Friday, June 10, 2011

Negara Islam berpotensi

Negara Islam berpotensi membentuk sebuah blok perdagangan strategik kerana negara itu mempunyai sumber ekonomi dan berada dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pada masa ini perdagangan sesama negara OIC menyumbang 16.5 peratus keseluruhan perdagangan kumpulan itu.

“Usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan kerjasama perniagaan Islam perlu dalam kalangan negara anggota, khususnya perdagangan sesama sendiri, pelaburan, kewangan Islam, produk halal, telekomunikasi, teknologi maklumat dan komunikasi serta pelancongan,” katanya pada majlis makan malam dan Anugerah Permata Dunia Islam, Muslim World Biz 2011 di Kuala Lumpur.

Nor Mohamed berkata, negara Islam perlu bekerja dalam satu pasukan.

“Kita mesti menyedari prestasi negara Islam yang kurang menyerlah pada masa lalu, sedikit sebanyak disebabkan kegagalan mewujudkan konsensus dan kerja berpasukan.

“Dalam hubungan ini, kita mengalu-alukan hubungan dan perkongsian melalui platform kerjasama ekonomi, seperti Muslim World BIZ, Zon Perniagaan dan Pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, negara Islam pada umumnya tercicir ke belakang.

“Menerusi 57 negara OIC yang bertaburan di empat benua, negara ini hanya menjana 7.2 peratus keluaran dalam negara kasar dunia dan 10.4 peratus eksport barangan global pada 2009,” katanya.

Dalam kalangan ekonomi anggota OIC, menurutnya, perbezaan pembangunan ekonomi lebih ketara apabila sepuluh negara termaju OIC, dengan 57 peratus penduduk, menghasilkan 71 peratus pengeluaran kumpulan itu, dan menyumbang 74 peratus eksport serta menguasai 78 peratus pengaliran masuk pelaburan langsung asing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: