Monday, April 25, 2011

Saya tak hilang - Zamani




Setelah muncul secara solo dan melahirkan album Syair Si Pari-Pari sekitar tahun 2005 kemunculan bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani ibarat macam biskut - sekejap ada sekejap tidak.

Menyedari hakikat berkenaan, Zamani atau menjelaskan bahawa kesepian dirinya itu bukanlah bererti dia menjauhkan diri daripada industri hiburan tanah air jauh sekali merajuk membawa diri.

Mengakui dirinya kini kurang menyinar seperti mana zaman kegemilangannya bersama Slam sekitar tahun 1990-an dahulu, Zamani lebih selesa dengan sikap low porfile.

"Saya tidak hilang ke mana. Saya masih ada cuma kurang keluar di media dan sebab itu mungkin ada mengatakan saya menghilangkan diri.

"Untuk pengetahuan semua saya masih menyanyi dan ada mendapat jemputan untuk majlis-majlis tertentu cuma ia tidak sehebat dahulu," jelas Zamani ketika ditemui pada sidang akhbar Malam Kesatria Seni di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ujarnya, kehilangannya juga mungkin disebabkan tiada lagu-lagu baru yang dirakamkan setelah melahirkan album terakhirnya dahulu.

Namun walaupun tidak merakamkan sebarang lagu baru itu bukanlah tanda berakhirnya karier nyanyian yang telah sebati dalam dirinya.

"Saya baru sahaja pulang dari membuat persembahan bersama Hattan di Sarawak bulan lalu dan alhamdulillah ada juga jemputan untuk membuat persembahan selepas ini.

"Selain itu, album mini saya Zamani juga telah berada di pasaran dua bulan lalu," jelas penyanyi yang akan menginjak ke usia 40 tahun pada 25 Mei depan.

Mengakui album mini terbitan Johan Music Sdn. Bhd., edaran Universal kurang promosi, kini pihaknya merancang untuk mengadakan pelancaran semula.

Jelasnya, bagi tujuan itu kemungkinan berlakunya pertambahan lagu di dalam album mini tersebut.

"Kita masih lagi di peringkat perbincangan dan insya-Allah apabila semuanya selesai mungkin akan ada pertambahan satu dua lagu lagi dalam album berkenaan.

"Kini saya baru sahaja habis merakam beberapa buah lagu," jelasnya.

Zamani yang terkejut tatkala ditebak dengan khabar angin minggu lalu yang kononnya dia telah meninggal dunia hanya mampu menjelaskan dia sendiri terkejut dengan berita itu.

"Saya sendiri mendapat tahu melalui abang Johan (komposer) yang menghubungi saya untuk bertanyakan berkenaan perkara itu.

"Ketika dihubungi, saya berada di kawasan rumah di sekitar Ampang dan terkejut apabila diberitahu.

"Apa pun alhamdulliah saya masih sihat dan tidak pernah mengalami sebarang komplikasi kesihatan yang serius," jelas penyanyi yang pernah menjalani pembedahan batu karang itu.

Menurut Zamani, beliau tidak pernah memberikan sebarang kenyataan kepada sebuah akhbar bagi menafikan khabar angin mengenai berita kematiannya.

"Saya tidak pernah memberikan komen berkenaan berita tersebut kepada pihak media sebelum ini. Ini adalah kenyataan pertama saya secara terus kepada media," tegas Zamani.

Merancakkan suasana malam itu, Zamani sekali lagi diterjah berkenaan dengan kekosongan hatinya.

Biarpun hampir mencecah usia 40 tahun, Zamani mengakui hatinya masih lagi belum dimiliki oleh mana-mana wanita.

Katanya, kekebalan pintu hati lelakinya masih lagi kukuh dalam mencari seseorang yang betul-betul sesuai untuk dijadikan suri hidup.

"Saya bukanlah memilih tetapi mencari seseorang yang benar-benar dapat menyayangi dan menerima saya dengan ikhlas.

"Bukan senang untuk mencari calon isteri kerana banyak perkara yang perlu diteliti agar tidak merasa menyesal di kemudian hari," jelasnya yang kelihatan sedikit kurus berbanding dahulu.

Bagaimanapun Zamani mengakui mempunyai beberapa kawan wanita namun perhubungan itu hanyalah sebagai sahabat.

Baginya, mungkin disebabkan terlalu lama menjalani kehidupan tanpa kehadiran seorang wanita sebagai kekasih menyebabkan dia lebih selesa begitu.

"Saya percaya pada jodoh dan sekiranya telah sampai jodoh saya nanti, insya-Allah bertukarlah status saya kepada seorang suami.

"Jangan risau apabila tiba masanya saya akan jemput nanti," jelas Zamani menamatkan perbualan malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: