Sunday, June 12, 2011

Kenapa saya tenggelam timbul?




FARAH Asyikin bukan nama baru dalam industri seni tanah air. Wanita ini punya rekod yang cukup bagus sewaktu melangkah sebagai penyanyi pada tahun 1999. Lagu pengenalan berjudul Kembali Lagi Di Sisimu berjaya mengangkat namanya.

Rekod perjalanan sebagai anak seni juga tak usah dipertikaikan. Wanita ini pernah menyertai dua rancangan realiti, Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM). Ketika itu, Farah Asyikin dilihat antara peserta yang memberi persaingan hebat setiap kali beraksi di pentas.

Sekali gus melayakkan diri di tangga ketiga pada kedua-dua pertandingan nyanyian berkenaan.

Apa pun, itu semua cerita dulu. Farah Asyikin sekarang sudah hilang taring. Dia dikatakan semakin hanyut dan jauh dari trek perjalanan seninya. Impian untuk bergelar penyanyi handalan dilihat semakin kabur.

Kalau diimbas semula publisiti yang diberikan terhadap anak kelahiran Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini, boleh disamakan seperti untung sabut timbul. Kebanyakannya lebih menjurus kepada kisah peribadi.

Situasi kurang menyenangkan tersebut sebenarnya turut disedari Farah Asyikin. Prihatin dengan perkara tersebut, dia meluahkan rasa kecewa pada pertemuan di Damansara, pagi Khamis lalu.

“Saya masih aktif seperti dulu. Belum hilang fokus lagi sebab nyanyian masih minat utama saya,” reaksi awal penyanyi ERT untuk filem Pisau Cukur ini menyentuh kedudukannya masa kini.

Pada masa yang sama, wanita berusia 32 ini menyatakan kekesalan tatkala cerita peribadi disensasikan.

Terutama dalam isu melibatkan perkahwinan dengan bekas suami, Dr. Fariz Yahya, saat perceraian dan konotasinya selepas bergelar janda.

Begitu juga dengan kisah pertunangan buat kali kedua yang kemudiannya menemui titik perpisahan. Begitu juga sewaktu dia menjalinkan hubungan bersama seorang jejaka berstatus duda kelahiran Singapura.

Hubungan yang penuh dengan ranjau duri terpaksa ditamatkan pada September tahun lalu atas pelbagai sebab yang tak boleh dinyatakan.

“Kudrat saya juga tak mampu nak menghalang orang dari mengorek kisah peribadi sendiri. Saya sedaya upaya cuba pesong cerita diri sendiri digantikan dengan perkembangan karier saya. Nampaknya, cara itu tak berkesan.

“Tapi bila ia didedahkan kepada umum, terpaksa ditelan bulat-bulat. Tapi kasihan juga pada keluarga sebab mereka turut terkena tempias sama,” ujarnya sayu.

Satu lagi isu yang memercikkan rasa tak keruan Farah Asyikin apabila dia dilabel seksi. Isu pemakaian singkat pada dua peristiwa berasingan pada tahun 2007 dan 2009 itu sebenarnya telah berjaya mengubah persepsi orang sekeliling untuk mempercayai imej terbabit.

“Apabila masyarakat cakap, biasalah anak orang kaya macam saya ini, seksi itu perkara biasa. Saya terus naik angin sebab seksi itu bukan saya. Saya hanya mangsa keadaan saja.

“Jadi, apabila dua perkara yang sama kerap dipersoalkan, buat saya putus harap. Apa pun alasan saya, orang lain sudah tak mahu dengar lagi.

“Lepas itu, saya cuba tukar imej berbaju kurung. Tapi malangnya, ada orang cakap saya nak tiru konsep artis wanita lain, siap melaga-lagakan saya dengan dia. Sedangkan, ketika itu saya ikhlas untuk memakainya,” jelas komposer muda ini bagi memulakan sesi menjawab persoalan berkaitan ‘kemalapan’ dirinya.

Musibah berulang

Perjalanan seni Farah Asyikin ini juga tidak selancar yang disangka. Dia juga kerap ditimpa musibah berulang-ulang saat mahu bangkit semula memperjuangkan karier muziknya.

“Satu peristiwa yang buat saya cukup ‘jatuh’ selepas pemergian arwah Shamrin Fotograf serentak pada hari jadi saya iaitu 11 November 2010. Saya cukup tersentak dengan berita ini. Apalah malang sangat saya ini sehingga arwah meninggal pada hari sejarah sendiri.

“Sedangkan banyak agenda telah dirancang. Kami berdua akan berduet dalam lagu ciptaan saya sendiri berjudul Kamu, Aku, Satu pada tahun ini.

“Sehingga hari ini, saya tak mampu nak menyanyikan semula lagu penuh kenangan itu. Ia adalah permintaan daripada arwah sendiri, mahu saya cipta sebuah lagu rock untuknya pada Syawal tahun lalu,” kata wanita ini mengimbas kenangan sedih itu.

Situasi itu juga menyebabkan semangat dan fokus Farah Asyikin terganggu. Sebab apa yang di rancang berbulan lamanya musnah seiring dengan pemergian Allahyarham.

Kesannya, Farah Asyikin memerap beberapa bulan lamanya di rumah. Memutuskan komunikasi dengan orang-orang dalam industri seni buat seketika.

Mengaku ada penyakit misteri

Darjah semangat untuk terus berkarya Farah Asyikin semakin menurun apabila dia kerap diganggu dengan penyakit misteri. Sejak pertengahan tahun 2005, ada sesuatu yang mengawal emosinya di luar sedar. Umpama gangguan yang membunuh jiwa terutama sewaktu bersendirian.

Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 ini kerap kali dibayangi lembaga yang kadangkala membuatkan dirinya tak tentu hala.

“Ia membuatkan orang sekeliling cakap saya ini pelik. Saya semacam berada dalam dunia sendiri. Pada mulanya saya tak rasa, tapi lama kelamaan saya sendiri ‘melihatnya’.

“Jadi, saya pergi berubat dan semuanya sudah beransur pulih. Konsentrasi saya semakin terarah. Saya juga dah mula rasa selesa untuk berkarya,” katanya bersungguh-sungguh.

Ditanya adakah dia mengetahui dari mana punca gangguan itu datang, wanita ini dilihat menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.

Katanya, perkara yang kadangkala tak masuk akal itu tak perlu diulas. Lebih baik mengelak dari bercerita perkara sebenar kerana khuatir ada yang kata dia sengaja mengadakan cerita.

“Tapi saya reda dengan suratan takdir. Sebab itu saya cuba bangkit dan lupakan masalah lalu. Musibah yang menimpa adalah cabaran dan ingatan buat saya agar tak mudah mengalah,” katanya.

Mengulas tentang persoalan tenggelam timbulnya itu, wanita ini menyimpulkan bahawa kesemua cabaran tersebut menjadikan dia cukup kuat sekarang.

Sekurang-kurangnya Farah Asyikin tahu apa persiapan yang seharusnya dibuat sebelum menempuh situasi di luar jangkauan.

“Bohonglah kalau cakap tak sedih dengan perjalanan karier saya. Dah lama saya berangan nak tunjukkan kepada semua siapa sebenarnya Farah Asyikin.

“Tapi kepayahan dugaan ini sebenarnya tak buat saya lemah semangat. Malah semakin berjaga-jaga sebab saya kini sudah pulih dari kesakitan. Juga sudah bersedia menyambung trek kerjaya semula,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Langkah seterusnya

Justeru, pemegang Diploma Lanjutan Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing ini mula mengorak langkah terbarunya.

Dia kini sedang merancang untuk menaik taraf potensi diri ke peringkat antarabangsa. Meski pun masih terlalu awal untuk dibicarakan, namun itu juga impian buat pemuzik tempatan sepertinya.

Apatah lagi selepas mendapat tahu ada pelabur dari luar negara yang berminat untuk menaja sepenuhnya projek seninya. Bakal penaja itu adalah seorang ahli perniagaan yang menetap di Australia yang sudah lama mengagumi bakat Farah Asyikin.

“Ia masih dalam peringkat perbincangan awal lagi. Masih belum ada sebarang hitam putih dan saya tak berani nak ulas apa-apa,” komennya ringkas.

Pada masa yang sama, Farah Asyikin kini sedang giat merakamkan single terbaru bertajuk Tiada Penghujungnya yang berentak balada.

Single yang bakal dilancarkan pada penghujung bulan ini adalah pengubat rindu buat peminatnya. Sebelum ini, Farah Asyikin pernah merakamkan lagu berunsur ketuhanan berjudul Ada Mu dan Penjagaku yang dilancarkan pada Ramadan tahun lalu.

Semua usaha promosi ini dijalankan bersama dengan sekumpulan anak muda berusia 20-an yang banyak menyokongnya selepas bekerjasama dalam kerja kemasyarakatan pada Hari Belia 2011 di Putrajaya, hujung bulan lalu.

Segala aktiviti Farah Asyikin boleh diketahui di laman web www.farahasyikin.com atau www.creativebird09.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: