|
|
Sebaik sahaja menjejak kaki di pintu masuk syarikat yang terletak di tingkat dua, hati saya tertanya-tanya, ini pejabat atau rumah?
Sebelum melangkah ke pintu utama Magicdreams, tetamu perlu membuka kasut dan di situ terdapat sofa merah menyambut kedatangan tetamu.
Di ruang terbuka itu sahaja, saya sudah merasakan suasana di rumah dan sebaik sahaja melangkah ke dalam, hati terus terpaut dengan dekorasi dalaman pejabat tersebut.
"Dekorasi dalam pejabat sengaja dibuat cozy kerana Inaz mahu bekerja dalam suasana tenang dan tidak tertekan. Memanglah kalau tengok macam di rumah.
"Kalau nak tahu di bilik Inaz dan Gib, siap ada bilik untuk anak. Bukan apa, Inaz lebih suka kalau bekerja sampai lewat, nampak anak di depan mata," katanya yang mesra dengan panggilan Inaz.
Menurut Inaz, beliau sengaja menyediakan bilik khas untuk puterinya, Ruhil Batrisya Agi, 9, kerana tidak mahu anaknya berasa terpinggir lantaran bebanan tugasnya.
Kata Inaz, perasaan bersalahnya pada Batrisya yang kerap ditinggal sewaktu bekerja dengan TV3 dahulu tidak akan diulangi lagi.
Malah katanya, penubuhan Magicdreams juga adalah disebabkan kata-kata keramat daripada anaknya, dua tahun lalu.
"Hati Inaz benar-benar tersentuh ketika itu apabila Inaz sibuk berkemas untuk melakukan tugasan di Dubai, Batrisya pun berkemas kerana nak ikut juga.
"Apabila Inaz jelaskan padanya yang Inaz terpaksa pergi untuk mencari duit persekolahannya, dia bawa tabung dan beritahu dia ada duit, Inaz tidak perlu bekerja lagi. Ketika itulah hati Inaz benar-benar tersentuh," katanya.
Mencerita lanjut, Inaz berkata, selama tujuh jam perjalanan ke Dubai, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja di TV3 tanpa mempunyai apa-apa perancangan.
Beliau hanya mampu bertahan menjadi suri rumah sepenuh masa untuk tempoh beberapa bulan sahaja, selepas itu Inaz mula memikirkan soal pekerjaan.
"Mungkin disebabkan selama ini Inaz bekerja, jadi bila lama duduk di rumah. Inaz jadi bosan. Inaz perlu pekerjaan yang tidak menghalang Inaz daripada mengurus anak.
"Setelah berbincang, Inaz dan Gib sepakat menubuhkan syarikat ini. Sebenarnya tidak mudah untuk kami membuka syarikat ini, tapi setelah melalui pahit maung, akhirnya kami dapat juga apa yang dihajati selama ini," katanya tersenyum.
Syarikat yang terletak di Jalan Mutiara Tropicana 3, Selangor ditubuhkan dua tahun lalu bukan sahaja beroperasi sebagai produksi penerbitan tetapi juga sebagai agensi media.
Menurut Inaz, syarikat yang mempunyai enam kakitangan tetap itu antaranya menyediakan perkhidmatan video korporat, TV komersial, penerbitan dokumentari, program TV dan agensi pengiklanan.
"Kami bukan sekadar melakukan kerja-kerja penerbitan yang selalunya diterajui oleh Gib, malah turut memberi nasihat kepada klien. Bab itu kerja Inaz.
"Disebabkan pernah bekerja dengan penerbitan, Inaz tahu waktu yang sesuai untuk masuk iklan. Setiap info yang diberi kepada pelanggan dibuat berdasarkan pengalaman Inaz sewaktu bekerja dahulu dan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan kami," jelasnya.
Memandangkan kedua-duanya pernah bekerja di belakang tabir, jadi segala selok belok penerbitan dilakukan sendiri tanpa mengharapkan bantuan luar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: