Sunday, June 5, 2011

Terasa 'muda' di Korea

KENANGAN...rombongan Harian Metro bergambar di depan Stadium Piala Dunia Seoul.
KENANGAN...rombongan Harian Metro bergambar di depan Stadium Piala Dunia Seoul.

AN-NYUNG-HA-SE-YO (Apa khabar). Ungkapan bahasa Korea itu sentiasa diucapkan peserta Akademi Fantasia 9 (AF9), Erul setiap kali memperkenalkan dirinya di rancangan nyanyian realiti berkenaan.

Erul, seperti kebanyakan remaja lain di negara ini, adalah peminat filem dan lagu Korea. Malah, tidak keterlaluan dikatakan sebahagian golongan berusia 30-an hingga 40-an juga mempunyai minat sama, seolah-olah kita mengalami 'demam Korea'.


Apa istimewanya filem dan lagu Korea? Itu persoalan di benak penulis ketika melihat aksi Erul di AF9 atau gelagat rakan di pejabat yang terlalu kemaruk filem berkenaan.

  • Foto

    GEBU...gadis Korea membeli belah di Myeong-Dong Fashion Street.

  • Foto

    ENAK...rombongan Harian Metro diketuai Pengarang Kumpulannya, Datuk Mustapa Omar (dua dari kiri) menikmati makanan Korea, termasuk kimchi, di sebuah restoran di Seoul.

  • Foto

    CANTIK...seorang gadis Korea (berbaju petak) beratur untuk membeli tiket permainan di taman tema Everland.

  • Foto

    COMEL...penulis bergambar dengan seorang gadis Korea di Pulau Nami.

Perasaan ingin tahu itu semakin membuak-buak apabila penulis mengikuti rombongan ketiga lawatan Harian Metro ke Seoul, Korea Selatan pada awal bulan lalu, tajaan syarikat kami, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).


Seperti kebiasaan sebelum ke luar negara, penulis akan mencari maklumat ringkas mengenai negara berkenaan, terutama lokasi menarik, bahasa, makanan dan rakyatnya.


Satu malam ketika ingin mencari maklumat berkenaan, tiba-tiba penulis terpandang wajah seorang wanita cantik di skrin komputer rakan sepejabat. Rambutnya lurus panjang mengurai, kulitnya putih mulus, bibir merah berair, gigi tersusun rapi, badannya terbentuk bak kerengga manakala matanya kuyu menggoda.

Apabila ditanya pemilik komputer itu, wanita berkenaan adalah aktres popular Korea Selatan, Song Hye Kyo yang pernah dipilih sebagai wanita tercantik oleh selebriti lelaki negara itu.


Lantas penulis ke komputer sendiri untuk mencari maklumat lanjut di Internet mengenai Song. Rupa-rupanya aktres berusia 33 tahun yang terkenal menerusi drama Autumn in My Heart (2000), All In (2003) dan Full House (2004) itu juga model.

Apa lagi, makin tidak sabar rasanya untuk menjejak kaki ke bumi Korea Selatan dan bergambar dengan gadis cantik di negara itu. Bukan niat untuk menggatal, jauh sekali menyentuh, tetapi sekadar kenangan berkunjung ke negara orang yang mungkin tidak dilawati lagi selepas ini.


Ini kerana sebagai golongan berpendapatan sederhana, kadar tukaran mata wang negara itu yang kira-kira tiga kali lebih mahal berbanding Ringgit Malaysia (RM) tidak menyebelahi penulis untuk berkunjung semula dengan duit sendiri pada masa depan.


Kadangkala, penulis juga pelik perasaan 'nakal' itu tidak pula wujud ketika berkunjung ke China dan Jepun sebelum ini. Mungkin juga penulis lebih mengagumi gadis Korea Selatan, perasaan sama dikongsi rakan lelaki lain.


Barangkali penulis sudah biasa melihat wajah gadis Cina di Malaysia, manakala sentimen Jepun sebagai bekas penjajah mempengaruhi pandangan penulis terhadap gadis negara itu.


Dalam kata lain, penulis menganggap gadis Korea Selatan paling cantik di kalangan wanita Asia Timur biarpun ada laporan mengatakan kecantikan itu kebanyakannya tidak asli berikutan kos pembedahan plastik yang murah di situ. Apapun, kunjungan ke negara itu tidak disia-siakan.


Setibanya di Seoul, rombongan kami dibawa ke Pulau Nami, pulau yang terkenal selepas penggambaran drama bersiri Winter Sonata - drama terbitan 2002 yang turut menarik perhatian peminat drama dan filem di Malaysia.


Di pulau ini, mudah mencari kelibat gadis tempatan menarik tetapi hendak dikatakan terlalu cantik, tidak juga. Mungkin ramai gadis comel ke situ kerana mereka juga memasang impian untuk menjadi bintang filem satu hari nanti seperti idola mereka.


Apapun, tidak sukar mengajak gadis Korea Selatan bergambar, asalkan tidak pemalu dan kena caranya. Lebih mudah jika mengetahui serba sedikit bahasa mereka, mereka pasti mudah 'cair'.


Penulis tidak percaya jika ada mengatakan gadis Korea Selatan tidak tahu bercakap dalam bahasa Inggeris asas. Sebaliknya, gerak hati penulis berasakan mereka berbangga dengan bahasa ibunda dan hanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris jika keadaan terdesak.


Senario itu lumrah di kalangan penduduk negara maju yang pernah penulis kunjungi, terutama Jepun dan Perancis. Seperti masyarakat di kedua-dua negara berkenaan, gadis Korea Selatan juga mudah mesra jika kita menggunakan bahasa mereka biarpun pelat.


Salam perkenalan annyung haseyo sudah cukup membuatkan mereka tersenyum mesra, apatah lagi menggunakan ungkapan nakal seperti jungmal chohayo (saya suka kamu) atau saranghae (saya cinta kamu), makin mudah mereka untuk diajak bergambar biarpun dengan orang asing.


Bagi penulis, ungkapan nakal seperti itu hanya mainan lidah tanpa membawa apa-apa makna. Penulis percaya mereka juga menganggap ia gurauan daripada pelancong asing yang inginkan gambar kenangan untuk dibawa pulang ke tanah air.


Pada sebelah petang pula, kami dibawa ke taman tema Everland dan diperuntukkan masa kira-kira tiga jam. Bagaimanapun, satu pertiga daripada tempoh berkenaan terganggu berikutan hujan renyai-renyai yang memerlukan kami memakai baju hujan, sekali gus mengehadkan pergerakan.


Sudah adat di teman tema, pengunjung tempatan yang datang berkumpulan kebanyakannya pelajar sekolah, jarang sekali kelihatan gadis atau wanita matang.


Menurut pemandu pelancong kami, Jenny, 'syurga' sebenar gadis cantik adalah di Myeong-Dong Fashion Street, iaitu mirip Jalan Petaling di Kuala Lumpur.


Namun kebetulan ketika berkunjung ke situ pada Ahad, kami dikejutkan dengan berita kematian rakan setugas di tanah air, sekali gus 'mood' untuk berseronok tiba-tiba hilang, selain menghormati roh arwah. Tidak dinafikan di situ ramai gadis atau wanita cantik, cuma hati ini sudah tidak 'berselera' memetik kamera.


Selain orangnya, seperkara menarik mengenai identiti sesebuah negara adalah makanan. Bercerita mengenai Korea Selatan, tidak lengkap jika tidak menyebut kimchi, makanan tradisional negara itu.


Serba ringkas, kimchi adalah sayur jeruk yang diperap dengan bahan seperti udang kering, sos ikan, bawang putih, halia dan serbuk cili merah, selain dicampur sedikit garam.


Ada kira-kira 200 jenis kimchi termasuk kimchi khas daerah dan kimchi sayuran bermusim. Bagaimanapun, Muzium Ladang Kimchi yang terletak di Seoul mencatatkan 187 jenis kimchi, dari kimchi zaman dulu hingga kimchi zaman sekarang, antaranya kkakdugi dengan bahan utama lobak tanpa sawi putih, kimchi timun yang disebut oisobaegi dan kkaennip (susunan daun perilla yang direndam dengan kicap, cili merah, bawang putih, daun bawang dan bahan penyedap lain).


Kimchi adalah satu daripada lima makanan paling sihat di dunia menurut Health Magazine, berikutan kaya dengan vitamin, membantu pencernaan, dan berkemungkinan dapat mencegah barah.


Biarpun sejak kecil penulis bukan penggemar sayur, adat bertandang ke negara orang perlu mencuba makanan tradisi di situ meskipun sedikit.


Bagi penulis rasanya biasa saja, tapi rakan yang menggemari sayur berpendapat kimchi boleh menaikkan selera ketika dijamah dengan nasi kerana rasanya pedas dan masin.


Tidak mengejutkan, menurut Jenny, kimchi adalah menu wajib setiap rumah di Korea Selatan.


Justeru, penulis dapat bayangkan kimchi ibarat tempoyak, budu atau sambal belacan bagi masyarakat Melayu - pelengkap kepada menu, terutama makan tengah hari.


Bagi yang tidak meminati makanan Korea Selatan atau berasa was-was, usah risau kerana anda masih boleh mendapatkan masakan Pakistan, India atau Maghribi di sekitar Itaewon, seperti Foreign Restaurant, Markesh dan Maharaja.


Menu di restoran berkenaan seperti nasi beriani, gulai kambing dan lembu serta ayam goreng pasti sesuai dengan selera mereka yang terbiasa dengan masakan mamak di tanah air.


Berbanding rombongan pertama dan kedua Harian Metro, kami yang berada dalam kumpulan ketiga berpeluang melawat Stadium Piala Dunia Seoul atau turut dikenali sebagai Stadium Sangam, terletak di Seongsan, Mapo-gu.


Stadium yang boleh memuatkan 66,806 penonton itu adalah gelanggang kejohanan bola sepak Piala Dunia 2002, di mana Korea Selatan dan Jepun bertindak sebagai tuan rumah bersama.


Bagi kaki bola seperti penulis, peluang melawat stadium terkenal itu bagai pucuk dicita ulam mendatang. Ini kerana, aktiviti melawat stadium bola sepak terkenal sentiasa menjadi agenda penulis ketika berkunjung ke luar negara, jika ada kelapangan.


Sebelum ini, pada 2003, penulis pernah melawat stadium kelab gergasi Inggeris seperti Anfield (Liverpool), Goodison Park (Everton), St Andrew (Birmingham); Villa Park (Aston Villa), White Hart Lane (Tottenham Hotspur) dan Highbury (stadium lama Arsenal), manakala pada 2004, Bernabeu (Real Madrid) di Sepanyol.


Meskipun stadium Sangam tidak memiliki tradisi gah kelab Inggeris atau Sepanyol, bagi orang Asia seperti penulis, stadium itu tetap istimewa kerana menyaksikan Korea Selatan muncul pasukan pertama Asia layak ke separuh akhir Piala Dunia sebelum tewas kepada gergasi Eropah, Jerman 0-1.


Sebagai kenangan, penulis sempat juga membeli replika kecil Piala Dunia 2002 berharga 12,000 Won (RM36) untuk diletakkan di rak cenderahati di rumah.


Penulis dan rakan hanya sempat berada lima hari di Seoul, tetapi tempoh itu sudah cukup untuk mendapat gambaran kasar mengenai bandar raya itu, terutama penduduk, budaya, makanan, lokasi menarik dan kemajuannya - sesuai dengan statusnya sebagai antara bandar raya terbesar dunia dengan penduduk lebih 10 juta. Annyeonghi gyeseyo (Selamat tinggal).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: