Sunday, April 10, 2011

Ketenangan Perth gamit pelancong

pix_middle

TERLETAK di Australia Barat, Perth yang diasaskan pada 11 Jun 1829 oleh kapten James Stirling tidaklah sehebat Sydney dan Melbourne. Ia dianggap bandar yang tenang dan damai, malah kegiatan penduduknya perlahan, dengan kawasan metropolitannya di barat daya benua iaitu di antara Lautan Hindi. Namun, ketenangan inilah yang menarik minat ribuan pelancong untuk berkunjung ke Perth, termasuk dari Malaysia saban tahun.

Penerbangan penulis bersama rombongan Saidina Travel bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, mengambil masa lima jam untuk ke Perth.


Tidak terasa keletihan kerana layanan baik yang diberikan petugas syarikat penerbangan, apatah lagi makanan Islam segera dihidangkan kepada anggota rombongan. Setibanya di Lapangan Terbang Perth, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong.

  • Foto

    SERONOK...penulis bersama isteri bergambar dengan petugas Caversham Wildlife Park yang memegang Wombat.

  • Foto

    DENGAR...anggota rombongan mendengar penerangan mengenai kaedah memproses kacang Macadamian oleh pemilik ladang.

  • Foto

    MAHIR...demonstrasi mencukur bulu biri-biri sangat mengagumkan dan memerlukan kemahiran tertentu.

  • Foto

    MENAWAN...banglo mewah sepanjang Sungai Mandurah.

  • Foto

    SOLAT...ramai pelancong Islam menunaikan solat di masjid Perth.

Sepanjang perjalanan ke bandar Perth ternyata mempesonakan kerana setiap sudut dan pelosok dipenuhi kehijauan pokok serta saujana memandang Sungai Swan yang mendamaikan. Kami kemudian menginap di King's Hotel yang turut menyediakan makanan halal kepada tetamu beragama Islam.


Selepas mandi dan bersolat jamak dan qasar, kami dibawa ke restoran makanan Muslim yang berhampiran. Keesokannya, selepas bersarapan, kami bergerak menuju ke Macadamian Nuts Factory. Di situ, pemilik ladang mengambil kesempatan menerangkan kaedah menuai buah berkenaan.


Selepas bergambar, kami dibawa melawat kilang untuk ditunjukkan cara memproses kacang sehingga ia dipek di dalam plastik dan botol dengan pelbagai perisa seperti madu, perisa asli dan smoke serta caramel.

Kami meneruskan perjalanan ke Caversham Wildlife Park pula yang mengambil masa setengah jam. Pelbagai binatang liar Australia dipelihara di situ dengan tempat pertama adalah Taman Kangaroo.


Kami diberi segenggam makanan dan berpeluang memberi makan haiwan terbabit di atas tangan sendiri. Pada mulanya seram juga jika tergigit jari, tetapi ia binatang jinak dan biasa hidup dengan manusia. Dalam pertunjukan biri-biri yang dikawal anjing dan penunggang kuda, demonstrasi mengetam bulu biri-biri untuk dijadikan baju sejuk dan pelbagai barangan lain sungguh menarik.Biasanya, bulu biri-biri diketam pada musim panas supaya binatang itu tidak kesejukan. Kami turut berkesempatan bergambar beramai-ramai dengan sejenis haiwan manja dan jinak iaitu Wombat sebagai kenangan.


Dalam lawatan ke kilang coklat pula, kami dapat merasai pelbagai jenis coklat dan badam serta boleh dibeli untuk dijadikan buah tangan kepada ahli keluarga di tanah air.


Tidak ketinggalan juga kami melawat ladang anggur tetapi hanya boleh dipetik pada musim panas sebelum membeli-belah di Harbour Town yang menawarkan pelbagai barangan berjenama dengan harga menarik.


Pada hari kedua, kami menaiki bot untuk melawat Mandurah, iaitu kawasan banglo sepanjang sungai yang dipenuhi bot mewah. Penulis kagum dengan kecantikan banglo ala resort itu yang masing-masing memiliki ciri-ciri tersendiri.


Kami juga bernasib baik kerana dapat melihat ikan lumba-lumba berenang berhampiran bot. Banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati di Australia Barat seperti Waverock dan Pinnacle yang sudah pasti meninggalkan kenangan manis.


Di kawasan luar bandar atau lebih dikenali sebagai Outback ada Red Rock dan pada waktu malam langit luas terbentang begitu cantik dengan dihiasi bintang yang bergemerlapan.


Kedudukan antara satu rumah ke satu rumah jaraknya 100km menyebabkan kanak-kanak bersekolah hanya dari rumah dengan menggunakan pembelajaran jarak jauh. Hanya setahun sekali mereka berjumpa dengan guru dan rakan pada hari sukan sekolah.


Dalam perjalanan balik kami singgah di Freemantle (sebuah bandar pelabuhan) bagi membeli barangan cenderahati. Harga di sini lebih murah dan barangannya juga berkualiti seperti baju-T, topi dan beg.


Sebelum tiba ke hotel, kami dibawa ke Kings Park berkeluasan 400 hektar yang menjadi kebanggaan penduduk Perth kerana di dalamnya tersimpan pelbagai jenis pokok yang hidup beratus tahun lamanya.


Tidak kenal maka tidak cinta, peluang berjalan di atas "Tree Top Walkway" sambil melihat sekitar bandar Perth dengan keindahan Sungai Swan bukan saja membuat mata terpana, bahkan meruntun jiwa untuk bertandang kembali ke Perth.


Justeru, Saidina Travel boleh dihubungi menerusi laman web saidinatravel2u.com atau e-mel saidinatravel@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: