Monday, June 13, 2011

Astro First telus bayar royalti penerbit


FILEM Hantu Kak Limah Balik Rumah paling mendapat sambutan sewaktu ia ditayangkan di Astro First.


ISU sama ada pihak penerbit bersetuju atau tidak filem-filem Melayu ditayangkan di saluran Astro First selepas melalui Skim Wajib Tayang selama dua minggu di pawagam-pawagam seakan-akan senyap begitu sahaja.

Ini kerana, kebanyakan penerbit bersetuju dengan alternatif yang disediakan oleh saluran televisyen berbayar itu yang membantu menambah jumlah kutipan pendapatan daripada tayangan filem-filem terbitan mereka.

Namun, inisiatif Astro First yang turut memudahkan para penonton menonton filem-filem Melayu di kaca televisyen itu masih terus diperkatakan termasuklah soal ketelusan mereka membayar royalti kepada penerbit terbabit.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, pihaknya mempunyai satu sistem yang telus dalam membayar royalti kepada penerbit berdasarkan jumlah langganan ke atas tayangan sesebuah filem itu.

"Di Astro First kami mempunyai sistem bil yang menggunakan teknologi perisian berkomputer dalam sistem pungutan berdasarkan jumlah langganan daripada para pelanggan kami.

"Ini bermakna, semua jumlah langganan yang diterima untuk menonton sesebuah filem yang ditayangkan di Astro First boleh diaudit oleh pengaudit kami. Jumlah yang diterima itu kami akan umumkan dan beritahu penerbit.

"Kita akan keluarkan penyata dan daripada situ pihak penerbit akan menerima bayaran royalti tayangan filem-filem mereka di Astro First," katanya kepada Hits pada pertemuan di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, Khairul enggan mendedahkan nama penerbit mahupun judul filem yang paling banyak mendapat langganan daripada para penonton Astro First mahupun menjelaskan secara terperinci cara agihan royalti itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kadar bayaran royalti ke atas setiap filem yang telah ditayangkan berbeza-beza berdasarkan banyak faktor termasuklah populariti pelakonnya.

"Banyak perkiraan yang kami gunakan dalam membayar royalti sesebuah filem di Astro First. Contohnya nama pelakon, pengarah, penerbit dan sambutan filem itu sewaktu ia ditayangkan di pawagam-pawagam.

"Selain itu, kami juga mengambil kira kos penerbitan sesebuah filem itu. Biasalah kalau di Hollywood sendiri, setiap studio atau penerbit filem di sana juga mempunyai harga mereka sendiri sebagai kayu pengukur royalti," ujarnya.

Astro First yang memulakan pakej pertamanya pada 11 Januari lalu dengan menayangkan tiga filem terbitan MIG Production berjudul Damping Malam, Aku Masih Dara dan Ngangkung semakin mendapat sambutan para penerbit.

Setiap filem yang ditawarkan menerusi pakej itu mengenakan bayaran langganan berharga RM15 bagi tempoh pakej tayangan selama 48 jam di mana dalam tempoh itu para pelanggan berpeluang menontonnya berulang kali.

Jelas Khairul Anwar, setiap filem pula akan ditayangan di Astro First selama 30 hari hingga 40 hari berdasarkan sambutan daripada para pelanggan dan juga persetujuan yang telah ditandatangani dengan pihak penerbit.

"Ada juga filem yang mendapat sambutan hebat dan mendapat ruangan tayangan lebih lama, misalnya filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang ditayangkan di Astro First selama hampir 40 hari. Itu adalah filem yang paling mendapat sambutan.

"Sehinggakan ada pelanggan kami yang melanggan sehingga lapan kali pakej bagi menonton filem arahan Mamat Khalid itu. Ini bermakna, pelanggan terbabit membayar RM120 bagi melanggan pakej itu," jelasnya.

Sementara itu, Astro kata Khairul Anwar turut menafikan kewujudan Astro First membunuh industri filem Melayu secara senyap kerana menayangkan filem baru sejurus tamat tayangannya di pawagam.

Jelasnya, senario itu bukan sahaja menggalakan persaingan sihat di kalangan penerbit filem tetapi ia juga mampu meningkatkan kualiti filem-filem Melayu selain berdaya saing dengan filem-filem luar pada masa depan.

"Kalau ada yang kata penonton tidak akan ke pawagam kerana menunggu tayangan filem Melayu di Astro First fakta itu tidak betul.

"Contohnya filem Hantu Kak Limah Balik Rumah bukan sahaja berjaya di pawagam. Filem itu juga mendapat sambutan di saluran ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: