Friday, April 8, 2011

Beto anak angkat


MANTAP... Gandingan mantap Beto dan Tengku Nurhanis yang mendokong watak utama sebagai Rahmat dan Miming dalam Uri.


AMPIR saban malam, tidur pelakon berbakat besar, Beto Kusyairi diganggu oleh mimpi-mimpi aneh.

Tidak cukup dengan itu, simtom hidung berdarah dan sakit di bahagian perut tanpa sebab membuatkan pelakon drama Rosly Dhoby itu menjadi bingung memikirkan punca terjadinya perkara-perkara mistik berkenaan.

Tanpa disedari semua itu adalah petanda yang menunjukkan kebenaran berkenaan asal-usul pelakon yang telah menginjak usia 31 tahun itu.

Berbekalkan rasa ingin tahu dan cuba merungkai misteri di sebalik petanda yang tidak diundang itu, satu rahsia besar yang selama ini disimpan rapi oleh kedua orang tuanya dapat dibongkarnya.

Akhirnya bagi mencari asal-usul sebenar tentang diri sendiri, Beto menyeberangi Laut Cina Selatan menuju ke Sarawak bagi mencari identiti sebenar dirinya.

Apa pun, Itu hanyalah watak yang dilakonkan Beto dalam supertelemovie sulung yang bakal disiarkan di Astro Box Office Movie Tayangan Hebat (ABOMTH) April ini, Uri.

Uri mengisahkan tentang Rahmat (Beto Kusyairi) yang merupakan anak angkat dan akhirnya mengetahui hakikat sebenar perkara berkenaan.

“Apa yang diketahui Rahmat hanyalah dia berasal dari Sarawak tetapi siapa ibu bapa kandung dan tempat tinggalnya tidak diketahui.

“Jadi untuk mendapatkan kepastian berkenaan keluarga kandungnya telah membawa Rahmat ke Sarawak,” ujar Beto.

Beto Kusyairi atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman menambah, dalam perjalanan mencari identiti diri sendiri Rahmat berjumpa dengan seorang gadis Sarawak, Miming yang dilakonkan oleh Tengku Norhanis.

Dengan pertemuan itulah satu per satu misteri berkenaan dirinya terungkai.

Bagaimanapun kata Beto, Uri memberikannya satu cabaran kuat yang belum pernah dilaluinya.

“Selain Rahmat, saya juga melakonkan watak Jony iaitu abang kembar kepada Rahmat dan cabaran untuk saya adalah memastikan bahawa karakter Rahmat dan Jony adalah berbeza.

“Selain harus mendalami kedua-dua watak itu saya juga terpaksa belajar berbahasa Iban memandangkan Jony adalah pemuda Iban,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Uri, Tengku Mona Riza Tengku Khalid berkata, jalan cerita yang hendak ditonjolkan dalam Uri adalah berbeza dan dia cuba mengetengahkan budaya dan masyarakat Sarawak yang jarang diberi penekanan.

“Saya cuba membawa kelainan dalam Uri dan selain daripada budaya masyarakat Sarawak, Uri juga menampilkan lagu Setia Menanti yang dicipta oleh Jerry Kamit pemuzik yang tidak asing bagi masyarakat di sana.

“Selain itu, kelainan yang cuba saya bawakan adalah Uri turut menggunakan Bahasa Iban dalam beberapa babak,” katanya.

Jelas Tengku Mona lagi, lokasi penggambaraan telemovie yang berdurasi sejam 45 minit itu adalah merangkumi sekitar Lembah Klang, Kuching dan Betong di Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: