Tuesday, June 7, 2011

Masih hangat, sensasi

pix_gal0
JANDA muda meletup dan bergetah ini tidak pernah lekang dari cerita sensasi. Sejak bercerai hinggalah sekarang, ada saja cerita panas membabitkan Nora Danish ini.

Tak perlulah diungkit kembali apa yang pernah berlaku. Ramai yang sedia maklum bahawa kontroversi cerita Nora bersama bekas suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai serta Fasha Sandha pernah menjadi bahan muka depan akhbar untuk beberapa ketika.
Selagi belum terdengar dia berkawan rapat dengan sesiapa atau kembali mendirikan rumah tangga, selagi itulah soalan mengenai jodoh terus ditanya kepada pelakon yang mula dikenali menerusi watak Puteri ini.Bagaimanapun, terbaru ada angin gossip membawakan perkhabaran kononnya Nora sedang lena diulit cinta seorang kerabat dari Terengganu.

Dan mengikut ceritanya juga, jika tiada aral melintang, pasangan ini juga sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga penghujung tahun ini. Saat diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri ketika bertemu dengannya pada majlis pelancaran drama Ana Lu’Lu di Seri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini, Nora memberikan reaksi terkejut di atas pertanyaan itu.

Bunga cinta sedang berputik

SAMBIL berkerut dahi, Nora Danish menegaskan cerita mengenai percintaannya dengan kerabat itu adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, cerita itu bukanlah perkara baru kerana dia pernah mendengarnya beberapa tahun lalu.

“Itu cerita lama. Dulu pun ada dengar kononnya saya dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan seorang kerabat dari Terengganu. Tapi cerita itu akhirnya senyap begitu saja. Saya sendiri tidak kenal siapa kerabat yang dimaksudkan itu,” jelas pemilik nama penuh Nora Mohd Hanif Danish ini.

Bagaimanapun, dalam pada menafikan mempunyai hubungan dengan kerabat seperti yang digembar-gemburkan, Nora sebenarnya mempunyai kisah yang lebih menarik untuk dikongsi bersama.

Katanya, dia kini sedang dalam peringkat mengenali hati budi seorang jejaka yang disifatkan paling rapat dengannya buat masa ini.

“Saya mengaku sedang berkawan rapat dengan seseorang. Dia orang biasa saja. Bukan dari kalangan artis atau mana-mana kerabat.

“Saya sebenarnya lebih selesa kalau dapat membina kehidupan bersama dengan orang biasa. Tapi hubungan kami masih dianggap agak awal lagi tetapi saya akui dialah lelaki paling rapat buat masa ini. Usianya pun lebih muda dua tahun daripada saya dan berwajah Melayu, sesuai dengan cita rasa saya,” kata Nora malu-malu.

Apabila menyatakan mereka sekadar berkawan rapat dan bunga-bunga cinta masih belum mekar bukanlah bermakna cuba menyembunyikan sesuatu atau berahsia seperti yang sering dilakukan oleh segelintir artis yang menggunakan ungkapan teman tapi mesra untuk melindungi hakikat sebenar.

“Memang saya akui perasaan sayang itu memang ada, tapi seperti yang saya terangkan tadi, kami dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing sebelum melangkah ke peringkat seterusnya dalam hubungan ini.

“Kalau boleh saya tidak mahu terlalu terbuka untuk memperkatakan mengenainya kerana jika hubungan ini tidak jadi, saya tidak mahu ada sesiapa malu atau berkecil hati,” katanya.

Belajar daripada pengalaman lalu, Nora juga menegaskan dia tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman solonya kerana sikap berhati-hati dibuat kerana berharap perkahwinan kali kedua nanti kekal bahagia selama-lamanya.

“Pengalaman lalu mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru. Lagipun saya mahu tumpukan perhatian terhadap anak lelaki yang semakin membesar dan juga kerjaya seni saya,” kata Nora sambil mengukir senyuman manis.

Tak kisah bawa karakter sama

ENTAH mengapa, sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan, penonton sering disogokkan dengan watak stereotaip Nora. Manja, comel dan keanak-anakan adalah karakter yang paling kerap dilakonkan pelakon berdarah campuran Melayu, Arab dan Myanmar ini.

Terbaru menerusi drama arahan Pierre Andre berjudul Ana Lu’Lu ini, Nora sekali lagi membawakan watak yang serupa.

Sampai bilakah mahu membawakan watak sebegitu? Apakah tidak berani membawakan watak berbeza yang lebih mencabar kebolehannya atau memang tidak ada pengarah dan produser yang berani menawarkan watak yang berlainan.

“Saya tidak pernah bosan membawakan watak serupa kerana saya anggap ia adalah rezeki. Bukannya saya tak mahu membawa watak berbeza. Sebagai pelakon keinginan itu tetap ada tetapi apabila mendapat tawaran, saya pula tidak dapat menerimanya kerana terikat dengan komitmen lain.

“Menerusi drama yang menampilkan pelakon dari Singapura,Indonesia dan Malaysia itu, saya ditawarkan untuk membawakan watak berat. Tapi apakan daya, saya terbabit dengan penggambaran drama lain masa itu,” katanya yang yakin bahawa tawaran sama akan datang kepadanya satu hari nanti.

Ana Lu’Lu yang bakal ke udara malam esok jam 9 malam di saluran TV3 mengisahkan Ana Lulu seorang gadis periang yang sering tampil dengan cara berpakaian pelik dan menarik perhatian orang untuk memerhatikannya. Ana bekerja sebagai pembantu juru jual di sebuah kedai bunga bersama seorang kenalan baru, Bunga.

Konflik percintaan bermula apabila Harris jatuh hati terhadap Ana. Walau bagaimanapun, Ana sedang menyulam cinta dengan Fadzil tanpa menyedari Fadzil sering mempergunakannya demi wang.

Selain Nora, drama rantaian itu turut dibintangi oleh Kamal Adli, Cat Farish, Sharifah Sakinah, Datin Noniswara, Zarina Zainuddin, Adey Syafrien dan Wawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: