Wednesday, April 20, 2011

Pak Uda pernah dibuang kerja

Bermula sekadar suka- suka, Pak Uda atau nama sebenarnya Zami Ismail tidak menyangka bidang seni merupakan mata pencarian menyara hidupnya sekeluarga.

Mengimbau saat mulanya perjalanan seninya, Pak Uda mengakui telah diminta oleh rakan-rakannya untuk menjadi pengarah bagi sebuah persembahan pentas anjuran Pertubuhan Pemuda Desa di Kampung Kepayang, Ipoh Perak.

“Masa tu, saya memang tak tahu apa-apa. Tapi, dah orang pilih, nak tak nak kenalah buat juga. Saya siapkan skrip, mencari pelakon dan mula mengarah.

“Saya yang tak tahu apa-apa selok-belok dunia seni hanya hentam sahaja. Tak sangka ia mendapat respons yang baik.

“Kemudian persembahan itu dibawa ke merata tempat dan telah menjadi wakil kampung saya untuk pertandingan. Tak disangka-sangka, saya terpilih menjadi pengarah terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak itu, Pak Uda terus mendapat kepercayaan untuk mengarah beberapa drama pentas hinggalah ditawarkan bekerja sebagai pengurus pentas oleh Felda.

Bekerja di bawah Felda, Pak Uda tidak betah di rumah. Dalam sebulan, hanya tiga hari Pak Uda dapat berehat di rumah. Tugasnya membawa rombongan pelakon dan membuat persembahan pentas di semua cawangan Felda di seluruh semenanjung.

“Penat tapi banyak pengalaman yang saya dapat. Membawa 50 orang pelakon bukan satu tugas yang mudah.

“Tapi saya bangga dengan kerja itu sehinggalah mendapat tawaran lebih baik iaitu sebagai wartawan merangkap jurugambar di ANGKASA.

“Tapi, tempoh perkhidmatan saya tak lama. Kerana terlalu seronok dengan aktiviti seni, saya telah dibuang oleh majikan saya iaitu Ungku Abdul Aziz,” katanya yang mula berlakon drama bersiri Opah pada tahun 1984.

Nama Pak Uda dan baju senget sebelah

Tambahnya, cintanya terhadap bidang seni telah menyebabkan dirinya dibuang kerja.

“Masa itu, saya ghairah mencipta nama. Lagi-lagi dah berlakon drama. Jadi, kena buang pun tak menjadi masalah.

“Tidak hanya drama Opah, saya turut berlakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Bermulalah nama saya sebagai pak uda. Saya diberikan watak sebagai Pak Uda seorang bodoh sombong. Apa sahaja yang saya lakukan tidak memikirkan orang lain.

“Saya seronok berlakon dengan barisan pelakon yang sudah saya anggap sebagai keluarga. Sama-sama susah dan sama-sama senang. Sehingga kini, kami masih berhubung,” katanya.

Mengakui baju senget sebelah adalah insiden semasa menukar pakaian, ia sudah dianggap ‘trademark’ buat pelakon veteran ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: