Friday, June 10, 2011

4 Bintang untuk Syamsul

Percaturan Syamsul Yusof untuk mengetengahkan filem bercorak aksi menerusi filem KL Gangster nyata tidak ­mengecewakan dan boleh dinobatkan sebagai filem aksi terhebat dekad ini.

Biarpun tidak pernah terdedah dengan kehidupan gangster, namun itu sedikit pun tidak menjadi alasan bagi pelakon dan pengarah muda, Syamsul untuk mencuba perkara baru dalam dunia pengarahannya.

Mengetengahkan isu kongsi gelap, ketamakan kuasa dan wang, serta isu pergolakan kekeluargaan antara adik-beradik menjadikan filem sentuhan Pengarah Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 cukup rencah.

Jika sebelum ini penonton dihidangkan dengan filem-filem berunsurkan cinta dalam setiap arahannya, filem kelima arahannya kali ini memberi sedikit kelainan.

Sarat dengan aksi ganas dan kasar, filem KL Gangster ini langsung tidak meletakkan mana-mana pelakon wanita popular untuk dijadikan daya penarik.

“Bila Papa (Datuk Yusof Haslam) lihat filem ini dia tegur saya dua perkara, yang pertama dia suruh saya masukkan elemen cinta dalam KL Gangster ini, dan yang kedua banyakkan lagi unsur-unsur kekeluargaan, tapi saya tidak mahu.

“Saya tidak mahu terlalu banyak babak-babak yang ­meleret, dan sejak dari awal lagi saya sudah nekad untuk meletakkan elemen aksi sahaja dalam filem ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, faktor utama yang membuatkan filem KL Gangster wajar ditonton adalah dari segi jalan ceritanya.

Meskipun ada beberapa aksi boleh dianggap sangat ganas dengan percakapan agak kasar atau ‘taboo’ namun Syamsul berjaya mengadun dan menjadikan ia bersesuaian dengan jalan cerita serta tidak keterlaluan.

Menurut Syamsul selain banyak membuat penyelidikan melalui Internet serta menonton filem aksi dari dalam dan luar negara, dia juga banyak membuat penyelidikan terperinci dari pihak polis mengenai gejala gengster yang berlaku di Kuala Lumpur.

“Namun, saya terpaksa menafikan apa berlaku di dalam filem saya bukanlah benar-benar atau seteruk yang berlaku di Kuala Lumpur. Kami hanya ­menambah elemen aksi kejam dan pembunuhan itu sekadar untuk menjadikan filem ini lebih menarik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: