|
|
SELEPAS anak muda ini menjulang trofi Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) menerusi filem Evolusi KL Drift 2tahun lalu, ramai yang menantikan buah tangan terbarunya.
Apatah lagi, kemenangan Syamsul Yusof pada malam bersejarah itu dikritik hebat oleh segelintir pihak yang bagaikan tidak merestui trofi keramat itu menjadi hak milik mutlaknya.
Atas alasan itu, golongan itu terutamanya pasti menantikan detik untuk melihat sama ada filem terbarunya setaraf dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan.
Bukan itu sahaja, kejayaan filem seram pertama arahan Syamsul Khurafat juga dijadikan sebagai kayu pengukur untuk melihat sejauh manakah kehebatan Syamsul sebagai seorang pengarah filem.
Tarikh 9 Jun lalu menyaksikan satu lagi sejarah yang telah tercatat dalam portfolio Syamsul apabila kelima arahannya, KL Gangster mula ditayangkan di pawagam.
Sebagai seorang pengarah yang cukup sinonim dengan filem aksi dan drama, pastinya ia bukanlah satu masalah untuk Syamsul memberikan hasil yang terbaik dalam filem-filem seterusnya.
Jujurnya, penulis mempunyai tanggapan skeptikal terhadap hasil karya Syamsul kerana bimbang setiap filemnya akan memiliki pendekatan yang sama.
Bermula dengan filem pertama Evolusi KL Drift (2008), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan Evolusi KL Drift 2 (2010), penulis berpendapat Syamsul telah meletakkan satu acuan tetap untuk filem-filemnya terutama dari aspek dialog dan elemen aksi yang ditonjolkan.
Terbaik
Lalu, apabila berpeluang menghadiri majlis pratonton filem KL Gangster di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, penulis tidak mampu menghapuskan pandangan tersebut.
Namun, semuanya berubah sebaik sahaja filem mula berputar dan untuk lima minit pertama, KL Gangster telah berjaya membuatkan penulis terus melekat di kerusi sehingga filem tamat.
Ternyata, Syamsul telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara sebagai seorang pengarah filem apabila KL Gangster sememangnya merupakan filem aksi terbaik untuk tahun 2011 setakat ini.
KL Gangster memiliki rencah yang cukup untuk diangkat sebagai sebuah filem aksi. Lakonan, jalan cerita dan elemen drama serta aksinya memang cukup menyakinkan.
Sepanjang hampir satu setengah jam di dalam panggung wayang, tidak sedetik pun timbul rasa bosan menonton KL Gangster. Mata begitu ralit menyaksikan santapan di layar lebar sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas sehingga tirai dilabuhkan.
Pertuturan dialog dalam KL Gangster tidak lagi menjadi sesuatu yang klise sebaliknya skrip tulisan Syamsul dan sepupunya, Rizal Ashref membuatkan penonton benar-benar percaya dengan dunia gangster seperti yang dipersembahkan.
Begitu juga dengan kemunculan setiap pelakon yang seimbang dan tiada istilah cuba membayangi antara satu sama lain dalam filem KL Gangster.
Zizan Raja Lawak sebagai Fadil misalnya, begitu mencuit hati dan berjaya menggeletek penonton dengan lakonannya. Setidak-tidaknya kehadirannya meredakan ketegangan menonton KL Gangster.
Selain Zizan, seorang lagi pelakon iaitu Shoffi Jikan juga begitu menyerlah dalam filem ini sebagai Ajib. Rasanya peluang begitu cerah untuk Shoffi dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam FFM yang akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: