Friday, April 22, 2011

Persembahan kelas pertama!


GANDINGAN tiga bintang West End ini memang mantap dan menghiburkan.


SECARA jujur dikatakan, penulis mempunyai pandangan yang sedikit skeptikal sebelum hadir ke Panggung Sari, Istana Budaya (IB) untuk menonton persembahan West End Stars In Concert, baru-baru ini.

Bukannya tidak yakin dengan kemampuan tiga jejaka kacak dengan bakat ‘luar biasa’, Stephen Rahman-Hughes, Simon Bailey dan Ramin Karimloo yang menjadi pertaruhan Enfiniti Vision Media untuk konsert seumpama ini.

Apatah lagi, tiga bintang yang membuat persembahan untuk konsert ini bukan calang-calang apabila mereka merupakan antara bintang West End, London yang cukup menyerlah dan popular.

Cuma bimbang seandainya konsert itu akan menerbitkan rasa bosan terutama sekali apabila rangkaian lagu-lagu yang dipilih kebanyakannya kurang mesra di telinga.

Memang sukar kalau menonton sesebuah konsert seandainya ia gagal memberikan kepuasan dalam memberikan hiburan yang maksimum kepada mereka yang menonton.

Namun, untuk tidak mahu bersikap prejudis, penulis melapangkan dada dan mengosongkan minda sewaktu menghadiri majlis prebiu bersama-sama teman media yang lain.

Sebagai persembahan pembukaan, Stephen, Simon dan Ramin memilih lagu daripada muzikal West Side Story berjudul Something’s Coming sebelum beralih kepada lagu popular, Memory.

Ternyata, gandingan mantap mereka sewaktu melagukan karya agung Andrew Lloyd Webber itu telah membuatkan penonton bagaikan disihir dengan kekuatan vokal masing-masing.

Cukup terserlah keharmonian mereka menyampaikan lagu daripada muzikal Cats itu. Baik Stephen, Simon mahupun Ramin, mereka tahu tugas mereka sewaktu menyampaikan bahagian masing-masing tanpa timbul isu overshadow.

Bermula dengan lagu itu, ia telah menjadi indikator bahawa West End Stars In Concert akan menjadi sebuah persembahan yang akan mampu diingati oleh audiens.

Buat penonton tempatan, barangkali tiada apa yang dapat diragukan lagi tentang kehebatan vokal Stephen yang mula mencuri perhatian sejak membintangi Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) sebagai Hang Tuah pada tahun 2006.

Stephen masih lagi membuktikan bakat nyanyiannya dalam landasan tersendiri.

Memilih untuk menyampaikan lagu-lagu seperti What I Did For Love, A Song For You dan Defying Gravity, persembahan Stephen memang cukup menghiburkan.

Ketiga-tiga lagu yang berlainan rentak itu membuktikan versatiliti Stephen sebagai seorang penghibur yang cukup berkarisma.

Sesekali untuk melihat Stephen di atas pentas sebagai seorang penyanyi memang cukup mengasyikkan lantaran memiliki kualiti vokal yang cukup enak didengar.

Lagu-lagu seperti ini barangkali bukanlah satu masalah buat bintang muzikal Bombay Dreams itu. Sebagai seorang yang cukup berpengalaman, ia sudah menjadi makanan ruji Stephen untuk memberikan persembahan terbaik.

Bagi mengubat kerinduan peminat terhadap watak Hang Tuah dalam pementasan mega itu, Stephen berduet dengan penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor atau Jac menerusi lagu Di Puncak Tertinggi.

Dengan susunan muzik yang lebih segar dan sedikit suntikan moden oleh pengarah muzik, Lee Sze Wan, gandingan Stephen dan Jac merupakan antara yang terbaik dalam persembahan itu.

Tidak syak lagi, percaturan berani Enfiniti Vision Media mempertaruhkan Jac sebagai penyanyi undangan memang tepat.

Stephen juga menjadikan West End Stars In Concert sebagai platform untuk mempromosikan lagu Melayu pertamanya ciptaan Azlan Abu Hassan yang berjudul Bertemu Di Syurga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: