Tuesday, June 7, 2011

Aksi kembar curi tumpuan Cub Prix Malaysia

Pasangan kembar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011, Mohd Izrul Huzaimie Amran kanan) dan Mohd Izrul Huzairie Amran.

KEHADIRAN pasangan kembar beraksi pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS menyaksikan perlumbaan edisi 2011 ini menjadi semakin rancak, lebih-lebih lagi apabila melihat dua pelumba muda kelahiran Terengganu, Mohd Izrul Huzaimie Amran dan Mohd Izrul Huzairie Amran bersaing dalam kategori Wira.

Apa yang menarik, pasangan ini merupakan kembar seiras yang pertama pernah beraksi dalam kejuaraan Cub Prix dan turut mengikut jejak langkah abangnya, Mohd Irwan Hafizh mewakili pasukan Sin Huat.

Berbekalkan pengalaman beraksi dalam perlumbaan pocket bike termasuk pernah menjuarai pertandingan Formula KBS pada 2009 dan 2010, pasangan kembar ini sudah bersedia untuk menempuhi cabaran dalam perlumbaan Cub Prix terbesar negara ini.

Bapa kepada pasangan kembar ini, Amran Muhamad berkata, penglibatan anak-anaknya dalam perlumbaan ini adalah disebabkan oleh minat yang mendalam dalam sukan permotoran. Malah hubungan baik dengan pengurus pasukan, Lau Chong Meng menjadikan peluang untuk beraksi pada kejohanan ini lebih luas.

“Kami sekeluarga sememangnya aktif dalam sukan pocket bike ini dan di rumah saya sendiri ada 17 buah motosikal pocket bike serta turut menyediakan kawasan untuk latihan. Dengan bakat serta minat yang ditunjukkan oleh Izrul Huzaimie dan Izrul Huzairie ini, saya yakin mereka akan memberikan yang terbaik pada perlumbaan tahun ini.

Aksi Izrul Huzaimie (kanan) dan Izrul Huzairie (tengah) di Putrajaya minggu lalu.

“Saya dan Lau sebenarnya memang rapat sejak dahulu lagi. Kami bukan sahaja bagaikan adik-beradik malah berkongsi minat yang sama. Dia melihat potensi yang ada pada anak-anak saya dan akhirnya kami bersama-sama membentuk pasukan Sin Ban Huat ini.

“Penyertaan awal kami bermula pada tahun lalu apabila abang mereka (Irwan) mula menyertai kategori Wira atas tiket persendirian. Hanya pada tahun ini kami mula mendaftarkan pasukan ini dan turut menambah dua lagi pelumba iaitu Izrul Huzaimie dan Izrul Huzairie.

“Sepatutnya sejak tahun lepas lagi mereka sudah menyertai pertandingan ini namun disebabkan tubuh badan yang kecil, mereka tidak melepasi syarat ketinggian dan berat badan yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Hanya pada tahun ini barulah mereka berpeluang untuk menyertai kejuaraan, itupun berat motosikal ditambahkan.” katanya.

Sementara itu Chong Meng berkata, walaupun Izrul Huzaimie dan Izrul Huzairie mempunyai pengalaman luas dalam acara pocket bike tetapi dia tidak meletakkan sebarang sasaran yang tinggi terhadap kedua-dua pelumba ini kerana mereka masih di peringkat untuk menyesuaikan diri dengan saingan Cub Prix yang agak berbeza dengan pocket bike.

“Kedua-dua pelumba ini masih mentah dan kurang pengalaman, mereka juga masih gementar untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman.

“Bagaimanapun kita akan terus membimbing dan memberi tunjuk ajar untuk meningkatkan lagi prestasi mereka,” jelas Lau.Selain itu, bagi Izrul Huzaimie dan Izrul Huzairie peluang ini merupakan satu pengalaman baru bagi mereka dalam menerokai dunia perlumbaan, malah ia juga dianggap kenangan berharga kerana dapat bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman.

Langkah awal ini turut dijadikan sebagai landasan untuk terus mempelajari selok-belok perlumbaan memandangan ia sikit berbeza dengan perlumbaan pocket bike, namun itu tidak menjadi masalah kepada mereka.

“Saya percaya suatu hari nanti kami mampu berada di tempat yang terbaik dalam kategori ini. Tahun ini merupakan tahun percubaan dan kami akan cuba membalas kepercayaan yang diberi oleh pihak pengurusan dengan mempamerkan aksi cemerlang,” kata Izrul Huzairie.

Amran (dua, kanan) bersama anak-anaknya pada perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Walaupun masih gagal memungut sebarang mata dalam kategori Wira, pasangan kembar yang berumur 14 tahun ini tidak berputus asa untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dengan niat menimba pengalaman dalam kategori satu pengeluar Piala Yamaha EgoLC PETRONAS yang memulakan saingannya di Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia di Presint 3, Putrajaya sempena dengan Hari Belia Negara pada 28 dan 29 Mei lalu.

Hasilnya cukup memuaskan apabila mereka berdua menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan di kelompok lima pelumba terbaik. Izrul Huzairie berada di tempat keempat dengan masa keseluruhan 10:54.530s manakala abangnya, Izrul Huzaimie di tempat kelima dengan 10:55.216s.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: