Wednesday, April 20, 2011

Masih terlalu awal

pix_gal0
Kemunculan Melda jelas ditenggelami barisan penyanyi lebih popular

MESKIPUN lincah beraksi di pentas, namun Imelda Ahmad atau Melda masih belum cukup kuat untuk bergelar penyanyi kerana vokal dan teknik nyanyiannya belum mampu menambat hati pendengar.Malahan, konsert sulungnya yang gah dengan kehadiran ramai penonton bukanlah kerana hendak melihat aksi Melda, sebaliknya hendak menyaksikan kemunculan penyanyi lebih dikenali terutama Ella selain One Nation Emcee, Hujan dan Yuna.
Tidak keterlaluan kalau kemunculan Melda pada majlis ini sebenarnya sekadar menumpang populariti penyanyi yang sudah ada nama itu. Barangkali gadis berusia 20 tahun itu menjadi mangsa keghairahan penganjur tanpa menyedari tahap kemampuan sebenar Melda. Akibatnya, Melda yang menanggung beban malu.

Namun begitu, ia menyedarkan diri Melda sendiri betapa hakikat untuk menjadi penyanyi bukan semudah yang disangka. Perjalanan Melda dalam program Gadis Semasa selama 13 episod untuk memenuhi impiannya bergelar penyanyi sudah mendedahkan dirinya yang masih banyak kelemahan dalam nyanyian.

Tetapi masih ada sisi yang mampu meletakkan Melda dalam bidang ini. Bersandarkan kepada kebolehannya mencipta lagu membuka ruang pada dirinya untuk bergiat aktif dalam dunia hiburan.

Tidak dinafikan, pelajar jurusan muzik ini lebih cenderung dalam menghasilkan lagu, malah lagu ciptaannya, Putus dan Kimia mempunyai peminatnya tersendiri di laman Youtube.
Bertapak di laman terbabit, nama Melda diangkat ke dalam program realiti TV itu bagi mengembangkan bakatnya, namun gadis yang mempunyai sifat pemalu ini tidak menafikan terdapat kekurangan dari segi vokalnya.

“Semua orang ada angan-angan dan impian tetapi sukar untuk merealisasikan. Alhamdulilah saya sudah lakukan yang terbaik malam ini walaupun menyedari masih banyak yang perlu saya pelajari terutama vokal. Saya banyak belajar vokal dengan Ajai. Sebenarnya saya risau pasal lirik tapi berpuas hati dengan persembahan malam ini,” katanya.

Ajai akui kekurangan Melda

Konsert mini yang berlangsung selama dua jam itu menjadi tempat bagi Melda untuk bertapak dalam bidang seni, namun persembahannya dilihat kurang menyerlah dan tenggelam dek persembahan daripada penyanyi jemputan.

Tampil dengan lagu Aku Adalah Aku dan Putus pada pembukaan konsert jelas menampakkan Melda masih kurang berkeyakinan dan kekok beraksi di pentas.

Persembahannya itu menjadi tenggelam tatkala kemunculan kumpulan ONE yang lincah beraksi di pentas dengan lagu Raja Gelek, Price Tag, Psiko dan Apa Ku Kisah yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Lebih menarik tumpuan penonton ketika kemunculan Yuna dengan lagu Dan Sebenarnya, Penakut, Cinta Sempurna dan Gadis Semasa (berduet dengan Melda) membuatkan persembahan Melda kian tenggelam.

Malah, lebih hangat lagi persembahan penuh bertenaga daripada ratu rock, Ella dengan lagu Kesal, Dua Insan Bercinta dan Permata Pemotong Permata membuatkan penonton hilang tumpuan kepada konsert sebenar.

Kemunculan Hujan dengan lagu Muda, Inspektor Remos, Empayarmu dan Mencari Konklusi semakin menampakkan nama Melda kian luput ditelan Hujan, namun kembali beraksi dengan lagu Putus dan Aku Adalah Aku di akhir konsert.

Menyedari kelemahan yang ada pada diri Melda, Ajai tidak menafikan gadis itu boleh menyanyi dengan lebih baik lagi jika diberi pendedahan dan belajar mempelajari teknik vokal dan nyanyian.

“Dia boleh menyanyi tetapi memang banyak lagi yang dia perlu pelajari dari segi vokal, teknik dan gaya persembahan. Setakat ini 70 peratus persembahannya boleh dikatakan baik namun perlu banyak lagi belajar,” katanya.

Walaupun sukar untuk bertapak dalam bidang seni, namun Melda tetap menunggu tawaran daripada pihak yang sudi mengambilnya sebagai artis rakaman dan dalam masa yang sama akan meneruskan pengajiannya.

Bagi Melda, impiannya untuk bergelar sebagai penyanyi tidak akan terkubur begitu saja dan akan meneruskan usaha disamping memperbaiki kelemahan yang ada untuk terbabit dalam bidang nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: