KENANGAN... Ameer Noraizeedin (depan, dua dari kanan) bersama penerima anugerah pada majlis makan malam.
MENYOROT tiga tahun lalu, tidak siapa menyangka sekumpulan anak muda yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di tepi jalan selain kerap menghampiri pelanggan yang minum dan makan di kedai mamak sekitar ibu negara itu mampu hidup senang lenang hari ini.
Tidak ada perasaan malu di kalangan mereka kerana yang penting, rancangan yang direncana perlu dilaksanakan dan mereka bertekad mengenepikan semua perasaan sedemikian.
"Aspek paling penting dalam perniagaan ialah kesungguhan, tidak cepat putus asa serta terus belajar selagi mampu. Kalau kami malu, sudah tentu apa yang kami usahakan ini tidak nampak hasilnya.
"Kami tidak membuat pinjaman kewangan dan segala yang ada sekarang ini adalah hasil usaha gigih kami. Memang itu sesuatu yang boleh kami banggakan.
"Tidak keterlaluan kalau kami katakan bahawa kami sekarang mampu bersaing dengan syarikat gergasi lain," kata pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ads4Bucks Network Sdn Bhd (Ads4Bucks), Ameer Noraizeedin Abdul Wahab, 41.
Apa dikecapi Ameer Noraizeedin hari ini adalah hasil perjuangannya serta kesungguhan untuk mengubah hidup dan dalam masa sama, mahu membantu mereka yang ingin berjaya dalam dunia perniagaan.
"Kejayaan bukan datang bergolek, kita perlu berusaha tanpa jemu, sanggup bersengkang mata membina rangkaian, bersedia dengan pelbagai halangan dan rintangan yang bakal dilalui dan paling penting, mohonlah restu dan doa ibu bapa," katanya.
Ameer Noraizeedin yang mempunyai pelbagai pengalaman bekerja di dalam dan luar negara melahirkan rasa bangga dan terharu dengan pencapaian setiap agennya dalam perniagaan Internet itu.
"Saya pernah bekerja di syarikat insurans sekembalinya dari luar negara pada 2001. Ads4bucks dilahirkan pada November 2008 dan hasrat kami ialah memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan melalui komisen," katanya.
Ameer yang juga pemegang Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak pernah menimba ilmu di dalam bidang perniagaan dengan menyertai pelbagai pengurusan dan seminar motivasi serta kursus, termasuk Biro Tata Negara dan Outbound School (OBS).
Peribadinya yang peramah dan mudah mesra menyebabkan beliau disenangi ramai dan menjadi pilihan pelbagai agensi serta syarikat antarabangsa.
Beliau sering dilantik sebagai jurucakap, penceramah motivasi selain menyajikan pelbagai latihan kepada sesiapa yang memerlukan.
Beliau yang membuka perniagaan tanpa modal berbentuk kewangan berkata, banyak tenaga dan pengorbanan perlu dilakukan, malah ada pihak memandang serong usahanya dan mengaitkannya dengan skim cepat kaya.
"Hakikatnya syarikat ini menjalankan perniagaan berasaskan penjualan perkhidmatan di atas talian dan pengiklanan, di mana objektif utamanya ialah membina portal pengiklanan yang popular.
"Ia juga bakal mewujudkan komuniti usahawan yang mempunyai ilmu untuk mengembangkan perniagaan masing-masing melalui Internet sebagai satu cara pemasaran," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Ambrose, Ayer Tawar, Perak itu.
Walaupun kini jumlah kakitangannya mencecah 26 orang, Ameer masih bekerja melebihi 18 jam sehari dan umum pasti tidak percaya, sepanjang menerajui Ads4Bucks, diari hidupnya belum tercatat perkataan 'berehat' atau 'bercuti' kerana terlalu komited menguruskan syarikat.
"Tiada insan di dunia ini mampu mendirikan empayar perniagaannya bersendirian untuk terus berdaya saing dan mencapai kejayaan, sebaliknya kerja berpasukan sangat diperlukan.
"Itulah yang saya lakukan dan keluarga memahami situasi ini, malah isteri tidak pernah merungut jika saya tidak dapat memenuhi tuntutan seperti diingini," katanya.
Ameer Noraizeedin berkata, sebaik beroperasi, perniagaannya mula berkembang dan sentiasa menerima pelanggan baru dan mulai 4 November 2009 sehingga Disember 2010, Ads4Bucks berjaya memperoleh peningkatan jualan lebih daripada 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ameer Noraizeedin yang pada peringkat awalnya bercita-cita menjadi anggota tentera berkata, Ads4bucks dengan mottonya 'Linking People, Products and Profits Worldwide' tanpa rasa jemu mencipta pelbagai inovasi baru secara berterusan demi memenuhi permintaan ejennya yang bertambah setiap hari.
Beliau berkata, program Shop4Bucks (sebelum ini dikenali sebagai Ads4Merchants) adalah satu platform perniagaan yang unik untuk semua pengusaha.
Ini kerana program ini menggunapakai secara bijak kebanjiran trafik di laman web rasmi Ads4Bucks, www.ads4bucks.com yang wujud hasil daripada ejennya yang berjumlah lebih 80,000 orang dan juga laman komuniti yang semakin meningkat popularitinya.
"Laman web Ads4Bucks kini di kalangan 100 laman web paling kerap dikunjungi rakyat Malaysia. Hari ini portal Ads4Bucks berjaya menjadi portal ke-89 paling popular di Malaysia.
"Kami yakin dalam tempoh dua tahun, Ads4Bucks akan berada di tangga nombor satu di Malaysia. Apabila portal dikunjungi dengan sesak, iklan orang ramai menjadi lebih efektif dan jual beli pula menjadi sangat aktif.
"Ads4Bucks yakin akan mengharumkan nama Malaysia satu hari nanti sebagai portal pengiklanan dan e-dagang terbaik di dunia," katanya.
>PROFIL
NAMA: Ameer Noraizeedin Abdul Wahab
UMUR: 41 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Ads4Bucks Network Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah (SK) Kebangsaan Larkin, Johor Bahru; Sekolah Menengah Ambrose, Ayer Tawar, Perak; Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak
STATUS: Berkahwin
ANAK: 4 orang
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: