Friday, April 8, 2011

Sembilan tahun yang seimbang


SELAMA sembilan tahun menjadi artis, Misha Omar menyifatkan perjalanannya cukup seimbang.


TAHUN 2011 baru menjengah bulan keempat tetapi nama penyanyi yang seorang ini terus hangat diperkatakan. Hangatnya nama Misha Omar dalam tempoh empat bulan ini bukanlah kerana buah tangan terbarunya tetapi adalah kerana isu perkahwinannya yang tidak henti menjadi bahan perdebatan.

Misha sendiri keliru apabila memikirkan pelbagai kisah peribadinya yang terus mahu ditelanjangkan oleh pihak-pihak tertentu sepanjang sembilan tahun menjadi anak seni.

Sehinggakan Misha sudah lelah dan hilang nafas untuk terus mempertahankan dirinya.

Baginya, perkahwinan itu adalah sesuatu yang cukup indah dan wajar untuk dikongsikan dengan semua pihak tanpa perlu menyorokkan apa-apa.

“Saya sebenarnya tidak menafikan yang saya kenal rapat dengan individu yang dikatakan sudah menjadi suami saya itu. Tetapi, saya belummenjadi isteri kepada mana-mana lelaki.

“Namun, saya akui kini sedang mengenali seseorang. Tetapi, sampai saat ini, saya belum menjadi tunangan sesiapa.

“Saya sendiri pun tidak mahu lagi memanjangkan isu ini kerana semakin banyak yang saya perkatakan, ia tidak akan berhenti. Biarlah apa orang nak kata kerana apa yang berlaku hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu.

“Percayalah, saya pasti akan mengumumkan mengenai perkahwinan saya apabila tiba waktunya,” katanya dalam nada diplomasi sambil mengharapkan isu itu akan terus lenyap ditelan waktu.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar berkata demikian pada majlis pelancaran album kompilasi, Dia...Misha yang berlangsung di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perjalanan warna-warni

PENYANYI berusia 29 tahun yang bakatnya mula dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM 2001 ini sememangnya memiliki bakat yang tersendiri.

Biarpun tewas kepada Azharina Azhar untuk merebut gelaran juara, Misha bertuah kerana ditemukan dengan komposer, Adnan Abu Hassan.

Hasilnya, lagu Bunga-Bunga Cinta telah memasyhurkan nama Misha sehingga bertahan selama sembilan tahun di dalam industri.

Di kala penyanyi seangkatannya hilang entah ke mana dan kemunculan artis-artis baru terutamanya dari program realiti, Misha masih lagi kekal dan terus menjadi pujaan peminat setianya yang tidak pernah henti menyokong kariernya selama ini.

“Selama sembilan tahun, saya boleh sifatkan perjalanan seni saya cukup seimbang. Semuanya sudah saya tempuhi dan rasai. Baik di depan, ke tengah, ke belakang, kanan dan kiri.

“Alhamdulillah, saya masih di sini untuk menghiburkan masyarakat dan peminat yang masih belum lelah serta bosan untuk mendengar alunan lagu-lagu saya (ketawa),” ujarnya penuh optimis sambil melirik ke arah kakak yang juga pengurusnya, Mimie Omar di sebelahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: