KETIKA menjadi peserta Akademi Fantasia ke-2 pada tahun 2006 sehingga berjaya ke peringkat Top 5, kelibat Farah Diana Anuar dilihat memang cukup manis dan lincah.Walaupun sekadar menjadi naib juara dalam program itu, bakat dan kelibat Farah tidak terhenti. Selepas berjaya mengukir nama sebagai penyanyi.
Menjadi pengacara program Rasa Halal nampaknya banyak memberi hikmah kepada Farah terutama pada penampilan dirinya. Keperluannya memakai tudung sebagai syarat utama sebagai pengacara program itu kini bukan sekadar hiasan tetapi terus diterima dengan hati sangat terbuka.
Sebab itulah, Farah menegaskan bermula menerusi musim kelima inilah secara rasminya dia mengendalikan program Rasa Halal dengan berhijab sepenuhnya.
“Bermula musim pertama hingga keempat, saya hanya bertudung ketika melakukan penggambaran saja. Namun menerusi program ini jugalah saya diberikan hikmah untuk terus bertudung dan tidak lagi menanggalkannya.
“Saya mula mengenakan tudung sejak Julai tahun lalu dan banyak melihat gaya tudung dari negara luar dan paling saya suka adalah dari negara-negara Arab.
“Penggambaran selama 16 hari di Vietnam cukup berharga bagi saya melihat latar budaya dan gaya hidup masyarakat yang minoriti dianuti penduduk Islam. Timbul keinsafan selepas melihat kedaifan mereka yang tidak seperti di negara kita,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program Rasa Halal musim terbaru untuk disiarkan di Astro Oasis, baru-baru ini.
Sejak bertudung Farah juga menafikan yang dia semakin tidak menerima apa undangan kerana imej barunya yang tidak bersesuaian.
“Saya masih menerima undangan nyanyian lebih lagi pada hujung minggu, namun selepas bertudung ini ada kalanya saya harus juga memilih mana-mana persembahan yang bersesuaian dengan imej baru ini.
“Ada ketikanya saya sendiri yang harus memberitahu kepada penganjur bahawa imej saya kini tidak lagi seperti dulu, sama ada mereka mahukan saya atau tidak mereka yang harus tentukan,” katanya yang kini sedang mencari bahan baru untuk penerbitan album solonya yang bersesuaian dengan imej bertudung.
Panduan untuk pengembara Islam
MANFAAT yang diperoleh daripada penerbitan program Rasa Halal yang diterbitkan Astro Oasis (saluran 106) bukannya sikit. Sebagai negara yang majoritinya penganut agama Islam, soal makanan halal dan tempat beribadah sangat diutamakan, sehinggakan banyak syarikat agensi pelancongan kini memperkenalkan pakej pelancongan Islam.
Rasa Halal yang menjadi program paling lama bertahan di saluran Oasis membuktikan masyarakat menaruh kepercayaan sepenuhnya sehinggakan ia mampu bertahan untuk musim ke lima tahun ini.
Pengurus Salurannya, Izelan Basar berkata, idea melahirkan program ini selepas kajian yang dilakukan mendapati masyarakat Islam sering menghadapi masalah sekiranya berkunjung ke luar negara.
“Jika di awal penerbitan lalu, program ini hanya memaparkan tempat makan halal yang boleh didapati di negara yang dianuti minoriti penduduk Islam, namun selepas pihak kami mendapat maklum balas yang cukup positif, pendekatannya diperbesarkan agar dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.
“Memang tidak dinafikan, masyarakat Islam di negara ini mementingkan soal makanan halal dan tempat bersolat sekiranya berkunjung ke luar negara. Atas sebab itu kami kini memperluaskan dengan memaparkan gaya hidup masyarakat di sana, selain tempat yang menarik dan keunikan barangan yang boleh dibawa pulang,” katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan musim kelima Rasa Halal Vietnam.
Program yang masih mengekalkan pengacara Farah Anuar sejak musim pertama dilihat menepati dengan konsep rancangan yang lebih bersifat santai namun memaparkan pelbagai informasi berguna kepada penonton.
“Pemilihan Farah sekali lagi kerana personaliti yang aktif dan peramah, ia mampu menarik perhatian penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Menariknya menerusi program ini jugalah, Farah memperoleh banyak hikmah sehingga membukakan pintu hatinya untuk terus berhijab (bertudung) hingga hari ini,” katanya yang membawa penonton menyelami keunikan khazanah warisan seni dan budaya setempat serta tinggalan sejarah di bumi yang pernah ditakluki penjajah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: