Friday, April 8, 2011

Suatu Ketika... jadi bahan sejarah


KOO Chee Sing (kiri) melakonkan watak Yuen Yuet Leng dalam salah satu adegan Suatu Ketika... Darah Di Bumi.


SALURAN televisyen (TV) Astro Citra sering menyiarkan rancangan-rancangan yang boleh dianggap sebagai pendekatan 'serampang dua mata' di mana ia bukan setakat menjadi bahan hiburan semata-mata.

Sebaliknya, rancangan siaran stesen TV berbayar itu juga mempunyai nilai-nilai pendidikan dan bahan-bahan sejarah yang boleh dijadikan rujukan untuk generasi pada masa akan datang.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, slot Suatu Ketika... yang disiarkan menerusi Astro Citra misalnya, boleh memberi manfaat buat para penonton mengetahui tentang sejarah negara ini.

"Dalam setahun saluran Astro menayangkan tidak kurang 2,000 jam durasi drama-drama tempatan. Kebanyakannya mengikut kehendak para penonton dan juga bagi mencapai rating bilangan penonton.

"Bagaimanapun, menerusi slot Suatu Ketika.. kami sengaja mengadakan slot ini bagi menyediakan cerita-cerita berdasarkan fakta sejarah yang boleh disimpan sebagai bahan sejarah.

"Malah, kita juga boleh menyiarkannya berulang-ulang kali. Ia fakta yang tidak lapuk sampai bila-bila," katanya pada pelancaran slot Suatu Ketika.. Darah Di Bumi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi slot musim terbaru itu dipaparkan kisah bekas anggota polis Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Yuen Yuet Leng yang pernah menentang pengganas komunis pada zaman Perang Dunia Kedua dulu.

Menerusi slot yang disiarkan di Astro Citra pada 26, 27 Mac dan 2 serta 3 April lalu, Khairul Anwar berkata, rancangan berbentuk drama itu diterbitkan menerusi pelbagai kajian terperinci.

"Ini bukan drama biasa tetapi ia berdasarkan kisah benar yang dilalui oleh Yuen Yuet Leng. Untuk itu, kami juga membuat kajian tentang sejarah latarbelakang peristiwa zaman yang dilalui oleh beliau itu.

"Adakalanya penerbitan rancangan seperti ini mengambil masa sehingga dua tahun termasuklah bagi tujuan penyelidikan sebelum penggambarannya dimulakan. Itulah perbezaan slot ini dengan drama-drama lain," ujarnya.

Menerusi slot Suatu Ketika... Darah Di Bumi itu, pelakon Koo Chee Sing menggalas tanggungjawab melakonkan watak Yuen Yuet Leng, manakala Kenji Sawahi pula melakonkan watak pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Tambah Khairul Anwar, slot Suatu Ketika.. bukan sahaja menjadi salah satu kelainan rancangan di Astro Prima tetapi kredibilitinya juga telah terbukti apabila pernah memenangi anugerah pada Anugerah Seri Angkasa 19 Februari lalu.

"Contohnya drama Apa Dosaku arahan Bernard Chauly yang diambil dari slot ini telah mendapat anugerah Pengarah Terbaik di mana ia berkisar tentang Sybil Kathigasu seorang srikandi wanita pada era Perang Dunia Kedua.

"Malah, drama itu juga menganugerahkan anugerah Pelakon Wanita Terbaik kepada Elaine Daly yang melakonkan watak Sybil. Ini membuktikan elemen sejarah, drama dan hiburan boleh digabungkan sebagai tarikan," jelasnya.

Sementara itu, Yuen Yuet Leng, 84, yang pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dan pencen pada tahun 1984 berkata, dia berasa terharu dan berbesar hati apabila Astro Citra mengambil latar pengalamannya sebagai bekas polis yang banyak berkorban masa dan tenaga demi tugasnya itu.

Selain bersetuju slot Suatu Ketika... Darah Di Bumi boleh dijadikan bahan sejarah, bekas guru sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan itu turut menulis sebuah buku bertajuk Nation Before Self berdasarkan pengalamannya sebagai polis.

"Saya tulis buku itu pada tahun 2006 di mana banyak pengalaman saya sebagai bekas polis yang menentang komunis di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di Taiping, Perak. Semua bahan itu juga boleh dijadikan rujukan.

"Malah, saya turut mencadangkan agar buku tulisan saya itu juga dijadikan bahan-bahan sejarah kerana ia berdasarkan fakta sewaktu zaman darurat dan pengalaman sebenar saya sebagai anggota polis ketika itu," ujarnya.

Selain pernah bertugas sebagai anggota polis Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Yuet Leng juga merupakan bekas anggota angkatan tentera British, Amerika dan New Zealand sewaktu era Perang Dunia Kedua.

Pada masa sama selepas tayangan slot Suatu Ketika... Darah Di Bumi itu, Astro Citra juga akan menayangkan dokumetari khas berjudul Suatu Ketika... Yuen Yuet Leng bagi menyorot secara khusus pembabitan srikandi itu sebagai polis.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Pengurus Saluran Astro Citra, Shoba Devi Choo dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani serta para pelakon Suatu Ketika... Darah Di Bumi iaitu Koo Chee Sing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: