Sunday, June 19, 2011

Penjaga tin luar negara


Gadis berusia 17 tahun ini cukup tertarik dengan reka bentuk setiap tin.


SUSUNAN tin luar negara di dapur rumah ibu saudaranya, Nor Zarina Hamdan sering memikat hati. Barangan tersebut menjadi perhatian utama setiap kali bertandang ke rumah Nor Zarina di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Hatinya meronta-ronta mahu menjadi sebahagian daripada hobi tersebut. Pernah juga beberapa kali dia merengek untuk menjadi penjaga kesemua tin berkenaan.

Bagaimanapun, permintaan Fatin Nabihah Zaimi itu ditolak. Alasan ibu saudaranya, dia belum `cukup umur’ lagi.

Akhirnya, pada cuti persekolahan baru-baru ini, hajat Fatin Nabihah Zaimi dipenuhi. Ibu saudaranya membenarkan dia menjadi pemilik bersama. Berita tersebut sudah cukup membahagiakan dirinya sekali gus mencetuskan azam buat dirinya untuk lebih rajin untuk mengelap koleksi bersama ibu saudaranya itu.

Bercerita lanjut sebab utama gadis berusia 17 tahun itu tertarik dengan himpunan tin kosong, wajahnya mengorak senyuman lebar.

“Saya tertarik sebab semua tin ini cukup unik. Jarang dilihat di kebanyakan kedai yang menjual barangan Inggeris,” katanya.

Menelek

Pelajar Sekolah Menengah Dusun Nanding, Hulu Langat, Selangor itu memberitahu bahawa dia juga suka menelek reka bentuk yang ada pada setiap jenama tin.

Sebab kebanyakan set tin berisi teh dan coklat sebelum ini membuai rasanya. Seolah-olah hidup di celah-celah golongan aristokrat.

Antara alasan lain yang menyebabkan dia begitu teruja dengan kesemua tin berkenaan adalah kerana dia antara pencinta teh termasuk buatan tempatan.

Bagaimanapun, peluang untuk menikmati kesedapan teh Inggeris hanya didapati setiap kali ibu saudaranya pulang bercuti dari luar negara.

Daripada lebih 100 tin yang dijaga, Fatin paling menyayangi tin jenama Wedgwood, Ahmad, Looleconders Bob Fannings, Dilmah, Fortnum & Masom dan Harrods.

Selain kesemua tin terbabit juga antara koleksi terawal Nor Zarina yang mula menyimpan barangan tersebut sejak lebih 10 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: