bonar ini memohon Bob supaya berhenti menghentam golongan artis seperti giat dilakukan sekarang.
“Saya tak ada masalah dengan dia sebenarnya. Tapi bila dia terus memburukkan golongan anak seni, apa masalah dia sampai nak terus hina orang? Macam tak ada ada satu pun kebaikan pada kami.
“Kalau dia dah jumpa jalan yang dia anggap betul, jalan sajalah! Tak ada siapa yang pernah melarang dia nak berdakwah.
“Tapi adakah betul cara dakwah dia? Bukan saya nak kata jalan dia tak betul tapi bila kita berdakwah atas pentas politik, rasanya itu ada agenda lain. Sepatutnya dia berdakwah kerana Allah,” kata Hattan.
Menurut Hattan, dia sudah mengenali Bob semenjak sekian lama dan menyimpan banyak cerita tentang bekas artis itu.
“ Tapi kita ni jenis yang tidak mahu buka aib dan cerita buruk pasal orang lain. Lantak dialah. Tapi pesan saya, jangan terus main isu anak seni sebab dia juga asal dari situ,” tegas Hattan lagi.
Sambil menyifatkan Ramli Sarip sebagai contoh pendakwah terbaik, Hattan meminta Bob berubah dan menginsafi kesilapan diri.
Tak jadi kudis
SEBAGAI manusia biasa, dia berhak nak cakap apa sahaja. Ingatan Rosyam pada Bob, kata-kata yang keluar daripada mulut penceramah sepenuh masa parti Pas itu tidak akan menjadi kudis bagi sebilangan besar anak seni yang mencari makan melalui bidang ini.
“Saya manusia biasa, saya juga hamba Allah. Jadi tak wajar untuk kita mengata orang tu tak betul, orang ni tak betul sedangkan kita sendiri tak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti.
“Siapa yang dapat menentukan duduk syurga atau neraka seseorang? Kita tak layak untuk “hukum” sesiapa sahaja,” jelas Rosyam.
Jelas Rosyam, anak seni sepertinya juga manusia lain yang perlu mencari rezeki. Cuma, bidangnya sahaja lain memandangkan rezeki Allah itu cukup luas dan terpulang pada mereka untuk duduk di lapangan mana.
Dan paling terkesan, apabila Rosyam berkata dia sudah masak dengan apa juga percaturan, umpatan dan kejian orang lain terhadap mereka.
“Dah biasa sangat kami kena keji. Kita tahu tak semua orang suka dengan kita dan pandangan orang kita tak boleh nak ubat walau tak semua nak seni itu buruk perangai.
“Jadi apa juga kata-kata Bob saya tak ambil kisah memandangkan apa yang dia cakap tak semua betul dan tak semua salah. Ada orang rasa dia sudah jumpa jalan lurus dan bila cakap jalan orang lain tak elok, apa yang mereka boleh cakap.
“Dalam soal ini biar Allah sahaja yang tentukan. Saya berada dalam bidang ini atas keikhlasan dan mahu mencari rezeki yang halal. Tapi percayalah, orang seni dah kebal dengan apa juga caci maki. Letaklah atas pentas politik sekalipun, semuanya tak akan meninggalkan kudis pada kami,” kata Rosyam.
Politik dia murah sangat – Awie
BILA isu Bob Lokman timbul sebelum ini, Awie merupakan orang yang paling lantang mengkritik. Tidak mahu terhenti setakat itu sahaja, Awie menyifatkan orang seperti Bob ini hanya pandai mencari publisiti murah. Menghina orang lain adalah modal mencari rezeki terbaru.
“Ampukan sahaja dosa dia! Saya sendiri tak tahu apa yang dia mahukan. Bila lihat dengan mata kasar kita tahu orang macam Bob mahu mencari populariti, mahu nampak gah macam orang lain.
“Tapi saya berani kata cara dia sangat murah. Bayangkan, menghentam kami untuk menaikkan nama dia dalam bidang politik.
“Bila orang politik macam dia cetus isu seni dengan hentam anak seni yang lain, orang akan tertarik. Media akan main isu itu seterusnya buat dia popular di kalangan pengikut dia.
“Masalahnya politik yang Bob gunakan bersifat murahan. Kalau dia betul-betul sudah jumpa jalan yang lurus, tak mungkin dia akan hina orang lain. Kalau dia sudah insaf semangat persahabatan dan ukhuwah sesama Islam dia akan jaga, bukan menjadikan orang lain sebagai musuh dia,” luah Awie.
Justeru Awie meminta Bob supaya muhasabah diri dan berfikir kembali apa sahaja perbuatannya. Setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan masih belum terlambat untuk Bob menyedari kesilapannya itu.
“Dia kena ingat bagaimana dia membina keluarganya dulu. Dia membesarkan anak dia dengan duit apa? Bukan besar dengan duit dia sebagai anak seni pada masa itu?
“Jadi bila dia dah temu jalan yang lain, kenapa masih nak hina orang seni yang lain? Dan orang yang dia hina tu adalah orang Islam juga dan seharusnya dia beretika kalau nak menarik perhatian orang lain.
“Orang kafir yang dah meninggalkan agama dia pun tak pernah cakap buruk pada agama lama dia. Sebab apa Bob nak cakap buruk pada bidang seni yang dah jadi darah daging dia dahulu?
“Baik dia diam dari cakap banyak. Orang macam dia ni memang bercita-cita nak duduk atas. Nak jadi some body sebab dia no body.
“Dulu masa dia duduk dalam industri pun dia bukan siapa-siapa. Ke kiri tak kena, ke kanan tak betul, ke depan tak juga, ke bawah pun entah. Habis apa yang dia buat sekarang? Tetap pegang mikrofon berucap satu Malaysia macam masa dia mengacara AIM (Anugerah Industri Muzik).
“Bila duduk pentas politik habis semua orang nak dipolitik! Apa kena tu? Jangan sesekali kutuk orang lain sebab dalam agama kita tak pernah setuju dengan cara dia buat. Satu jari tunjuk orang, tiga jari tunjuk diri balik.
“Dah dapat peluang pusing satu Malaysia tu baik dia guna peluang tu baik-baik, bukan hentam sana sini. Kalau betul dia kata dia dah jadi baik, baik dia masuk hutan dan Islamkan Orang Asli yang ada tu.
“Rasanya itu lebih mulia daripada terus mengeji orang. Nak berdakwah tak salah, tapi biar kena dengan jalan,” kata Awie lagi.
Kekecewaan yang diluahkan oleh bekas sahabat-sahabat ini diharap tidak dipandang sebelah mata oleh Bob Lokman. Teruskan perjuangan anda dalam dunia politik kerana itu adalah pilihan peribadi, tetapi rakan-rakan anda juga mempunyai hak untuk tidak dihina dan dinista sesuka hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: