BINCANG...kerjasama berpasukan penting bagi melancarkan urusan kerja.
DIA pernah menjadi pengawal keselamatan bersama suami di syarikatnya akibat tidak cukup pekerja sewaktu hari raya beberapa tahun lalu sebelum berjaya membuka syarikat keselamatannya sendiri.
Meskipun bergelar bos, itu bukan alasan untuk dia duduk di tempat berhawa dingin, sebaliknya sedar usaha membangunkan perniagaan yang baru beroperasi memerlukan pengorbanan.
Tidak terhenti setakat itu, dia turut menjadi penyelia, pengurus, pekerja, penyambut tetamu dan kerani disebab-kan belum mampu menggaji pekerja.
Namun segala pengorbanan dan perit jerih berbaloi dengan tertubuhnya Watanwaja Security Services (M) Sdn Bhd hasil kesungguhan wanita cekal, Ruzaini Halim.“Sebenarnya lesen syarikat keselamatan hanya diberi kepada golongan Bumiputera, disebabkan itu saya tidak lepaskan peluang. Waktu itu belum ramai membuka mata terhadap bidang ini,” katanya memulakan perbualan.
Menurut Ruzaini, pada awalnya dia dan suami, Saleh Hudin Saliman bertindak sebagai pengarah di Watanwaja bersama tiga pengarah lain yang masing-masing mempunyai 20 peratus saham sebelum mengambil keputusan membeli semuanya.
“Saya dan suami sepakat membeli semua saham disebabkan yakin Watanwaja mempunyai masa depan cerah, di samping lebih mudah membuat keputusan tanpa ada rasa tidak puas hati daripada pihak lain.
“Waktu itu keadaan sedikit kelam kabut apabila tiada pengurusan sempurna, menyebabkan saya membuat semua kerja dalam satu masa.
“Letih memang tak dapat dibayangkan, namun demi minat dan perniagaan yang baru dijalankan, saya pasrah,” kata ibu kepada lima cahaya mata ini.
Bercerita lanjut mengenai pengalaman menjadi pengawal keselamatan, Ruzaini menjelaskan, ia pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
Sewaktu orang lain sibuk balik kampung menyambut perayaan, dia dan suami terpaksa bekerja demi memenuhi permintaan pelanggan.
“Sepatutnya ada pekerja ditugaskan, namun apabila tiba waktu dijanjikan mereka tidak sampai seperti diharapkan. Mahu atau tidak, saya dan suami terpaksa menggantikan mereka.
“Saya anggap pengalaman itu sebagai permulaan sebelum sesuatu kejayaan dikecapi. Mana ada orang yang mahu senang tidak melalui pengalaman memeritkan, apatah lagi mendapat sokongan padu suami,” katanya optimis.
Sejak memulakan operasi pada 2000, Watanwaja menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan sama ada bersenjata atau tidak bersenjata dan kini ada lebih 800 pekerja.
Saat ditanya mengapa memilih perniagaan kawalan keselamatan sedangkan lebih banyak perniagaan lain yang sesuai dengan dirinya sebagai wanita, Ruzaini menjelaskan, semuanya disebabkan minat dan galakan suami.
“Saya dilahirkan daripada keluarga yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan. Keluarga menjalankan perniagaan restoran dan kerap mendapat tender kantin di sekolah.
“Sejak itu minat saya hanya dalam bidang perniagaan serta berazam membina empayar perniagaan yang boleh diwarisi anak, selain menjalankan fardu kifayah membantu golongan memerlukan,” katanya yang berpengalaman 10 tahun sebagai pengarah syarikat dalam pelbagai bidang dan cabang perniagaan sebelum membuka Watanwaja.
Ditanya mengenai cabaran menjalankan perniagaan kawalan keselamatan, Ruzaini memberitahu, dia dan suami tidak terkecuali apabila berdepan individu yang tidak senang hati melihat kejayaannya.
“Biasalah orang Melayu, jika berniaga pasti ada hasad dengki. Namun itu sedikit pun tidak mematahkan semangat, malah dengan adanya ujian dan cabaran itu juga membuatkan saya bertambah cekal.
“Saya masih ingat, tidak lama selepas membeli syarikat ini suami saya dilanggar lari hingga koma 13 hari, selain pernah didatangi beberapa gengster di pejabat. Pada masa sama ibu meninggal dunia.
“Bayangkan bagaimana perasaan saya waktu itu, namun saya bersyukur kerana Tuhan mengurniakan kekuatan kepada saya menempuh cabaran dengan jayanya, selain tidak pernah terdetik walau sedikit untuk mengalah,” katanya.
Dia turut meluahkan kekesalan apabila dipandang sinis sesetengah bank sewaktu mahu membuat pinjaman memulakan perniagaan, kononnya tidak yakin dengan kemampuan golongan Bumiputera.
“Memang rasa sedikit terkilan apabila diperlakukan begitu. Saya dan suami datang berserta kertas kerja dengan harapan mereka memberi peluang kepada kami, namun hampa.
“Sekarang apabila syarikat sudah berkembang dan stabil, mereka pula sibuk menawarkan pinjaman meskipun kami tidak mahu,” katanya yang berterima kasih
kepada keluarga kerana memberi bantuan modal waktu itu.
Ditanya tidakkah berasa bahaya membuka syarikat kawalan keselamatan yang menggunakan senjata api sebagai peralatan utama, Ruzaini menjelaskan, dia sememangnya bersedia fizikal dan mental menghadapi sebarang kemungkinan.
“Untuk mendapatkan senjata api, kami memerlukan kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada layak atau tidak mendapatkan lesen. Pelbagai aspek dititikberatkan, termasuk mempunyai tempat sesuai menyimpan senjata.
“Ia tidak boleh disimpan di tempat sebarangan. Kos membuat tempat khas saja mencecah RM100,000 selain diawasi orang kepercayaan dan tidak boleh dipandang sambil lewa. Ini disebabkan jika berlaku kejadian tidak diingini, syarikat yang
dipertanggungjawabkan,” katanya.
Antara lokasi yang mendapat perkhidmatan kawalan keselamatan Watanwaja seperti sekolah, kilang, hospital, kaunter dan pusat pembinaan. Pegawai keselamatan mereka turut dihantar menjalani latihan asas sebelum memulakan tugas.
“Ia perkara wajib sebelum bergelar pegawai keselamatan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memantau setiap calon sebelum dibenarkan menjalani latihan,” kata pengumpul jerami terbesar negeri Selangor ini.
PROFIL
NAMA: Ruzaini Halim
UMUR: 49 tahun
ASAL: Singapura
JAWATAN: Pengarah Urusan Watanwaja Security Services (M) Sdn Bhd; Watanwaja Agrofarm (M) Sdn Bhd, Watanwaja Feedmill (M) Sdn Bhd dan Watanwaja Biotech (M) Sdn Bhd
SUAMI: Saleh Hudin Saliman
ANAK: Syafiruz Afira (26); Syafiruz Adila (22); Mohd Syafirul Zarif (20), Mohd Syafirul Zuhir (18) dan Syafiruz Afiza (16)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: