Saturday, June 11, 2011

Berfesyen dengan but 'Phua Chu Kang'


Orange Caramel nampak cukup comel dengan but Aigle bercorak buah-buahan.


Memandangkan dunia hiburan Korea cukup besar dengan jumlah artis yang cukup ramai, sesuatu gaya atau trend berpakaian di sana boleh sahaja menjadi 'fenomena' - maksudnya ikutan di kalangan selebriti dan mungkin peminat mereka yang 'berani' bergaya.

Topi, jenama beg tangan, potongan seluar, skirt mahupun jaket merupakan item yang biasa mencetuskan trend berfesyen. Namun tidak tahu bila ianya bermula di Korea, 'but hujan' merupakan satu daripada item fesyen yang boleh dikatakan wajib dimiliki terutama kalangan artis wanitanya.

Berbeza daripada but kulit yang biasa dipakai artis Hollywood bergelar fashionista seperti Kate Moss, but yang dipakai artis Korea ini saling tak ubah macam but 'Phua Chua Kang'.

Tetapi jangan pula membayangkan but kuning getah yang berat dan hodoh!

Sebagai item fesyen, but hujan ini telah melalui transformasi dari segi bentuk, warna dan coraknya. Malah sudah ada jenama popular seperti Hunter daripada Scotland dan Aigle daripada Perancis mahupun Tretorn daripada Sweden yang menjadi pilihan artis dan selebriti di sana.

Sesuai dengan sifat asal but itu sebagai kasut pekerja ladang, ia bertambah popular apabila digayakan oleh artis G7 seperti Yuri dan Sunny daripada SNSD, Goo Hara (KARA), Hyomin (T-ARA) dan Victoria (fx) ketika muncul dalam program televisyen Invincible Youth.

Bintang Korea lain yang turut dilihat menggayakan fesyen kasut hujan atau but Phua Chua Kang ini ialah Kim Ha Neul, Taeyeon daripada SNSD, Lee Hyori dan Orange Caramel daripada After School.

Di Malaysia, rasanya belum ada artis yang berani memakai fesyen 'but hujan' ini. Mungkin kerana 'gaya ketimuran' artis kita lebih menebal daripada artis Korea.

Ini kerana, 'but hujan' ini lebih banyak digayakan dengan seluar pendek, skirt atau seluar ketat. Namun tidak pula bermakna ia tidak sesuai dipakai dengan baju longgar atau skirt labuh paras keting.

Cuma mungkin cuaca panas di negara ini sekarang menyebabkan ramai yang berfikir dua kali untuk menyarung but getah ketika keluar rumah. Tidak tahulah pula kalau ada yang berani menggayakan fesyen but hujan ini semasa musim tengkujuh atau angin monsun sekitar hujung tahun ini.

Berikut beberapa selebriti yang dilihat menggayakan 'but hujan'. Rasanya siapa yang kelihatan paling bergaya dengan fesyen ini?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: