BUKAN KERJA MUDAH...seorang pegawai penyiasat (IO) harus teliti dan bijak bertindak ketika di sesuatu lokasi jenayah.
INDEKS jenayah negara yang statik selama empat tahun sebelum menunjukkan penurunan tahun lalu pastinya membuatkan rakyat Malaysia kini berasa lega.
Bagaimanapun, di sebalik penurunan 15 peratus atau 32,297 daripada 177,520 kes jenayah di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), pihak berkuasa, khususnya polis, tidak pernah dibuai mimpi dengan perkembangan yang boleh dianggap sebagai kejayaan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, beliau sentiasa mengingatkan pegawai dan anggota polisnya supaya tidak menganggap statistik jenayah yang turun sebagai satu kepuasan kerana jenayah akan sentiasa berlaku.
“Walaupun statistik jenayah di seluruh negara mencatat penurunan hari ini, sebagai anggota penguat kuasa, kita tidak harus dibuai mimpi, sebaliknya perlu bekerja keras untuk mengurangkan kadar itu,” katanya kepada Metro Ahad.Menurutnya, pelbagai tindakan diambil untuk membolehkan indeks jenayah berada di tahap maksimum dan untuk tujuan itu, kerjasama masyarakat tidak harus diketepikan.“Sebenarnya perkembangan ini (penurunan indeks jenayah) bukan hasil usaha polis semata-mata, sebaliknya kerjasama semua pihak, khususnya masyarakat setempat.
“Biasanya jenayah datang daripada masyarakat, jadi kita perlu gunakan masyarakat untuk mengurangkan kadar jenayah.
“Yang perlu adalah anggota polis harus membuka minda dan mendekatkan diri dengan masyarakat kerana mereka yang akan membantu kita mengurangkan kadar jenayah,” katanya.
Menurutnya, yang penting, pegawai dan anggota polis perlu sentiasa melangkah ke depan supaya lebih efisien dan bersama-sama mengatasi cabaran membanteras jenayah di dunia yang serba mencabar kini bagi menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita harus menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan ini dengan ikhlas dan dedikasi,” katanya.
Penurunan indeks turut didorong inisiatif PDRM yang melaksanakan operasi di pelbagai peringkat seperti Ops Lejang (sasaran kepada kecurian motosikal), Ops Rentap (sasaran kepada curi ragut dan rompakan tepi jalan), Ops Pintu (sasaran kepada pecah rumah), Ops Rantau (jenayah membabitkan warga asing) Ops Scorpion (kes culik), Ops Api Laras ( senjata api).
Sementara itu, pendapat sama turut dikongsi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din yang memberitahu, semua anggota polis tidak pernah berpuas hati atau bekerja pada tahap sama walaupun jenayah mencatat penurunan.
“Kita sentiasa berusaha untuk ke depan, maklumlah jenayah kini semakin mencabar, sekali gus memerlukan pegawai serta anggota polis yang mampu berfikir atau bertindak secara lebih proaktif mengikut peraturan sedia ada dalam pasukan.
“Sebagai contoh, jika bertugas sebagai pegawai penyiasat, kita harus berfikir ‘di luar kotak’ dan sentiasa berfikiran sedemikian kerana cabaran jenayah hari ini ada kalanya lebih unik dan di luar jangka,” katanya.
Sehubungan itu, tidak hairan indeks jenayah di Terengganu berjaya dikurangkan sebanyak 24.01 peratus manakala 1,328 kes atau 55.46 peratus kes jenayah diselesaikan dalam tempoh Januari hingga November 2010 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: