ENJIN dihidupkan, bilah kipas mula menari, kanopi dikembangkan, pilot berlari dan perlahan-lahan melayang terus terbang bebas di udara.
Terasa asyik melihat satu demi satu penerbang sukan udara paramotor meluncur ke udara dan menghiasi ruang angkasa Putrajaya.
Walaupun ruang udara sekitar kompleks kerajaan ketika itu 'sesak' dengan belon udara panas, kelibat mereka berjaya menarik perhatian orang ramai.
Penerbangan mereka bukan sekadar suka-suka atau hanya memeriahkan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini, sebaliknya ia cubaan mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).
Keadaan cuaca yang baik di samping perancangan rapi menjadi faktor utama seramai 30 penerbang atau pilot berjaya mengukir nama dalam MBOR sebagai penerbangan paramotor paling ramai dalam satu masa.
Dibarisi pilot berusia 16 hingga 60 tahun, cabaran itu dianjurkan oleh Persatuan Paramotor Malaysia (MPA) dengan kerjasama Persekutuan Sukan Udara Malaysia.
Presiden MPA, Rohaizi Md Husin berkata, cubaan mencatat rekod itu dilakukan untuk membuktikan sukan paromotor sebenarnya berkembang di Malaysia.
Katanya, kira-kira 11 tahun lalu, sukar mengumpul penggemar sukan udara itu dalam jumlah ramai kerana ia masih belum dikenali."Sesuatu yang membanggakan apabila kami berjaya mengumpul 30 pilot tempatan dalam satu acara walaupun segelintir masyarakat masih kabur mengenai sukan ini.
"Rekod yang dilakar menjadi penanda aras kepada perkembangan paramotor di negara ini, mungkin dalam tempoh 11 tahun akan datang," katanya.
Menariknya, cabaran itu bukan saja disertai golongan profesional, malah orang awam yang menjadikan sukan itu sebagai hobi turut mengambil bahagian.
Paramotor adalah 'pesawat' paling selamat di dunia selain kos penyelenggaraannya lebih murah berbanding sukan udara lain.
Rohaizi berkata, jika dilihat secara kasar, mungkin ada yang beranggapan ia hanya bergantung kepada kekuatan enjin semata-mata, tetapi sebenarnya pilot masih mampu mendarat dengan selamat walaupun enjin mengalami kerosakan.
"Jika enjin mengalami kerosakan atau masalah, pilot masih ada masa untuk mencari kawasan mendarat yang selamat kerana kanopi mampu mengapungkan pilot di udara.
"Jarang berlaku kemalangan membabitkan paramotor selagi pilot melakukan penerbangan mengikut cara dan teknik betul," katanya.
Satu set lengkap paramotor mengandungi kanopi, harness dan unit enjin iaitu termasuk propeller (kipas) dan sangkar yang berharga antara RM20,000 hingga RM40,000.
Apabila dilabelkan sebagai sukan, aspek kecergasan perlu diberi perhatian kerana ia perkara paling penting selain teknik penerbangan.
Katanya, walaupun ketika di udara tidak memerlukan pergerakan fizikal maksimum, ketahanan fizikal teruji apabila hendak memulakan penerbangan.
"Untuk mengembangkan kanopi, pilot perlu berlari dengan memikul kelengkapan enjin dianggarkan seberat 20 hingga 30 kilogram dan pastinya memerlukan kekuatan fizikal.
"Apabila mendarat pula, ia sebenarnya bergantung kepada kemampuan kaki melakukan pendaratan sempurna kerana pilot berdepan risiko tergelincir atau tersungkur," katanya.
Persepsi masyarakat apabila melihat sesuatu yang berkaitan dengan aktiviti lasak pastinya terus melabelkannya sebagai berbahaya dan berisiko tinggi.
Jika mahu berbicara mengenai risiko, dalam aktiviti yang kita lakukan seharian juga sebenarnya ada risiko, namun ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk mengurangkan risiko berkenaan.
Beliau berkata, setiap pilot diajar teknik mengendalikan paramotor, malah dimaklumkan mengenai perkara yang perlu dipatuhi.
Malah, katanya, mereka berpandukan kepada pengiraan risiko di mana pilot perlu bijak 'menilai' risiko yang bakal dihadapi sebelum melakukan penerbangan.
"Jika cuaca tidak menentu dan berlaku hujan, pilot tidak digalak melakukan penerbangan, namun jika berkeras melakukannya, pengiraan risiko mereka melebihi yang sepatutnya.
"Risiko atau bahaya terletak pada individu itu sendiri sama ada bijak atau tidak untuk mengendalikan sesuatu keadaan," katanya.
>INFO
> Paramotor-akan seakan sama seperti paraglider, yang membezakannya adalah penggunaan enjin untuk terbang
> Berjaya melakar rekod penerbangan paramotor paling ramai dalam satu masa dan dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR)
> Seramai 30 pilot atau juruterbang mengambil bahagian
> Setiap pilot melakukan penerbangan kira-kira sejam
>PROFIL
NAMA: Mohamad Shairul Fahmi Ahmad
UMUR: 29 tahun
ASAL: Pelabuhan Klang
KELUARGA: Kelima daripada tujuh beradik
PEKERJAAN: Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK)
DIA pada mulanya kabur mengenai sukan ini, namun apabila ditawarkan menyertai unit pemantauan paramotor pada 2006, entah mengapa dia terus menerimanya.
Katanya, mungkin kerana sifatnya yang gemar mencuba sesuatu yang baru mendorongnya menerima tawaran menyertai unit itu.
"Paramotor memberi pengalaman berbeza bagi saya kerana tidak semua berpeluang mendapat kesempatan itu.
"Saya biasanya melakukan pemantauan udara bagi meninjau kawasan di bawah pentadbiran MPK untuk mengesan masalah," katanya.
Menurutnya, dia meminati aktiviti lasak sejak di bangku sekolah dan baginya, sukan paramotor seakan-akan 'masuk' dengan jiwanya.
"Antara pengalaman paling saya ingat adalah kejadian di mana kanopi saya mengalami masalah akibat pertukaran angin.
"Saya cuba melakukan pendaratan baik namun gagal dan menggelongsor, namun bersyukur kerana tidak cedera parah," katanya.
>PROFIL
NAMA: Ahmad Nazari Wafi Ahmad Nazir
UMUR: 20 tahun
ASAL: Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur
KELUARGA: Kedua daripada empat beradik
PEKERJAAN: Pelajar Diploma Seni Kulinari, PTPL Shah Alam
JIKA dilihat pilihan kursus dipelajari di PTPL, seakan-akan tiada kaitannya dengan sukan ini, namun bagi anak muda ini hobi dan pelajaran adalah dua perkara berbeza.
Katanya, minat terhadap sukan ini banyak dicorakkan oleh ayahnya yang lama bergiat aktif dalam sukan itu.
"Melihat ayah terbang setiap minggu sedikit sebanyak mencambahkan minat dalam diri saya dan apabila ayah memberi peluang, saya terus mencubanya.
"Walaupun teknik pengendalian saya mungkin belum mantap, saya berbangga kerana tidak semua orang dapat melihat 'dunia' dari udara," katanya.
Baru berpengalaman dua tahun dalam sukan itu, ini alah penyertaan pertamanya dalam usaha mencatat rekod.
"Apabila diberitahu mengenai cabaran ini, saya teruja dan mahu memastikan saya seorang daripadanya.
"Saya melakukan latihan kira-kira empat bulan sebelum cabaran ini dan berpuas hati dapat menyumbang sesuatu dalam sukan ini," katanya.
>PROFIL
NAMA: Ahmad Nazari Wafi Ahmad Nazir
UMUR: 20 tahun
ASAL: Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur
KELUARGA: Kedua daripada empat beradik
PEKERJAAN: Pelajar Diploma Seni Kulinari, PTPL Shah Alam
SUKAN paramotor barangkali bukan asing baginya kerana ia menjadi sebahagian daripada tugasnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas PDRM.
Baginya, berdepan masalah ketika di udara menjadi kebiasaan dan dia mampu mengendali situasi itu.
"Sejak terbabit dalam pasukan ini, pelbagai pengalaman manisa dan pahit saya peroleh, dan saya anggap ia sebagai asam garam dalam paramotor.
"Walaupun ada yang melabelkan ia sebagai bahaya, hanya individu yang terbabit dalam sukan ini tahu keadaan sebenar," katanya.
Menurutnya, cara pengendalian anggota pasukannya berbeza daripada orang awam kerana dilatih dengan disiplin tinggi.
"Setiap anggota perlu lulus beberapa latihan ditetapkan kerana tugas kami sebagai antara barisan depan negara sememangnya mencabar.
"Namun, ia sebenarnya menyeronokkan apabila dapat melayang ke udara dan kali pertama saya mencuba paramotor ini, sukar untuk mengungkapkan perasaan dengan kata-kata," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: