Sunday, June 19, 2011

Chef legenda dan popular


Persediaan dan ketelitian merupakan kunci utama bagi para chef dalam memastikan masakan mereka dihidang sebagai yang terbaik.


ORANG sering mempersoalkan apakah kita hidup untuk makan atau makan untuk hidup. Namun ia terpulang kepada manusia itu sendiri untuk membuat penilaian apa sebenarnya yang menjadi pegangan.

Walau bagaimanapun jika makanan yang menjadi persoalannya sudah pasti manusia ada pandangan dan perspektif sendiri dalam mendefinasikan makna sedap atau tidak sesuatu makanan.

Ada di antara kita yang berpandangan masakan ibu sebagai yang terbaik, mungkin juga ada yang selesa dengan makanan mamak atau gerai tepi jalan.

Tapi bila mahukan makanan terbaik pastinya kita terbayangkan makanan yang disediakan oleh chef-chef terhebat.

Kebiasaannya chef-chef ini berkhidmat di hotel-hotel besar atau pun restoran mewah dan ternama yang mana harga makanannya juga agak di luar kebiasaan.

Mereka ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menu yang disediakan, pengurusan kakitangan bahagian dapur termasuklah soal gaji dan jadual kerja, serta juga hiasan dan penyediaan makanan, termasuklah dalam hal-hal tempahan makanan.

Mengetuai

Kebiasaannya juga ketua chef yang menduduki hierarki tertinggi di bahagian dapur dan digelar sebagai chef de cuisine atau executive chef.

Di bawahnya terdapat beberapa lagi chef yang akan mengetuai bahagian tertentu.

Orang kanan kepada ketua chef ini digelar sebagai sous chef yang bertanggungjawab mengambil alih bahagian dapur apabila ketuanya bercuti.

Di bawahnya pula terdapat expediater yang menjadi orang tengah dalam hal ehwal pesanan pelanggan dan memberi sentuhan terakhir dalam dekorasi makanan.

Kemudian barulah chef de partie yang bertanggungjawab mengetuai hampir semua bahagian masakan dan menjaga kesempurnaan makanan yang disediakan oleh chef-chef di bawahnya.

Begitulah ketelitian berlaku di bahagian dapur terutama dalam hal penyediaan dan kesempurnaan makanan yang telah di pesan dan kebanyakan kita tidak mengetahui tentangnya.

Kesempurnaan

Pastinya dengan begitu ramai pekerja yang terlibat di bahagian dapur pastinya soal mutu dan kualiti makanan adalah sesuatu yang di luar kompromi kerana ia melibatkan soal imej dan prestij seseorang ketua chef, termasuk- lah hotel atau restoran di mana mereka bekerja.

Melihat kepada ketelitian dan cara kerja mereka pasti ramai tertanya-tanya apa yang membezakan seseorang chef dengan chef-chef yang lain.

Apatah lagi bagaimana caranya mereka mampu menjadi begitu sempurna dalam soal penyediaan makanan sehingga diiktiraf antara chef terbaik.

Seterusnya diterangkan dengan lebih lanjut siapakah antara chef yang diiktiraf sebagai legenda dan terbaik selain chef popular dunia.

Ini memandangkan sudah terdapat terlalu banyak program televisyen termasuklah program realiti tv yang berkisar kepada kehebatan mereka yang digelar sebagai antara chef terbaik dunia.

Chef legenda

1. Marie-Antoine Careme (1784–1833)

Dikenali sebagai King of Chef kerana antara chef terawal yang mempraktikkan cara memasak yang dikenali sebagai houte cuisine. Teknik ini dimaksudkan sebagai penyediaan makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi hidangan disediakan lebih banyak dan pelbagai.

Dilahirkan di Paris tetapi kemudian ditinggalkan oleh ibu bapanya ketika kemuncak Revolusi Perancis dan terpaksa bekerja sebagai budak suruhan di sebuah kedai penyembelihan sebelum diterima bekerja di sebuah restoran mewah.

Beliau juga dikenali sebagai pencipta Pièce montée, kek bertingkat yang dibuat dan dihias dengan pelbagai bahan. Careme juga sangat dikenali di kalangan golongan bangsawan malah pernah mendapat kepercayaan Napoleon Bonaparte.

Carema kemudian berkhidmat kepada Raja England, King George IV serta ditawarkan bekerja di istana Tsar Alexander di St. Petersburg, Rusia. Beliau juga dianggap sebagai orang pertama di dunia dikenali sebagai chef selebriti.

2. Georges Escoffier (1846-1935)

Escoffier dilahirkan di Villeneuve-Loubet, Perancis merupakan seorang chef legenda, pemilik restoran dan tokoh penting dalam masakan French Cuisine moden.

Beliau bertanggungjawab memodenkan lagi teknik yang diperkenalkan Careme. Namun jasanya paling terpahat adalah memperkenalkan sistem lebih teratur di bahagian dapur yang diketuai chef de partie dan diterima pakai sehingga kini. Escoffier juga menerbitkan sebuah buku Le Guide Culinaire yang diterima sebagai rujukan utama dalam bidang masakan sehingga kini.

3. Fernand Point (1897 – 1955)

Point dianggap sebagai bapa masakan moden Perancis serta telah melatih ramai chef-chef ternama di seluruh dunia.

Beliau juga telah menubuhkan sebuah restoran, La Pyramide di Vienne sejurus selepas Perang Dunia Kedua. Point telah memperkenalkan teknik Nouvelle Cuisine yang mementingkan masakan lebih ringan, lazat serta mengutamakan dekorasi.

4. Joel Robuchon (1945-)

Beliau telah menerima gelaran "Chef of the Century" oleh majalah Gault Millau pada 1989 serta France's Best Craftsman pada 1976.

Robuchon juga memiliki rangkaian restoran menggunakan namanya di Hong Kong, Las Vegas, London, Macau, Monaco, New York City, Paris, Taipei dan Tokyo. Beliau menempa kejayaan dalam bidang ini apabila dilantik sebagai chef rasmi untuk Le Tour de France pada 1966.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan dan menganggap tiada istilah untuk makanan yang sempurna kerana ia senantiasa boleh ditambah baik.

5. Alice Louise Waters (1944-)

Wanita berusia 67 tahun ini dianggap sebagai Mother of American Food. Beliau mempunyai rangkaian restoran Chez Panisse sejak 1971 serta menjadi antara pengasas California Cuisine yang berasaskan makanan segar dari pasar serta menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Waters juga menjadi pendokong kuat makanan berasaskan organik sejak lebih empat dekad lalu dan kini mendapat sokongan kuat dari Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Michelle Obama.

Chef selebriti

1. Gordon Ramsay

Nama ini tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri masakan dunia. Beliau lebih dikenali sebagai pengacara Hell’s Kitchen yang bersiaran hampir di seluruh dunia.

Dilahirkan pada lapan November 1966 di Johnstone, Scotland dan menduduki antara 10 tempat teratas chef terbaik dunia.

Mula berkecimpung dalam dunia masakan sejak berusia 19 tahun. Namun mungkin ramai yang agak skeptikal di atas kelancangannya.

2. Jamie Oliver

Oliver juga dikenali dengan gelaran The Naked Chef merupakan antara chef paling popular di dunia. Beliau yang mempunyai kepakaran dalam Italian Cuisine, merupakan antara bintang yang telah menaikkan minat masyarakat di seluruh dunia dalam bidang masakan.

Oliver juga menentang penggunaan makanan yang telah diproses selain dunia chef terbaik tidak akan lengkap jika namanya tidak tersenarai.

3. Anthony Bourdain

Merupakan antara chef terkenal dunia dan mempunyai pengalaman luas selama 20 tahun dalam bidang ini. Merupakan graduan dari Culinary Institute of America, beliau pernah bekerja di pelbagai negara dalam bidang masakan.

Rancangan televisyen beliau, Anthony Bourdain: No Reservations telah menaikkan populariti beliau.

4. Rachel Ray

Wanita berusia 43 tahun ini dimartabat sebagai antara chef selebriti yang menerima bayaran paling lumayan di dunia iaitu AS$18 juta (RM54 juta) setahun.

Antara rancangan televisyen beliau yang mendapat sambutan adalah Rachael Ray, 30 Minute Meals, Rachael Ray's Tasty Travels dan $40 a Day.

Teknik beliau yang mempopularkan cara masakan yang mudah dan boleh disediakan dalam tempoh yang singkat, kurang dari 30 minit mendapat sambutan hangat.

Beliau mengakui tidak mendapat pendidikan formal dalam masakan selain tidak tahu membuat roti mahupun membancuh kopi!

5. Chef Wan

Nama sebenarnya Redzuawan Ismail memulakan kerjaya sebagai akauntan. Kini namanya termasyhur seluruh dunia dan lebih membanggakan masakan Malaysia semakin diterima ramai atas usahanya.

Dengan 12 buku mengenai masakan sudah ditulisnya dan menjadi Duta Makanan Malaysia, adalah tidak menjadi kesalahan untuk meletakkan beliau sebagai antara chef terbaik negara atas usaha dan jasanya selama ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: