Monday, April 25, 2011

Perkembangan dan masa depan bidang animasi tempatan

Bidang animasi di Malaysia bermula sejak 1946 dengan penubuhan Unit Filem Malaya (sekarang dikenali sebagai Filem Negara). Pada 1983, filem animasi pendek pertama iaitu Hikayat Sang Kancil ditayangkan.

Gesaan kerajaan terhadap penggunaan teknologi digital pada awal 1980-an menyaksikan penghasilan siri TV pertama, Usop Sontorian oleh sektor swasta (Kamn Ismail, 1993). Manakala filem cereka pertama, Silat Lagenda (Hassan Abd Muthalib) ditayangkan pada 1998.

Terkini, sebanyak 31 siri televisyen, empat telefilem dan tiga filem cereka telah dibuat dan beberapa daripadanya dijual ke luar negara.

Namun, kemunculan siri animasi Upin & Ipin serta terbaru, BoBoiBoy merancakkan lagi industri ini yang hampir lesu. BoBoiBoy mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai kuasa istimewa pernah mencatat rating tertinggi sebanyak 1.49 juta.

Ikuti wawancara wartawan SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dengan Pengarah Urusan Animonsta Studios, Mohd Nizam Abd Razak mengenai kejayaan siri BoBoiBoy serta pandangannya tentang bidang animasi tempatan.


Tahniah kepada pasukan anda di atas kejayaan siri animasi BoBoiBoy. Bagaimana perkembangan BoBoiBoy terbaru ketika ini?

MOHD NIZAM: Terima kasih. Alhamdulillah, BoBoiBoy sudah ditayangkan empat episod mendapat sambutan luar jangkaan dengan purata rating 1.2 juta. Setakat ini, BoBoiBoy berada dikedudukan pertama kategori rancangan kartun.


Sebelum ini, anda pernah terlibat dengan penghasilan Upin & Ipin. Apakah sukar untuk muncul dengan BoBoiBoy pula bersama Animonsta Studios?

MOHD NIZAM: Pada mulanya, kami kurang yakin samada mampu keluar dengan produk setanding dengan Upin & Ipin. Peminat juga meletakkan harapan tinggi. Malah, formula untuk mencipta siri BoBoiBoy mengalami perubahan sebanyak tiga kali. Kami bersyukur kerana peminat tidak membandingkan dengan Upin & Ipin sebaliknya menerima kehadiran BoBoiBoy


Apakah perancangan seterusnya untuk BoBoiBoy?

MOHD NIZAM: Jun ini, BoBoiBoy dijangka ditayangkan di saluran Disney. Kami juga sedang mengintai pasaran di Timur Tengah, India, Korea dan Eropah. Sebelum ini, kami telah menghantar satu episod kepada pengedar di negara luar dan mereka menunjukkan minat. Selain itu, kami merancang untuk keluar dengan musim kedua BoBoiBoy dengan pertambahan watak baru. Manakala, filem BoBoiBoy dijangka menemui penonton tahun depan.


Sejak kemunculan Upin & Ipin serta BoBoiBoy, ramai mula membuka mata terhadap bidang animasi tempatan. Bagaimana anda melihat perkembangan bidang animasi di negara ini berbanding dahulu?

MOHD NIZAM: Pada mulanya, ramai menyatakan kerisauan terhadap masa depan graduan lepasan dalam bidang animasi. Namun, sejak 2005 hingga kini saya melihat sudah banyak syarikat berkembang dan menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan luar negara. Tidak dinafikan industri ini memerlukan modal besar, namun kerajaan banyak memberikan bantuan. Peningkatan paling ketara dari segi teknologi, iaitu ramai yang sudah beralih dari animasi 2D kepada 3D. Selain itu, saya nampak banyak perubahan dari segi kualiti dan akses pasaran ke luar negara.


Apakah cabaran dan kekangan bagi penggiat dalam bidang animasi ini?

MOHD NIZAM: Banyak, tetapi paling sukar dari segi kreativiti dan menghasilkan jalan cerita menarik. Ramai salah faham bahawa bidang ini hanya mementingkan teknologi, padahal penonton cuma kagum dengan teknologi hanya untuk lima minit. Teknikal boleh dipelajari, namun kreativiti perlu sentiasa dilatih. Tiada guna teknologi hebat jika jalan ceritanya tidak menarik minat penonton. Selain itu, industri ini juga kekurangan pengarah dan individu yang betul-betul boleh bekerja sebagai sebuah kumpulan.


Bagaimana pula dengan saingan dari animasi luar?

MOHD NIZAM: Kita tidak terlalu mementingkan persaingan, sebaliknya kita belajar dari mereka. Sebagai contoh, BoBoiBoy memang bersaing dari segi rating dengan Doraemon. Namun, kita belajar bagaimana Doraemon mampu bertahan setelah sekian lama. Lagipun, kita tidak mahu asyik memikirkan pesaing hingga lupa kepada fokus utama iaitu penonton.


Adakah terdapat jurang antara pencapaian bidang animasi di Malaysia dengan negara luar?

MOHD NIZAM: Kualiti siri animasi kita sudah setanding Korea dan Jepun. Cuma, untuk filem animasi kita agak ketinggalan, namun kita masih boleh mengejarnya.


Adakah anda yakin siri dan filem animasi tempatan mampu dipasarkan ke luar negara?

MOHD NIZAM: Siri dan filem animasi sepatutnya lebih senang dipasarkan kerana sifat kartun yang universal. Cuma, perkara yang perlu dititik beratkan ialah keseimbangan budaya yang ingin ditonjolkan. Kita perlu ada identiti sendiri, tapi dalam masa sama identiti itu boleh diterima masyarakat sejagat. Sekiranya ciri ini mampu dicapai, saya percaya animasi tempatan boleh melangkah jauh di luar negara.


Dalam tempoh 10 tahun akan datang, bagaimana anda melihat potensi bidang animasi tempatan?

MOHD NIZAM: Saya melihat akan lebih banyak animasi dihasilkan oleh syarikat tempatan. Stesen televisyen juga lebih memberi peluang dan melihat nilai komersial yang ada pada animasi. Selain itu, saya yakin potensi animasi kita untuk ke luar negara juga semakin luas.


Apakah harapan atau impian anda terhadap industri kreatif terutamanya bidang animasi?

MOHD NIZAM: Saya harap industri akan terus berkembang dengan penglibatan lebih ramai generasi muda. Mereka lebih memahami pasaran semasa dan mempunyai idea yang kreatif. Walaupun golongan veteran lebih berpengalaman dalam bidang ini, tetapi khidmat generasi muda tetap diperlukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: