Wednesday, June 1, 2011

Nestlé tingkat guna minyak sawit

KUALA LUMPUR 31 Mei - Nestlé Malaysia akan meningkatkan penggunaan minyak sawit dari sumber kemampanan yang sah di Malaysia kepada kira-kira 80 peratus menjelang akhir tahun ini bagi digunakan di dalam produk makanan dan minuman yang dikeluarkan di negara ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya bagi menjaga alam sekitar.

Pengarah Urusannya, Peter Vogt berkata, langkah itu adalah sejajar dengan komitmen global Nestlé bagi menggunakan minyak sawit dari sumber yang disahkan menjelang 2015.

Katanya, Nestlé Malaysia, yang lebih dikenali di negara ini bagi jenama Milo, Maggi dan Nescafe berkeyakinan mencapai sasaran itu berdasarkan hubungannya dengan syarikat perladangan utama Malaysia, di mana hampir keseluruhan daripada mereka telah melaksanakan pendekatan kemampanan masing-masing dengan menyeimbangkan kebimbangan terhadap alam sekitar dan keuntungan operasi masing-masing.

"Menjelang akhir 2011, penggunaan minyak sawit yang dikeluarkan secara mampan di Malaysia dijangka kira-kira 80 peratus kerana kami mempunyai hubungan langsung dengan syarikat pembekal minyak sawit seperti Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. dan United Plantations Bhd.," katanya kepada Bernama.

Nestlé kini tidak dapat menjejaki tempasal kesemua bahan mentahnya kerana sesetengahnya dibeli dari para pembekal seperti Cargill, kata Vogt.

Sebagai usaha meningkatkan keupayaan menjejaki bahan mentah dan mewujudkan nilai perkongsian terhadap pembangunan luar bandar, katanya Nestlé Malaysia menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak bahan mentah dari para pekebun tempatan.

Antaranya, katanya ialah projek penanaman cili di Kelantan, yang digunakan bagi sos cili MAGGI dan projek penanaman beras merah di Sarawak di mana bahan mentahnya digunakan dalam bijirin.

"Bagi mewujudkan rantaian bekalan dari sumber mampan dan kawasan luar bandar, kami mempunyai program untuk membeli produk secara langsung dari para petani berbanding dari syarikat dagang, yang akan meningkatkan pendapatan para petani," katanya.

Vogt berkata, usahawan itu turut mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap produk berkenaan dan memasukkannya di dalam setiap aspek operasi, dasar dan strateginya bagi mengukuhkan kedudukannya sebagi syarikat nutrisi, kesihatan dan kesejahteraan utama di dunia.

Syarikat itu turut bekerjasama dengan 'Nutrition Society of Malaysia' bagi melaksanakan program 'Kanak-kanak Sihat Nestlé' bagi menggalakkan tabiat pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak dengan mendidik dan memberi motivasi mereka mengenai pentingnya pemakanan yang baik dan seimbang, katanya.

Vogt berkata, bersandarkan bidalan 'Tabiat yang baik bermula di Rumah', Nestlé Malaysia juga mempunyai dasar dalaman menggalakkan kesejahteraan di kalangan warga kerjanya.

Antaranya menggalakkan warga kerjanya menggunakan tangga, senaman setiap Rabu, buah-buahan percuma setiap Selasa dan Khamis, berjalan, sesi makan tengah hari dan pelajaran dan pemeriksaan tetap indeks jisim badan.

"Satu lagi inisiatif untuk berkongsi nilai dengan pemegang kepentingannya ialah di segi pemuliharaan di mana ia berusaha dengan World Wildlife Fund (WWF) di Wetland Setiu di Terengganu, yang telah dikenal pasti sebagai ekosistem penting yang perlu dilindungi," katanya.

Projek itu, yang melibatkan komuniti tempatan ialah menanam pokok bakau di sepanjang tebingan sungai yang memastikan perlindungan ekosistem sambil menjadikan mereka penjaga alam sekitar, katanya.

Aktiviti utama Nestlé Malaysia ialah pembuatan, pemasaran dan penjualan produk makanan dan minuman seperti susu tepung, susu cecair, kopi segera, produk coklat dan konfeksionari, mee segera, alat bantuan masakan, bijirin dan yogurt.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: