![]() |
| LIMA pelajar yang melakukan kajian paranormal di Istana Bilah berdepan dengan insiden aneh dan luar biasa. |
MEMANG tidak dinafikan lagi, genre seram dilihat sebagai taruhan paling selamat bagi penerbit filem tempatan dalam menarik perhatian audiens ke pawagam.
Menyedari pengaruh filem seram masih lagi kuat di kalangan penonton, Grand Brilliance dan Primeworks Studios telah membuat percaturan yang begitu berani dengan menerbitkan Penunggu Istana.
Mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula semalam (21 April), Penunggu Istana bukanlah sembarangan karya seram apabila ia cuba membawa perubahan baru dalam definisi seram itu sendiri.
Penunggu Istana yang ditakrifkan sebagai sebuah filem dokumentari itu merupakan filem paranormal pertama yang pernah diterbitkan di negara ini.
Sebelum ini, Hollywood pernah digegarkan dengan filem paranormal The Blair Witch Project (1999) apabila ia mencetus gelombang baru dalam penerbitan filem seram di sana.
Lalu, apakah Penunggu Istana juga mampu mencipta fenomenanya dan mendapat sambutan luar biasa daripada penonton?
Segala yang dipaparkan dalam Penunggu Istana semuanya rakaman video yang sebenar daripada penyelidikan sekumpulan pelajar tentang sebuah rumah lama di Papan, Perak.
Cerita yang selama ini hanya didengar daripada masyarakat setempat tentang sebuah rumah yang dikenali sebagai Istana Bilah mula terungkai dengan penemuan beberapa peristiwa aneh dan misteri.
Pengurus Besar Filem & Drama Primeworks Studios yang juga Penerbit Eksekutif filem Penunggu Istana, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, filem itu diterbitkan untuk memberi peluang kepada audiens menilai sendiri kesahihan di sebalik kisah paranormal yang sering dicanangkan.
“Penunggu Istana merupakan sebuah filem yang merupakan cantuman daripada dokumentari yang dirakamkan oleh sekumpulan pelajar yang membuat penyelidikan tentang aktiviti paranormal.
“Filem ini adalah asli dan tiada sebarang tokok tambah dan semuanya adalah benar belaka. Namun, semuanya terpulang kepada masyarakat sama ada untuk mempercayainya atau tidak,” katanya.
Tambah Tengku Iesta lagi, pada awalnya kumpulan pelajar itu mahu melakukan kajian paranormal itu sebagai projek universiti mereka.
Namun, selepas mengesan sesuatu yang aneh sewaktu berada di Istana Bilah, mereka memberanikan diri untuk meneroka jauh dan mengenali dengan lebih dekat alam ghaib di rumah itu selama 15 hari di sana.
Apakah penemuan yang telah ditemui oleh mereka sepanjang di sana dan bagaimanakah pula dengan kesudahannya? Semuanya akan terjawab dalam Penunggu Istana yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Apakah pelakon dalam penunggu istana itu adalah pelajar yang terkorban atau setakat untuk pelakon saja?
ReplyDeletesy bengang ni , kalu rumah lama yg dh usang pon ade menda mcm tu , bkan stakat istana ,
ReplyDelete