Friday, April 22, 2011

Senjakala tidak kecundang


TEKNIK solekan kosmetik berjaya menimbulkan mood seram dalam filem Senjakala.


FILEM ke-20 arahan pengarah prolifik, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri, 40, Senjakala menemui penonton pada 14 April baru-baru ini.

Dalam tempoh lima hari pertama filem itu ditayangkan, ia berjaya mengutip lebih RM700,000.

Angka kutipan itu meningkat dari sehari ke sehari dan ada lebih kurang seminggu sahaja lagi filem tersebut berada di pawagam.

Justeru masih belum terlambat untuk orang ramai menyaksikan sendiri filem seram kedua hasil buah tangan daripada Ahmad Idham itu.

Melahirkan sebuah filem genre seram kedua selepas Jangan Pandang Belakang (2007), Senjakala mendapat kritikan yang agak skeptikal sebelum ini.

Namun ternyata audiens hari ini yang mempunyai kuasa membeli, bukan sahaja bijak menilai dan membuat pilihan tetapi tetap memberi respons serta sambutan yang baik terhadap filem tersebut.

Bukan semua pembaca atau pun penonton filem hari ini akan terima secara total apabila ulasan yang diberikan ke atas sesebuah filem itu, lebih terarah kepada pandangan peribadi.

Sebaliknya, mereka akan membuat penilaian sendiri, mencari kebenaran akan apa yang dibaca dan bukannya bersandarkan kepada ulasan semata-mata.

Hits menghubungi pengarah Senjakala untuk mendapatkan reaksi berhubung sambutan yang diberi oleh penonton terhadap filem yang menelan belanja RM1.51 juta itu..

“Saya menghormati setiap artikel atau penulisan yang dibuat oleh pengkritik filem kerana itu merupakan pandangan mereka.

“Bagi saya, adalah lebih molek sekiranya ulasan yang diberikan terhadap sesebuah filem tempatan itu dibuat secara adil dan beretika.

“Adil terhadap penerbit filem dan beretika dengan cara bertanya kepada pengarah atau penerbit sesebuah filem itu sebelum mengulas mengikut acuan sendiri,” kata Ahmad Idham dalam nada tenang.

Menceritakan kesukaran untuk menempatkan hasil karyanya itu di hati audiens, Ahmad Idham berkata, filem-filem yang telah dihasilkannya adalah untuk penonton, mengikut cita rasa penonton selain daripada cuba memberikan satu kelainan.

“Saya buat filem untuk penonton. Saya tidak hasilkan filem untuk penulis tetapi saya menghargai ulasan yang diberikan terhadap filem saya kerana dari situ, saya akan belajar dan cuba untuk tidak mengulang kesilapan.

“Bagilah Senjakala peluang untuk dinikmati penonton di pawagam kerana impak yang diterima ekoran daripada penulisan ke atas filem saya itu seolah-olah membawa maksud yang tersirat,” katanya yang menjelaskan erti maksud tersirat seolah-olah memberitahu khalayak agar jangan pergi menonton Senjakala.

Kata Ahmad Idham lagi, Senjakala tidak dilakarkan sebagai sebuah filem seram yang sengaja mahu menakut-nakutkan penonton.

Tindakan seperti itu tidak perlu kerana kata juri tetap program realiti televisyen, Maharaja Lawak ini, elemen seram dalam Senjakala wujud dengan sendiri.

Dia bersyukur kerana penonton yang menonton Senjakala, faham akan apa yang cuba diceritakannya menerusi filem tersebut.

“Menjelang hujung minggu ini, melalui cakap mulut ke mulut (CMM), insya-Allah, lebih ramai lagi akan menonton Senjakala di pawagam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: