Saturday, June 18, 2011

Pertandingan rekabentuk Peugeot


PELANCARAN turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin (tiga dari kanan).


NASIM Sdn. Bhd. (Nasim) dan Automobiles Peugeot baru-baru ini melancarkan pertandingan rekabentuk yang bertujuan mendidik pelajar kolej dan sekolah menengah berhubung skil rekaan automobil.

Dikenali sebagai Pertandingan Rekabentuk NST-Peugeot, program tersebut berlangsung mulai 29 Mei sehingga 21 Ogos ini. Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelajar universiti/kolej dan pelajar sekolah menengah.

Semua rekaan ilustrasi untuk kedua-dua kategori boleh menggunakan bantuan komputer, lukisan tangan atau gabungan kedua-duanya.

Peserta pertandingan perlu menghantar rekaan masing-masing dan apa jangkaan mereka mengenai kenderaan sempurna Peugeot untuk pasaran Asia Tenggara pada tahun 2018.

Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George berkata, rekabentuk memainkan peranan penting untuk pelanggan membuat keputusan membeli kenderaan.

“Sebab itulah semua pengeluar kenderaan berusaha untuk mencipta pembaharuan dalam rekaan. Peugeot pula sememangnya peneraju dalam rekaan automotif hampir 100 tahun,” katanya.

Pemenang tempat pertama kategori universiti/kolej akan menerima pakej pelancongan lima hari empat malam ditanggung sepenuhnya ke Paris dan pusat reka bentuk Peugeot di Velizy, Perancis untuk semua ahli pasukan.

Selain itu, mereka turut akan menerima wang tunai RM1,000, barangan Peugeot, dan latihan praktikal automotif selama tiga bulan bersama Naza Group.

Tempat kedua akan menerima hadiah sama seperti tempat pertama. Bezanya cuma pada pakej pelancongan lima hari empat malam itu melibatkan dua ahli pasukan sahaja.

Untuk kategori sekolah menengah, pemenang tempat pertama akan menerima iPad 2 dan barangan Peugeot. Tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang RM500 dan RM250 termasuk barangan Peugeot. Selain itu, 30 penyertaan lain akan menerima hadiah sagu hati.

Semua pemenang bakal diumumkan pada 1 November ini. Senarai pemenang akan dipaparkan dalam laman web: www.peugeot.com.my, www.nst.com.my dan www.cbt.com.my. Borang penyertaan dan syarat pertandingan boleh dimuat turun di laman www.nst.com.my dan www.cbt.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: