Friday, June 10, 2011

Didie Alias terkejut

Melihat kepada anugerah berprestij seperti Anugerah Planet Muzik (APM) pastinya pemilihan perantara yang benar-benar berkaliber.

Jika sebelum ini tampuk perantara dari Malaysia dipegang oleh pengacara nombor satu negara Aznil Hj Nawawi. Kini ia bertukar tangan kepada Didie Alias.

Mungkin, persoalan demi persoalan apakah kriteria yang membuatkan pelakon 'Pontianak Kampung Batu' ini terpilih. Namun bagi Didie, ia adalah satu penghargaan terbesar buatnya pada tahun ini.

“Saya dapat tahu perkara ini sekitar bulan Mei lalu. Saya dapat panggilan daripada pihak Beyond Event. Apabila ditanyakan mengenai jadual saya untuk bulan Julai, saya hanya menjawab, ‘free’.

“Mendengar sahaja pasal APM ni saya rasa terkejut. Pertama sekali saya ternampak wajah Aznil Hj Nawawi. Kemudian saya tertanya-tanya kenapa saya. Rasa tak percaya pun ada.

“Bagi pelakon macam saya ni, sudah pasti tawaran ini sememangnya luar biasa. Orang dah biasa berlakon nak mengacara anugerah muzik, bunyi macam pelik. Saya anggap ini rezeki saya. Saya bersyukur sangat,” katanya yang begitu teruja.

Tidak mahu terpengaruh dengan mana-mana pengacara sebelum ini, Didie berharap akan dapat memberikan yang terbaik semasa mengacarakan APM 2011.

“Saya tidak tahu siapakah pasangan saya nanti. Apa yang pasti saya sudah dapat lampu hijau untuk jadi diri sendiri. Ini menyenangkan tugas saya.

“Saya memang dikenali sebagai orang yang gila-gila. Jadi apabila diberitahu saya bebas untuk buat apa sahaja, ia membuatkan saya rasa lebih selesa dan berani.

“Pastinya saya akan buat yang terbaik dan menjaga diri memandangkan saya membawa nama Malaysia. Tak bolehlah nak syok sendiri sahaja,” katanya.

Tambahnya, sejak diberitahu mengenai perkara itu, Didie tidak terlepas untuk menonton anugerah APM sebelum ini menerusi laman Youtube.

“Saya perlu buat lebih kerja memandangkan saya ni bukan penyanyi dan tidak tahu sangat mengenai dunia nyanyian. Jadi inilah usaha saya untuk tidak terlalu terpinggir nanti.

“Saya bertuah kerana suami, ibu dan anak-anak saya menjadi penguat semangat saya. Merekalah tulang belakang saya yang sentiasa memberi semangat kepada saya," katanya.

Didie akan bergandingan dengan pengacara terkenal Singapura iaitu Fiza O & Adi Rahman pada malam kemuncak itu nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: