Wednesday, April 20, 2011

Penerbit termuda unit hiburan

Memegang jawatan sebagai penerbit rancangan bukanlah semudah disangka. Namun kerana minat, pemilik nama Nur Ashidah Abd Hamid bersedia menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Jawatan sebagai penerbit rancangan memerlukan kesabaran dan komitmen yang begitu tinggi daripada dirinya.

Memulakan kerjaya sebagai pelatih di unit drama di RTM, Nur Ashidah kemudian diserapkan ke bahagian hiburan. Di sinilah segala- galanya bermula.

“Semasa ditukarkan, saya dah tahu apa yang akan diberikan kepada saya. Masa tu, saya hanya dibekalkan dengan ilmu semasa di universiti sahaja tanpa ada apa-apa pengalaman.

“Saya ditugaskan untuk menerbitkan rancangan Hits 1 yang disiarkan secara langsung. Memang tertekan kerana saya perlu membuktikan kepada mentor saya iaitu Jack Nadarajah bahawa saya boleh menggalas tanggungjawab besar ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Ashidah merupakan penerbit rancangan hiburan termuda di stesen RTM iaitu pada usia 23 tahun. Berbicara mengenai program siaran langsung pertama yang dikendalikan iaitu Hits 1, Nur Ashidah berkata, seribu kerisauan melanda hatinya ketika itu.

“Saya memang suka kendalikan rancangan yang bersiaran langsung ini. Tak pening kepala untuk menyuntin. Cuma saya risau juga jika berlaku perkara-perkara yang tak disangka.

“Saya perlu buktikan kemampuan saya. Akhirnya rancangan itu mendapat pujian dan saya terus diberikan kepercayaan untuk menerbitkan lebih banyak program hiburan di RTM,” katanya.

Tambahnya lagi, apabila mendapat tahu dirinya antara penerbit rancangan termuda, anak kedua daripada empat beradik ini tidak begitu gembira. Padanya itulah tekanan dan bukan tugas mudah untuknya memegang status termuda. Banyak yang perlu diberi dan buktikan.

“Antara tugas sebagai penerbit rancangan adalah menentukan segala-galanya berjalan lancar. Sebelum sesebuah rancangan diterbitkan, saya perlu membentangkan kertas kerja, konsep dan bajet.

“Untuk lebih memantapkan sesebuah rancangan, perlu ada kerjasama daripada semua. Kerana itu, saya selesa untuk meminta idea daripada kakitangan yang lain. Apabila idea dan kertas kerja mendapat persetujuan, saya akan memulakan operasi,” katanya.

SH: Mahu ubah pemikiran penonton

Memegang ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang komunikasi ini juga sedang rancak dengan rancangan terbarunya iaitu Bakat TV dan Malar Segar

“Walaupun masih muda, tapi saya mahu mengubah pandangan orang ramai mengenai rancangan hiburan di RTM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: