|
|
MUNGKIN ramai yang pernah mendengar kaedah tradisional menyerikan wajah menggunakan susuk.
Sebelum ini kita hanya terfikir susuk menjadi pilihan golongan artis dan kenamaan. Kaedah ini semakin popular di kalangan masyarakat termasuk penuntut universiti, kaum lelaki dan masyarakat Eropah.
Secara umumnya, susuk dianggap warisan nenek moyang. Definisi amalan itu adalah tindakan seseorang memasukkan bahan asing ke anggota badan tertentu bagi mendapatkan sesuatu kelebihan.
Ssusuk yang selalu diamalkan adalah susuk logam dan susuk ayat.
Pemakaian susuk bukan sahaja terhad di bahagian wajah, ia boleh dipasang pada alat kelamin. Susuk ketahanan diri juga boleh dipasang bagi tujuan tertentu.
Susuk dikatakan untuk awet muda, kelihatan cantik, mempesona dan kekuatan diri.
Menurut seorang bomoh artis, Awang Mohd. Haji Yahya yang lebih dikenali sebagai Pak Awang, susuk menjadi pilihan bagi mereka yang tidak mahu dan tidak sesuai menggunakan botox.
Tujuan
Pak Awang memberitahu tidak semua orang sesuai menggunakan botox justeru susuk menjadi alternatif.
Sebelum memakai susuk, seseorang perlu tahu tujuan mereka memilih kaedah itu. Misalnya, Pak Awang tidak menggalakkan orang Islam memilih susuk logam kerana ia jelas haram di sisi agama.
Pemakaian susuk tidak mengambil masa yang lama. Ia boleh dilakukan dalam masa 20 minit untuk susuk logam manakala kurang sejam untuk susuk ayat.
Pemakaian susuk tidak terhad kepada muka tetapi alat sulit wanita dan lelaki seperti kemaluan atau payu dara mengikut jenis susuk yang diingini.
Sebelum seseorang itu dipakaikan susuk, syarat dan kesan-kesan pemakaian akan diterangkan.
Biasanya, penerangan menyentun tentang jenis susuk yang sesuai, susuk yang dilarang, syarat dan pantang larang yang perlu dipatuhi pemakai.
''Contohnya kita memberitahu susuk apa yang dibenarkan dan tidak menyakitkan pemakai dan susuk yang terlarang," ujarnya.
Dalam pertemuan singkat itu, Pak Awang turut menunjukkan teknik-teknik pemakaian susuk .
Muka dan badan pemakai ditandakan dengan sejenis alat seperti pensel untuk memastikan tempat yang sesuai ditusuk susuk yang diingin.
Selepas itu bermulalah proses membaca ayat-ayat sambil memegang anggota badan yang mahu dipasang susuk.
Kain yang dipotong kecil akan diletakkan di tempat yang ditanda supaya susuk yang dimasukkan meresap ke dalam muka atau badan pemakai.
Akhir sekali, Pak Awang akan menutup kepala pemakai sehingga ke paras hidung menggunakan kain kuning manakala kain merah ditutup dari paras muka ke leher selama 10 ke 15 minit.
Tujuannya juga supaya susuk itu meresap ke tubuh badan. Selepas itu kain yang sama digunakan untuk mengebas badan pemakai.
Pak Awang turut menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan bomoh yang mungkin menyamar sehingga sanggup mengenakan syarat yang tidak logik seperti melakukan seks sebelum memasang susuk.
Peringatan beliau lagi, masyarakat harus mempunyai niat yang betul sebelum memakai susuk supaya tidak bertentangan dengan syariat agama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: