Monday, April 25, 2011

Juvana karya pulih akhlak


Barisan pelakon drama bersiri Juvana yang akan ditayangkan di TV3 malam ini.


MULAI hari ini, setiap Isnin, pukul 9 malam, penonton setia TV3 berpeluang menonton drama bersiri Juvana mengisahkan seorang remaja dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak atas tuduhan membunuh ibunya.

Drama 13 episod arahan Faisal Ishak, terbitan Filmscape itu bertujuan memberi pengajaran dan peringatan kepada remaja dan harapan kepada para pelajar di sekolah-sekolah pemulihan akhlak.

Kata Faisal, skrip nukilan Alfie Palermo dihasilkan melalui perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Kami banyak berbincang dan membuat rujukan seperti Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi. Apa yang dipaparkan berdasar kisah benar, cuma dicantikkan sedikit untuk hiburan.

"Mengarah drama berkisar pelajar di sekolah pemulihan akhlak ini banyak kekangannya terutama dari segi dialog atau visual," katanya.

Faisal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Juvana di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka, baru-baru ini.

Menurut Faisal, Juvana mengetengahkan judul 'berat' membariskan 12 pelakon baru.

" Pelakon-pelakon baru (lelaki) yang menjadi pelajar sekolah pemulihan akhlak iaitu Sekolah Wirabakti dalam drama ini terdiri daripada pelbagai lapisan latar belakang," katanya.

Drama ini dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Izreen Azminda, Bront Palarea, Irfan Roslan, Beto Khusairy dan Kuswadinata itu menjalani penggambaran di sebuah resort di Ulu Langat, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: