Tuesday, June 7, 2011

Perguna nama agensi penguat kuasa

Rohaimi Md Isa.

MEMPERGUNAKAN nama agensi penguat kuasa bukanlah modus operasi baru dalam penipuan bersindiket, namun taktik itu kini semakin banyak digunakan terutama melibatkan individu yang menyamar sebagai Pegawai Imigresen.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, antara modus operadi yang digunakan termasuk penggunaan bungkusan sebagai ‘umpan’ dan penahanan warga asing di pintu masuk utama negara.

Sebenarnya bungkusan itu tidak wujud dan warga asing yang dikatakan ditahan di pintu masuk utama negara pun tidak wujud.

“Menggunakan agensi penguat kuasa dalam kes penipuan seperti ini disebabkan oleh kepercayaan penuh masyarakat terhadap jabatan atau agensi kerajaan itu.

“Sebelum ini penipuan melibatkan agensi penguat kuasa Kastam yang kononnya menahan bungkusan namun kini lebih tertumpu kepada tahanan manusia,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Rohaimi berkata, dari segi logik, tahanan manusia adalah lebih kritikal berbanding bungkusan kerana ia sesuatu yang bernyawa dan tuntutan tidak boleh ditangguhkan.

“Ini menyebabkan mangsa lebih mudah panik dan akhirnya terpedaya. Kelemahan ini yang menjadikan kekuatan penipuan mempergunakan nama Imigresen,” katanya.

Menurut beliau, kemunculan individu yang menyamar sebagai Pegawai Imigresen sebagai pengantara memperlihatkan penahanan itu benar-benar berlaku. Tetapi hakikatnya palsu.

Jelasnya, lebih meyakinkan mangsa apabila ‘Pegawai Imigresen’ itu adalah di kalangan wanita tempatan dan bukannya warga asing.

“Jika dahulu mangsa tertipu kerana cinta sehingga termakan pujuk rayu, namun bukan semuanya terlibat dalam hubungan cinta atau perniagaan dengan si penipu.

“Bagaimanapun, ia masih berpunca daripada kelemahan manusia iaitu perasaan. Selagi ada kelemahan ini, masyarakat akan terus ditipu tanpa sedar,” kata Rohaimi.

Selain tahanan warga asing di Imigresen KLIA, yang digunakan sebagai umpan antara kes penipuan bersindiket yang dilaporkan mangsa berkaitan dengan penipuan black money dan bungkusan hadiah.

Sebanyak 357 kes dan 55 tangkapan melibatkan sindiket penipuan direkodkan oleh JSJK dari Januari sehingga April tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: