Thursday, June 2, 2011

Kebangkitan Crysis


PAPARAN grafik yang realistik menjadikan Crysis 2 lebih menarik.


KETIKA mula diterbitkan, siri permainan video Crysis mendapat banyak kritikan berbanding pujian apabila elemen-elemen permainan ditonjolkan kelihatan agak goyah dan tidak lengkap.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Crytek untuk menerbitkan siri keduanya iaitu Crysis 2 yang lebih baik dari siri sebelumnya.

Permainan yang dikeluarkan pada Mac 2011 itu boleh dimainkan untuk Playstation 3, Xbox 360 dan juga PC. Ia turut menampilkan enjin tersendiri Crytek iaitu Cry Engine, tidak seperti permainan FPS lain yang biasanya menggunakan Unreal Engine.

New York ditakluk makhluk asing Crysis 2 mengisahkan tentang penaklukan makhluk asing Ceph yang menduduki bandar raya New York yang kini telah dikosongkan akibat bencana biologi pada tahun 2023.

Ceph mula menyerang New York pada tahun 2020 dan sebuah agensi swasta yang dikenali sebagai Crynet Corporation telah mengambil inisiatif untuk membendung bencana itu.

Crynet Corp memiliki kumpulan askar sendiri dan teknologi canggih yang dilihat mampu untuk menewaskan Ceph. Pemain akan memegang watak Alcatraz, seorang anggota Angkatan Tentera Marin yang akan menentang Ceph menggunakan kaedah tidak disangka musuh.

Cara permainan

Secara keseluruhan corak dan mekanisme Crysis 2 adalah sama dengan permainan FPS lain. Pemain perlu menyelesaikan objektif yang diberikan dan membunuh musuh serta mengatasi halangan-halangan untuk ke babak seterusnya.

Apa yang membezakan permainan itu adalah penggunaan teknologi canggih sut nano dalam permainan apabila pemain boleh melakukan aksi dan gerakan yang tidak terdapat dalam permainan lain seperti keupayaan untuk menjadi halimunan.

Sut nano 2.0

Seperti siri sebelum ini, sut Nano adalah pelaris Crysis 2. Dalam edisi terkini, sut itu telah dinaik taraf kepada versi 2.0. Sut terbaru tersebut lebih tahan lasak dan dilengkapi dengan teknologi canggih sehingga mampu menguatkan pemakai.

Terdapat tiga mod didatangkan bersama sut terbaru berkenaan iaitu Cloak yang membolehkan pemain menjadi halimunan, Armor menjadikan pemain lebih kebal terhadap serangan dan Power memberikan kekuatan lebih untuk gerakan lompat serta serangan jarak dekat.

Dalam pada itu, terdapat juga Tactical Visor yang akan menerangkan situasi dan pilihan ketika di medan pertempuran.

Di samping tiga mod utama tersebut, sut Nano juga boleh ditingkatkan fungsi dengan membeli modul tambahan menggunakan markah Nano.

Antara modul yang disediakan termasuk Threat Tracer yang berupaya memberi amaran kepada pemain tentang kedudukan musuh.

Air Stomp pula dapat memberi keupayaan serangan dari udara manakala Covert Ops dapat membantu ketika dalam mod halimunan.

Senjata

Koleksi senjata Crysis 2 adalah jauh lebih komprehensif dan realistik berbanding permainan sebelum ini. Dalam Crysis 2, pemain boleh membawa dua senjata utama, satu senjata ringan dan satu senjata peledak seperti bom, C4 serta pelancar roket.

Senjata utama adalah seperti Feline SMG, Marshall Shotgun dan DSG-1 Sniper Rifle manakala senjata ringan pula menampilkan senjata seperti M12 Nova dan Pistol Majestic. Semua senjata berkenaan mempunyai kesan realistik.

Mod Multiplayer

Crysis 2 juga memiliki mod multiplayer apabila pemain boleh bertempur dengan pemain lain menggunakan sambungan internet. Antara mod permainan multiplayer adalah instant action, crash site dan extraction.

Walaupun menggunakan nama berlainan, ia adalah ciri permainan yang sama dalam mod multiplayer dalam permainan FPS lain.

Crysis 2 adalah sebuah permainan yang memiliki kualiti grafik yang sangat menawan. Ini dapat dilihat dengan kesan-kesan alam sekitar dan juga kesan efek daripada penggunaan sut Nano serta senjata.

Jalan cerita mod single player adalah sedikit linear dan tiada pembaharuan untuk mod multiplayer. Crysis 2 telah mengundang pendapat yang bercampur tetapi kali ini lebih ramai memuji cubaan terkini siri Crysis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: