PADA pukul 8 malam, Joana Charles menanti ketibaan guru sejarahnya di luar kelasnya di sebuah sekolah dekat ibu negara Mozambique. Ratusan kanak-kanak lain sibuk berlari-lari, memekik-mekik dan bermain dalam kegelapan malam.
Limpahan cahaya kuning daripada bangunan sekolah itu sedikit menerangkan halaman berpasir di tempat itu. Sementara di satu sudut lain, sekelompok manusia sibuk mengerumuni penjual bertih jagung.
Walaupun kebanyakan daripada 62 orang pelajar di dalam kelasnya sudah pulang kerana bosan menunggu, Joana masih berharap.
“Kesabaran pasti membawa kejayaan. Mungkin juga semasa anda tinggalkan sekolah ini, guru pun sampai. Pasti anda terlepas sesi belajar,” ucap ibu 31 tahun itu dengan tenang.
Cabaran yang dihadapinya itu ibarat rutin bagi mana-mana pelajar di salah sebuah negara termiskin di dunia tersebut. Kekangan dalam usaha mendidik generasi muda Mozambique turut dihadapi golongan dewasa.
Kekangan pembelajaran
Mereka tidak berkesempatan mengecapinya lantaran negara mereka dihimpit isu peperangan sejak berdekad-dekad lamanya.
Setiap kelas belajar di negara itu secara purata menempatkan 66 orang pelajar bagi seorang guru. Sesi persekolahan pula berlangsung sebanyak tiga kali sepanjang pukul 7 pagi hingga 10 malam setiap hari semata-mata untuk mengatasi masalah bilangan pelajar yang terlampau ramai.
Selepas memulakan hidup berkeluarga, Joana kembali semula bersekolah bersama rakan-rakan sekelas yang jauh lebih muda. Semuanya demi membantunya mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik buatnya menyara keluarga.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berbekalkan pendidikan asas selama sekurang-kurangnya setahun sebenarnya sudah mampu memberikan kehidupan lebih selesa di selatan Afrika.
Namun, pelajar gred sembilan yang perlu melalui jalan berdebu untuk pulang ke rumah dari sekolahnya di Maputo itu memberitahu, adalah sukar baginya untuk mengetahui sama ada guru mereka akan datang atau tidak.
“Kami cuma ada dua sesi pembelajaran pada semester lalu, kemungkinan yang sama akan kami alami pada semester kesepuluh nanti,” getus Joana.
Pada malam itu, kelas Matematik terpaksa dibatalkan berikutan ketiadaan tenaga pengajar, maka sekolah tersebut juga perlu ditutup lebih awal berbanding kebiasaannya pada pukul 10 malam.
Sekitar 81 peratus kanak-kanak di Mozambique mengikuti sesi persekolahan secara normal. Begitupun, jumlahnya akan berkurangan apabila mereka meningkat dewasa.
Isu ketiadaan ruang untuk menuntut ilmu atau kekangan jumlah guru juga menjadi masalah, lebih-lebih lagi apabila terdapat pelajar dewasa yang ingin kembali belajar.
Persekolahan sesi malam bermula sejak zaman kolonial Portugis namun pemerintahan Mozambique masih mengekalkan sistem tersebut demi mengatasi masalah lambakan pelajar.
Berjalan jauh
Tuntutan sesi belajar itu antara lain memaksa seorang pelajar, Aida Bila, 16, meredah kegelapan malam bersendirian sejauh lima kilometer untuk pulang ke rumah jika tiada pengangkutan awam atau keluarganya tidak mampu menanggung kos tambang.
Walaupun si gadis yang bercita-cita menjadi peguam itu risau terlepas beberapa sesi pembelajaran, para guru akan tetap membantu ketika peperiksaan.
“Mereka tidak selalunya memberikan jawapan, tapi kadangkala tetap ada,” ceritanya lanjut.
Menurut seorang pendidik, Carlos Fransisco, kebanyakan pelajar juga datang ke sekolah semata-mata untuk bersosial.
“Sistem pembelajaran membuatkan mereka hilang minat belajar. Di peringkat sekolah rendah, pelajarnya diluluskan secara automatik dan kemudian mereka datang ke sekolah tanpa tahu menulis dan membaca,” keluhnya.
Guru 29 tahun itu juga berdepan dengan permasalahan kekurangan alat bantu mengajar di dalam bilik darjah.
“Saya mengajar tentang reka bentuk, tapi tiada satu pun alatan untuk membantu pelajar saya memahaminya dengan lebih jelas,” katanya yang bekerja selama 14 jam sehari di tiga buah sekolah demi menyara kehidupan keluarganya.
Jelasnya, kerajaan telah mencuba sedaya-upaya untuk meningkatkan tahap pembangunan negara cuma isu kemiskinan menjadi penghalang.
Bajet berkurangan
Mozambique telah memperuntukkan sejumlah AS$730 juta (RM2.19 bilion) untuk dilaburkan dalam sektor pendidikan negara tersebut. Jumlah itu adalah 18 peratus daripada belanjawan negara.
Sumbangan antarabangsa untuk tujuan pendidikan juga sudah terbatas gara-gara krisis ekonomi global.
Pihak pemerintah kemudiannya terpaksa memotong sebahagian daripada bajet pendidikan negara untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang maut dalam rusuhan makanan pada September tahun lalu.
Pengarah Perancangan Kementerian Pelajaran Mozambique, Manuel Rego berkata perkembangan itu mengganggu banyak fungsi kementeriannya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tetap menambah bangunan sekolah dan melatih lebih ramai guru berkaliber untuk menyokong semula ketegangan yang berlaku.
“Walaupun situasi ini sukar dilihat, sebenarnya keadaan telah banyak berubah,” jelas Rego.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: