Monday, April 25, 2011

Pakaian umpama uniform - Ani




MELIHAT kepada penampilan Ani Maiyuni, 33, dan gaya seksinya, pasti ada 'mulut jahat' yang membuat tanggapan sendiri.

Biar apa pun tanggapan masyarakat, Ani Maiyuni yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni tidak akan berkecil hati kerana beliau lebih senang mengambil sikap profesional.

Katanya, sebagai artis beliau perlu tampil dengan satu imej tersendiri dan apa yang dipakai untuk sesi foto atau persembahan, bukanlah penampilannya semula jadi.

"Kalau hari-hari biasa, seperti wanita lain, Ani akan mengenakan pakaian yang sesuai dan selesa. Takkanlah nak pakai macam ini pergi membeli belah dengan anak-anak.

"Pakaian yang berbeza daripada biasa itu, umpama uniform Ani sewaktu tampil sebagai artis. Imej perlu ada ikut kesesuaian acara," katanya.

Ani yang sudah lama tidak tampil membicarakan hal dunia rakaman suara, kini mengatur strategik untuk kembali aktif sebagai penyanyi rakaman kerana akhir-akhir ini beliau lebih kepada lakonan.

Pemilik nama sebenar Aisyah An Nur Osman yang popular dengan lagu Sedap, menerusi Cherry Talent Management berazam menghasilkan single baru sebagai langkah permulaan.

"Sudah tiba masanya untuk Ani aktif beraksi di pentas nyanyian dan bidang pengacaraan. Bukan Ani saja-saja nak buat penampilan semula secara serius. Semua itu atas permintaan. Selama ini kalau buat show, orang akan tanya bila nak buat album dangdut.

"Kata mereka sudah lama tidak ada album dangdut seperti dulu. Disebabkan kehendak peminat, Ani tekad buat single dulu untuk uji pasaran.

"Ani tidak takut sebab bak kata orang, kalau buka kedai runcit sudah ada pelanggan tetap," katanya.

Ibu kepada Wirda Viviana Zairi, 6, Wirna Airisya, 2, dan Muhamad Emir Oezil, tujuh bulan itu yakin usahanya itu akan mendapat sokongan peminat-peminat setia terutamanya yang meminati dangdut.

Biarpun popularitinya berdasarkan jalur muzik dangdut, namun Ani tidak mahu dibuai terus dengan irama itu kerana namanya popular disebabkan lagu-lagu seperti Sedap, Terang Bulan dan Dasar Buaya Cinta.

Sebagai artis yang sering mengikuti peredaran semasa, Ani bersedia untuk mendendangkan lagu irama lain bagi memastikannya penampilannya mendapat tempat di hati peminat.

"Walaupun ada pengikut tetap namun Ani perlu akur dengan kehendak muzik sekarang. Kalau Ani rakam lagu 100 peratus dangdut, lagu tersebut tidak mungkin disiarkan di corong radio.

"Apa pun Ani tetap akan rakam lagu yang ada elemen irama dangdut agar identiti sebagai penyanyi irama itu tidak hilang," jelasnya yang masih berbincang tentang genre lagu yang bakal dirakam kelak.

Aktif berlakon

Ani yang meminati apa sahaja cabang seni berkata, selain tampil membuat pembaharuan dalam seni suara, beliau juga ingin aktif berlakon.

Sejak akhir-akhir ini penampilannya lebih terarah kepada teater namun ketika Ani teruja berlatih bangsawan Siti Zulaikha, pementasan itu pula berhadapan masalah.

"Siapa yang tidak kecewa apabila berlatih penat-penat tetapi tidak boleh dipentaskan di tempat yang dirancangkan," katanya.

Selain berlakon teater, Ani Maiyuni juga muncul dalam drama-drama tempatan dengan membawa watak antagonis.

Meskipun tidak kisah dengan watak jahat, namun Ani berharap beliau turut diberi peluang membawa watak baik.

"Walaupun Ani tidak kisah diberi watak apa, tapi sesekali nak juga merasa jadi orang baik," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Semanis Janji yang bakal disiarkan di RTM kelak.

Ani pernah menjadi pengacara rancangan TV sebelum ini berhasrat untuk meneruskan kerjaya tersebut.

"Ani pernah jadi pengacara tapi sejak dua tahun lalu, terhenti sekejap. Kini mana-mana bidang yang terhenti itu akan Ani sambung semula. Lagipun Ani mendapat sokongan daripada suami, Zairi Azmi (bekas anggota Kumpulan Arrow)," katanya terus terang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: