|
|
MUNGKIN sudah takdir Suhaimi Hassan, 47, kehilangan dua anak yang menghidap Duchenna Muscular Dystrophy iaitu sejenis penyakit berkaitan sendi dan genetik pada tahun lalu.
Utusan Malaysia pernah menyiarkan tentang penderitaan Suhaimi dan Noraidah Kadir, 43 yang dikurniakan tiga anak yang menghidap penyakit mister itu.
Mohd. Badli meninggal dunia pada Januari 2010, disusuli Mohd. Sayydan lima bulan kemudiannya .
Reda dengan ketentuan Ilahi, pasangan suami isteri itu memberi sepenuh tumpuan kepada seorang lagi anak istimewa mereka, Mohd. Hashim, 12, dan enam orang lagi yang normal.
Bagi Suhaimi, dikurniakan anak istimewa mungkin ujian yang cukup berat bagi sebuah keluarga namun dia pasrah.
Dia yang sudah biasa berada dalam keadaan genting memberitahu, ada kalangan adik-beradiknya menghidap penyakit kronik dan hidup dalam kesusahan.
Ketentuan dan ujian terhadap keluarganya itu mengajar Suhaimi menjadi seorang yang cekal dan sabar.
Dia yang berazam memenuhi keperluan keluarganya kini bertugas sebagai pemandu lori simen dan pasir.
Menurut Suhaimi, dia tidak pernah menyangka ketiga-tiga anak lelakinya menerima nasib yang sama iaitu disahkan menghidap penyakit misteri ketika berusia enam hingga 10 tahun.
Tiada ubat
Ketika kecil, katanya, mereka bertiga seperti kanak-kanak normal namun keadaan mula berubah apabila menjangkau usia enam tahun.
"Rawatan demi rawatan kami cuba termasuk bomoh namun tiada ubat yang mampu menyembuhkan mereka. Doktor menjelaskan anak-anak saya mungkin tiada harapan untuk sembuh.
''Ini kerana penyakit itu menyebabkan sistem dalam badan mereka semakin lemah dari sehari ke sehari. Ketika doktor memberitahu perkara itu, saya dan isteri reda sebarang kemungkinan.
''Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut selain kuasa Allah sahaja, jadi kami reda dengan keadaan ini," ujarnya.
Menceritakan pengalaman menjaga ketiga-tiga anaknya yang sudah pasti memerlukan sepenuh perhatian, Suhaimi memberitahu, mereka tidak rumit dijaga. Mereka boleh makan dan minum apa sahaja, namun keperluan lampin pakai buang menuntuk kos yang tinggi.
Sesungguhnya dia dan isteri tidak tahan melihat penderitaan anak-anak. Mahu sahaja mereka memberi keselesaan kepada anak-anak tetapi tidak mampu sehinggalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang membantu mengurangkan sedikit beban mereka.
Mengesot
Berbanding penderitaan abang-abangnya yang terlantar semasa hayat mereka, Mohd. Hashim agak bertuah kerana masih mampu mengesot.
Biar pun begitu, wujud kebimbangan di hati Suhaimi apabila anak ketujuh mereka, Mohd. Nashirudin, 7, mungkin menerima nasib yang sama apabila mula menunjukkan tanda-tanda serangan penyakit tersebut.
Pasrah menerima takdir Tuhan, Suhaimi tetap bersyukur dengan kehidupan mereka sekeluarga.
"Nasib kami sekarang tidaklah senang sangat tetapi susah pun tidak. Semuanya ala kadar. Kami bersyukur kerana menerima bantuan JKM buat Mohd. Hashim untuk menampung keperluan seharian selain terpaksa menggunakan duit pencen.
"Selepas Mohd. Sayydan dan Mohd. Badli meninggal dunia, saya dapat meluangkan masa bekerja di luar rumah. Jika sebelum ini, saya tidak boleh bekerja kerana sukar untuk ibunya seorang diri menguruskan ketiga-tiga anak kami itu. Sekarang saya mengharapkan sinar baru buat keluarga," katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi dan isteri mahu memberi tumpuan kepada anak-anaknya yang masih bersekolah dan kecil lagi iaitu Mohd. Shalihin, 16, Mohd. Hanif, 11, Nor Syaima Amirah, 18, Siti Syazwani, 9, dan Nik Safia, 2 walaupun kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Suhaimi di talian 019-947 1485.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: