Tuesday, June 28, 2011

Wan Maimunah berdakwah dalam lakonan

Sudah namanya pelakon berpengalaman, setiap watak pasti ditangani dengan baik. Itulah dilakukan oleh Wan Maimunah Wan Abdul Aziz atau lebih dikenali dengan nama Wan Maimunah.

Berilah apa sahaja karakter kepadanya, pasti tiada menghampakan. Watak ibu mentua yang jahat atau wanita teraniaya berendam air mata, lakonannya acap kali meninggalkan kesan di hati penonton.

Baginya, dia tidak kisah jika lakonannya dikatakan agak ‘keterlaluan’ kerana dia punya alasan mengapa lakonannya sebegitu.

Menurut Wan Maimunah, berlakon adalah caranya berdakwah.

Medium ini digunakan sebaik mungkin agar dapat memberi pengajaran kepada penonton.

Kesungguhannya memberi penghayatan terhadap setiap watak jelas menggambarkan betapa Wan Maimunah komited terhadap bidang lakonan.

“Apabila mendapat skrip, saya sentiasa memohon agar diberi watak yang boleh memberi pengajaran kepada penonton.

“Kalau dapat watak jahat, biarlah watak itu ditonjolkan sejahat-jahatnya supaya penonton membenci karakter itu dan tidak mengikutnya.

“Begitu juga sebaliknya, saya akan memastikan lakonan menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya.


Menjaga disiplin

Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, namanya tidak pernah tercicir dalam senarai pelakon kegemaran.

Mana tidaknya, pelakon yang pernah menerima anugerah Artis Komedi Wanita Popular pada 1992 hingga 1996 ini, sentiasa menekankan disiplin dalam kerjayanya.

“Saya sangat mementingkan masa dan tidak pernah datang lewat ke lokasi kerana ia mencerminkan disiplin.

“Lagi pula, kalau sampai awal ke lokasi, ada lebih masa untuk membaca semula skrip dan dapat lebih memahami kehendak skrip dan pengarah.

“Saya ada menasihati pelakon baru agar menunjukkan disiplin baik jika mahu kekal lama dalam industri ini. Ada yang mengikut ada juga sebaliknya. Bagi saya, dalam industri seni ni untuk kekal berjaya hanya perlu tanamkan disiplin bagus dan sedia menerima teguran,” katanya yang sudah berlakon lebih seratus drama tv.

Biarpun banyak menerima watak antagonis, namun wanita ini sebenarnya seorang sangat ceria di luar lokasi.

Sentiasa merendah diri dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dengan pelakon baru.

Wan Maimunah disenangi ramai. Bakal muncul dengan sebuah telefilem terbitan UNIUTAMA Film Studio berjudul Diari Kampus Biru, dia diberikan peranan sebagai Hajah Fatimah iaitu seorang nenek kepada Zakhrul lakonan Tomok yang berselisih faham dengan menantunya lakonan Wan Nor Azlin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: