Monday, June 13, 2011

Mahasiswa UIAM terpilih sertai JWJ2


PELAJAR bersama dengan pensyarah pengiring sebelum berlepas menyertai konvoi Ekspedisi Jejak Warisan Jawi II di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SATU ekspedisi bersejarah melibatkan 40 anggota dan 10 kenderaan pacuan empat roda merentasi tujuh negara bagi menyusuri jejak sejarah warisan orang Melayu dan amalan Islam yang selama ini tidak diketahui dengan jelas oleh masyarakat khususnya di Malaysia.

Program Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) yang bermula pada 25 Mei lalu sehingga 19 Jun ini merupakan inisiatif Kelab Putera 1Malaysia dan Kumpulan Jejak Warisan Jawi.

Ia merupakan program kedua selepas kejayaan ekspedisi pertama berkenaan menjejaki kumpulan minoriti orang Melayu Islam bermula di Danok, Satun, Krabi, Pantai Kemala, Bangkok sehingga ke Ayutthaya, iaitu 150 kilometer dari ibu negara Thailand pada 12 sehingga 21 Februari tahun lalu.

JWJ2 telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Kali ini JWJ2 akan menjadi kesinambungan terhadap usaha tersebut dengan misi menjejaki lebih banyak kumpulan masyarakat Melayu Islam bukan sahaja di Thailand tetapi meliputi negara-negara lain termasuk China.

Pengembaraan ekspedisi JWJ2 dengan bertemakan Budaya Semarakkan Ikatan itu merentasi Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, China serta Malaysia bagi menyusuri sejarah kewujudan masyarakat Melayu dan Islam di kawasan utara Asia Tenggara.

Dengan harapan untuk menyatukan semula ikatan yang telah lama terputus antara mereka dengan masyarakat Melayu di Malaysia ekspedisi turut membawa bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Antaranya dalam bentuk derma, zakat, fidyah dan akikah dari rakyat Malaysia kepada penduduk Melayu di negara-negara berkenaan.

Sebahagian besar masyarakat Melayu Islam di negara-negara tersebut difahamkan hidup dalam keadaan daif akibat terpinggir daripada arus pembangunan.

Penganjuran JWJ2 mendapat sokongan dan penajaan Tourism Malaysia, Lembaga Zakat Selangor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) manakala Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi.

UIAM turut menghantar tiga wakil dalam ekspedisi itu iaitu mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Mohd. Afiq Zulkifli dan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Ahmad Syafiq Mohd. Yuhaizad serta diiringi pensyarah pengiring dari Jabatan Tilawah Pusat Pembangunan Bahasa dan Pra-Universiti (CELPAD) UIAM, Zaid Muhammad Mohd. Rais.

Antara peranan yang dimainkan UIAM ini ialah menganjurkan program-program kemasyarakatan dan aktiviti mini kelas jawi, kelas tafsir dan bacaan Al-Fatihah serta menyampaikan sumbangan kepada masyarakat melayu di negara terlibat.

Menurut Mohd. Afiq, 23, dia berhasrat untuk melihat bagaimana kuatnya masyarakat Islam di negara-negara bakal dilawati mempertahankan jati diri Melayu walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Melalui kembara ke tujuh negara ini saya mahu melihat sendiri kehidupan umat Islam Melayu di sana. Di harap ia dapat menanamkan rasa keinsafan dan pengajaran dalam diri saya.

"Saya sedar mereka di sana terpaksa berdepan dengan krisis identiti jati diri disebabkan oleh peredaran masa dan proses asimilasi budaya. Namun saya yakin masih terdapat di antara mereka yang masih kuat mempertahankan jati diri Melayu dan amalan Islam," ujarnya.

Bagi Ahmad Syafiq, 22, dia yakin melalui ekspedisi tersebut ia secara langsung dapat membentuk keperibadiannya menjadi seorang insan yang lebih memahami warisan dan budaya Melayu.

"Secara peribadi saya amat berharap melalui JWJ2 ini akhirnya ia dapat didokumentasikan bagi tatapan dan pengajaran untuk generasi muda kita di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: