Prof Madya Dr Shamsul Sahibuddin
IA ibarat sebuah rumah, jika hanya menyediakan dua hingga tiga lapis pagar bagi mengelak pencerobohan, tidak bermakna penceroboh masih tidak boleh memasukinya melalui atap atau pintu belakang rumah terbabit.
Bagaimana caranya, ia bukan persoalan, sebalik faktor keselamatan secara keseluruhan di rumah terbabit perlu diambil kira.
Barangkali masih ada ruang yang boleh diceroboh jika tumpuan keselamatan hanya tertumpu pada pintu depan rumah terbabit.
Inilah senario yang berlaku dalam negara apabila sekumpulan penggodam yang mendakwa diri mereka sebagai ‘Anonymous’ berjaya mencerobohi laman web kerajaan www.malaysia.gov.my.
Kumpulan ini tidak menceroboh secara senyap-senyap, sebaliknya terlebih dulu memberi amaran akan melakukan pencerobohan terbabit.
Melalui satu video di laman Youtube, mereka menjelaskan, tindakan itu sebagai bantahan terhadap langkah kerajaan Malaysia menapis pelbagai laman web dalam dan luar negara.
“Kami bimbang jika kerajaan Malaysia terus menafikan kebebasan manusia, kami terpaksa bertindak pantas tanpa belas kasihan,” kata kumpulan itu melalui satu rakaman suara di Youtube.
Pada hari sama iaitu pagi Khamis lalu, sebanyak 51 laman web digodam hingga menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza, bahkan laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab menerajui sistem komunikasi dan teknologi maklumat (IT) negara turut digodam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: