Tuesday, June 7, 2011

‘Baiti Qalbiey’ sentuhan ala Bali

Persis sebuah resort di Bali, Adam berjaya mengubah landskap luar rumahnya mengikut citarasa tersendiri.

DARI kejauhan pintu gerbang ukiran mewah yang dibeli khas dari Bali, Indonesia jelas kelihatan menangkap pandangan mata. Deruan air dari kolam buatan di bahagian dalam rumah juga jelas kedengaran.

Adam turut membina sebuah gazebo untuk beristirehat pada waktu petang.

Hiasan landskap juga tidak dipandang ringan. Rimbunan pelbagai pokok hijau melatari kawasan rumah sekaligus memberikan ketenangan seperti di kawasan kampung kepada yang bertandang.

Kolam air pancut dengan berkonsepkan Bali dibuat sendiri oleh Adam.

Menurut Adam Ismail, 36 tahun, dia begitu berminat dengan konsep ala kampung sehingga menjadikan ia sebagai idea utama ketika mula-mula pindah masuk ke rumah itu dua tahun lalu.

Adam menggambarkan rumah adalah tempat mulia dan penuh dengan kasih sayang.

Bagaimanapun bagi memberikan nilai tambah kepada idea yang cuba diterjemahkan, Adam mencampurkan unsur ala Bali dalam dekorasi rumahnya dengan konsep Melayu dari Pantai Timur.

Campuran konsep Pantai Timur jelas pada ukiran kayu yang digunakan.

“Saya seorang yang suka duduk di rumah jika tidak melakukan sebarang aktiviti. Dekorasi sesebuah rumah penting kerana ia adalah tempat untuk kita berpayung dari hujan panas.

Gemar menghabiskan masa di ruang tamu, tata rias ringkas menjadi pilihan Adam.

“Sebab lain saya memilih konsep ini adalah kerana memang sukakan suasana kampung kerana ia dapat memberikan ketenangan dan mengingatkan pada asal usul saya,” ujarnya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Menyusuri rumah teres dua tingkat milik Adam, kebanyakan perabot di dua ruang tamu selari dengan konsep kampung ala Bali yang cuba ditonjolkan dan semua barangan itu dibeli terus dari Bali.

Antara koleksi barangan kayu yang dibeli di Bali kesayangan Adam.

“Kebetulan saya melawat ke Bali lantas terus mendapatkan beberapa barangan di sana dan harganya jauh lebih murah,” katanya yang turut mendapatkan beberapa aksesori dari Mesir sebagai tata rias di rumahnya.

Menggunakan warna lembut pada dinding rumahnya, Adam memberitahu dia sengaja memilih rona itu untuk memberi kontras kepada perabot yang kebanyakannya dari rona gelap supaya dekorasi rumahnya tampak berbeza.

Adam yang masih bujang berkata, tiada alasan untuk orang yang masih belum berkahwin sepertinya tidak menitikberatkan soal dekorasi rumah. Ini kerana baginya kekemasan sesebuah rumah mencerminkan sifat peribadi seseorang.

Jam antik dan pasu besar melatari ruang tamu.

“Kahwin atau tidak bukan soal tetapi sebagai seorang manusia biasa kita memerlukan ruang yang bersih dan kemas supaya selesa untuk diduduki biarpun tidak dihias dengan pelbagai perabot mewah,” katanya yang menjadikan aktiviti menghias rumah sebagai antara hobinya.

Sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Malaya (UM) dalam bidang undang-undang, Adam memberitahu dia melakukan kerja pengubahsuaian rumahnya itu sendiri dengan bantuan seorang tukang buat rumah demi merealisasikan imaginasi rumah impiannya.

Sebuah kolam ikan dan pangkin yang dibeli di Bali melatari ruang luar rumah.

“Memandangkan saya sedang cuti belajar, saya turut mencuri sedikit masa untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dan saya merancang untuk melakukan ubahsuai pada bahagian dapur pula selepas ini,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Undang-Undang.

Memanggil mahligainya itu sebagai ‘Baiti Qalbiey’ yang bererti rumah hatiku, Adam memberitahu ia sebagai simbolik rumah sebagai tempat yang mulia penuh dengan kasih sayang, ibadah, rahmat dan nikmat dari Tuhan.

1 comment:

  1. salam. saya berminat dengan konsep rumah encik Adam. saya sedang mencari rumah yang sebegini untuk tujuan penggambaran rancangan televisyen.(bukan drama- rancangan berbentuk majalah). Lokasi ini hanya diperlukan untuk rakaman host sahaja. Saya berharap Encik Adam sudi membenarkan kami menggunakan rumahnya untuk tuu
    juan itu. Bagaimana saya dapat menghubungi encik Adam? terima kasih. (mazni yaakub 0193775534 mazniyaakub_27@yahoo.com)

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: