|
|
Sebaliknya, tutur kata gitaris yang juga merupakan seorang komposer itu kini cukup lembut. Malah, jika dia berjalan, pandangannya juga lebih banyak menunduk ke bawah kerana bimbang terpandang aurat yang bukan mahramnya.
Sementara daripada segi imej pula dia lebih senang berketayap dengan baju labuh seperti jubah. Perubahan Sham itu bukan sahaja mendapat perhatian ramai tetapi ia turut mengundang pelbagai persoalan di sebalik perubahan tersebut.
Menurut Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd. Salleh, dia sendiri tidak menyangka akan berubah dan menganggap hidayah yang diterimanya daripada Allah itu datang secara mengejut.
"Saya berubah secara tiba-tiba. Hidayah daripada Allah itu saya tanpa saya sedari. Cuma perubahan-perubahan itu sudah mula muncul dalam diri saya. Saya misalnya, akan mudah terjaga untuk bangun solat subuh. Kalau dulu saya susah hendak bangun pagi.
"Apatah lagi, saya jenis yang tidur mati. Sekarang ini saya senang hendak tunaikan solat. Walaupun kurang tidur tetapi alhamdulillah, saya masih mampu bangun pagi. Saya anggap ini anugerah Allah," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Gitaris berusia 35 tahun ini berkata, dia tidak menyangka akan berubah secara mendadak, malah ia turut mengejutkan ramai peminatnya. Isterinya, Farazila Abd. Jabar, 29, juga tidak terkecuali terkejut dengan perubahannya itu.
Bagaimanapun, Sham tidak menafikan faktor usia dan berkat doa isterinya itu sedikit sebanyak menyumbang kepada penghijrahan tersebut.
"Bagi saya, hidayah tidak ada dijual di mana-mana atau boleh diperolehi termasuklah di masjid tetapi ia datangnya daripada Allah. Apapun kita hanya mampu berdoa dan memohon agar diberi hidayah. Dalam hal ini, saya rasa isteri saya juga banyak berdoa untuk saya.
"Mac lalu isteri saya menunaikan umrah di Mekah dan ada orang nampak dia menangis sewaktu berdoa di sana. Selain itu, ibu bapa saya juga gembira dengan perubahan saya itu," katanya yang sering diundang sebagai gitaris jemputan dalam banyak konsert artis popular.
Tambahnya, rakan-rakannya di laman sosial Facebook di Internet juga semakin bertambah sehingga 15,000 kenalan yang turut menyokong penghijrahannya itu.
Sepanjang bersama Kamikaze sejak tahun 2000, dia dan kumpulannya telah menghasilkan empat album berjudul Kontroversi, Inspirasi, G3 dan The Return. Sayangnya, sejak dua tahun lalu Kamikaze telah dibubarkan dan anggota-anggota kumpulan itu membawa haluan masing-masing.
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini, biarpun sudah berubah daripada seorang yang sering meninggalkan suruhan agama kepada taat beribadah kepada Allah, dia tetap tidak melupakan bidang muzik.
Sebaliknya, Sham yang telah mendirikan rumahtangga sejak 17 Ogos 2008 dan masih belum dikurniakan cahayamata itu masih meneruskan Studio 21 yang ditubuhkannya bersama rakan kongsinya, Peter Chong.
Studio yang diasaskan sejak 2007 bersama juruadun terkenal di Puchong, Selangor itu masih aktif dalam menyediakan perkhidmatan rakaman lagu dan album artis-artis tempatan.
"Ini adalah bakat dan kerjaya saya. Bagaimanapun mulai sekarang saya akan cuba pastikan agar lagu-lagu dan album-album yang dirakamkan di studio saya itu biarlah menjurus ke arah mencari keredhaan Illahi," katanya yang kini turut aktif berdakwah termasuklah menerusi Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: