Sunday, June 26, 2011

Azimat Aniza meniti kejayaan

TUNJANG KEKUATAN... Aniza dan Mohammad Munir bersama pekerja yang menjadi pemacu Bio Haruantech.
TUNJANG KEKUATAN... Aniza dan Mohammad Munir bersama pekerja yang menjadi pemacu Bio Haruantech.

BERAKIT-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian. Bagi sesetengah orang, pepatah berkenaan mungkin dijadikan pendorong bagi menghadapi cabaran hidup, tetapi tidak kepada Aniza Yaacob, 43.

Bagi wanita ini, pepatah berkenaan adalah 'azimat' untuk meniti kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi bersama suaminya, Mohammad Munir Lukman Hakim, 43.


Berasal dari Bagan Datoh, Perak, ibu kepada lima cahaya mata ini mengakui pepatah berkenaan menjadi pegangan dalam hidupnya meskipun pernah tiga kali terpaksa menjual perniagaan yang diusahakan bersama suaminya berikutan kekurangan modal dan sambutan.

  • Foto

    BINCANG...Aniza (kanan) dan suaminya, Mohammad Munir (dua kanan) mementingkan komunikasi dua hala antara pekerja bagi memastikan produk dihasilkan lebih berkualiti dan bersih.

  • Foto

    HALAL...antara produk Bio Haruantech dihasilkan.

  • Foto

    TELITI...setiap produk Bio Haruantech dihasilkan dengan teliti bagi memastikan ia selamat dan halal digunakan.

Malah, berkat kesabaran dan percaya dengan pepatah berkenaan, Aniza kini boleh berbangga kerana memiliki syarikat sendiri di bawah nama, Bio Haruantech (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan 10 produk terdiri daripada tiga produk kesihatan dan tujuh produk makanan di bawah jenama Rizza Brand.


Antara produk berkenaan adalah produk kesihatan berasaskan ikan haruan iaitu pati ikan haruan, sup haruan segera dan sup haruan kolagen serta makanan segera Rizza Brand iaitu laksa segera, mee udang segera, bihun sup segera, sardin dalam tin, gulai ikan tongkol dalam tin, sambal tumis ikan keli dalam tin dan kuah laksa.


Akui wanita ini, walaupun boleh dikategorikan sebagai antara usahawan Bumiputera yang berjaya, pengalaman 'jatuh bangun' dalam bidang berkenaan tidak sekali-kali dilupakannya.

Ini kerana, pengalaman hampir 20 tahun bersama suami membina perniagaan sendiri mematangkan dirinya untuk membuat keputusan dan memilih perniagaan yang sesuai dengan permintaan pasaran sedia ada.


"Jika dilihat situasi perniagaan pada masa kini, mungkin ramai yang beranggapan saya sebagai antara insan bertuah kerana berjaya membina perniagaan yang mempunyai permintaan dan pasaran.

"Namun, apa yang pasti, tidak ramai yang mengetahui bahawa sebenarnya begitu banyak kesukaran yang pernah saya hadapi, malah boleh dikatakan hampir 20 tahun saya mengerah tenaga sebelum melihat sendiri hasil usaha yang dilakukan akhirnya terpaksa dilepaskan," katanya.


Tetapi, bak 'resmi padi, makin tunduk, makin berisi', Aniza mengakui, melalui tempoh selama 20 tahun berkenaan dia 'mengutip' pengalaman dan pengajaran bagaimana untuk menguruskan perniagaan selain menjadikannya lebih teliti dalam memilih peluang perniagaan yang sesuai.


"Bagi saya ini satu kelebihan kerana tanpa pendidikan khusus hingga ke peringkat menara gading, pengalaman yang saya timba mengajar saya segalanya daripada A hingga Z.


"Walaupun mengambil masa agak lama untuk berjaya hingga peringkat ini, saya puas hati kerana kini saya tahu untuk melakukan setiap pekerjaan sama ada membabitkan pengurusan dan pemprosesan hinggalah kepada pemasaran," katanya.


Mengimbas kembali bagaimana terbabit dalam bidang perniagaan, Aniza berkata ia bermula pada 1993 apabila salah seorang kenalannya menawar pengambilalihan sebuah pasar mini berikutan terpaksa berpindah ke luar negara.


"Sebenarnya selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), saya hanya makan gaji dengan bekerja di sebuah syarikat perbankan sekuriti di ibu negara.


"Jadi, apabila ditawarkan untuk membeli pasar mini berkenaan, saya dan suami yang sememangnya bekerja di tempat yang sama kemudian nekad berhenti dan mengorak langkah untuk terbabit dalam bidang perniagaan," katanya.


Ternyata, peluang yang diambil terus memupuk cita-cita untuk memiliki perniagaan yang lebih besar dan kerana tidak berpuas hati terhadap keuntungan hasil pasar mini itu, tiga tahun kemudian, dia dan suaminya kemudian menjual perniagaan terbabit dan membuka syarikat memproses serbuk kopi di bawah jenama Mahkota.


"Kami hanya terbabit dalam bidang pemprosesan kopi selama empat tahun saja kerana mendapati sambutan yang diterima amat tidak memuaskan. Oleh kerana tidak mahu menanggung kerugian, kami jual perniagaan berkenaan dan mengambil kontrak bagi melakukan proses pengetinan seri kaya bagi sebuah syarikat tempatan.


"Tetapi, perniagaan itu juga tidak dapat bertahan lama kerana kenaikan harga barangan menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan modal yang lebih selain faktor persaingan daripada syarikat lain," katanya.


Akhirnya, setelah melakukan beberapa kajian dan hasil penelitian termasuk dengan beberapa agensi kerajaan, Aniza berkata dia dan suaminya kemudian mendapati industri berasaskan ikan haruan mempunyai potensi yang besar untuk maju berikutan kurangnya penyertaan warga tempatan dalam industri berkenaan.


"Daripada apa yang kami lihat, ikan haruan ini sememangnya terkenal sebagai makanan yang berpotensi mempercepatkan penyembuhan luka dan mempunyai permintaan yang tinggi baik dikalangan kaum Melayu, Cina mahupun India.


"Setelah melakukan perbincangan, saya dan suami kemudian nekad untuk menukar perniagaan pengetinan seri kaya itu kepada pemprosesan ikan haruan pada 2006 dan ternyata sambutan amat baik walaupun masih ramai yang geli untuk memakan ikan haruan yang sudah di tin dan dibungkus" katanya.


Sehingga kini Aniza boleh tersenyum bangga apabila jumlah pengeluaran produk ikan haruan yang pada awalnya hanya mampu dikeluarkan pada skala satu tan sebulan kini meningkat kepada lima tan sebulan.


Menurut Aniza, selain dijual di negara ini, kesemua produk yang dihasilkan juga sudah menembusi pasaran di Singapura dan Brunei kerana kualiti yang dihasilkan terbukti lebih baik, bersih dan halal.

>PROFIL
NAMA: Aniza Yaacob
USIA: 43 tahun
ASAL: Bagan Datoh, Perak
PENDIDIKAN: Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
JAWATAN: Pengarah Bio Haruantech (M) Sdn Bhd
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Mohammad Munir Lukman Hakim
ANAK: Maizura, 20, Mohd Amir Redza, 19, Mohd Adry Redza, 16, Mohd Adiel Redza, 16, dan Mohd Alim Redza, 14.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: