Tuesday, April 12, 2011

Neiyl keluar kepompong lama




LAMA rasanya tidak mendengar perkembangan terkini penyanyi Neiyl yang juga merupakan bekas peserta program Mentor musim kedua. Rupa-rupanya, Neiyl, 27, sudah pun bergelar ibu kepada seorang bayi perempuan berusia setahun tujuh bulan yang diberikan nama cukup indah iaitu Damia Dazma Shah.

Sungguh cepat masa berlalu, Neiyl telah mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Dazma Shah Daud, 34, tiga tahun yang lalu.

Sejak itu dia mula terasing dengan dunia hiburan bukannya kerana kecewa atau merajuk dengan sesiapa tetapi rezeki Neiyl untuk menimang cahaya mata membataskan segala perancangan yang telah disusun lebih awal.

“Syukur, sebaik sahaja kahwin rezeki dapat anak mendahului segala-galanya. Rezeki dalam bidang seni masih lagi macam biasa.

“Jadi, saya perlu fokus kepada rumah tangga dan keluarga terlebih dahulu. Kini, anak pun dah semakin membesar dan sudah tiba masanya saya kembali serius dalam nyanyian,” jelasnya.

Namun, di sebalik rancak berbicara, Neiyl sebenarnya menyimpan rasa sedih apabila lagu miliknya kurang mendapat perhatian pendengar.

Lebih terusik jiwanya, setiap kali mendendangkan lagu sendiri ketika dijemput mengadakan persembahan di majlis tertentu, pastinya audiens kurang memberi perhatian kepada penyanyi itu.

Dari situ dia mula menyedari dirinya sememangnya tidak popular dengan lagu sendiri. Sebaliknya, lebih dikenali sebagai penyanyi yang gemar menyampaikan lagu terutama dendangan artis-artis veteran.

“Perkara ini memang sudah lama saya sedar tetapi saya tidak pernah patah semangat untuk kentalkan hati supaya suatu hari nanti lagu saya akan popular.

“Siapa yang tidak sedih sebab saya memang nampak audiens kurang bagi perhatian bila saya nyanyi lagu yang mereka tidak biasa dengar,” akuinya dengan jujur.

Dek kerana kurang fokus daripada penonton, Neiyl pernah juga terlupa lirik lagu sendiri. Fikirannya, ketika itu sudahpun melayang-layang.

“Lupa lirik pun orang tidak kisah sebab mereka bukannya tahu lagu saya tetapi saya yang akan rasa tertekan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, situasi yang dialaminya itu tidak sesekali disalahkan kepada penonton. Neiyl meletakkannya sebagai penguat untuk memajukan diri supaya lagu-lagunya selepas ini dikenali sekali gus menjadi sebutan peminat.

Tidak patut jika dia menuding jari kepada penonton. Berhadapan dengan keadaan sebegitu dihadapi dengan tenang kerana sekurang-kurangnya nama Neiyl masih lagi segar difikiran sebilangan peminatnya.

Dalam pada masa yang sama, undangan persembahan juga tidak pernah putus. Dia memilih untuk bersikap tidak terlalu mendesak dan mengejar populariti, asalkan rezekinya berjalan seperti biasa.

Cuma, sesekali Neiyl termenung sendirian mengenangkan sampai bila dia selesa menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain dalam setiap persembahannya.


NIEYL teruja berpeluang muncul dengan lagu baru ciptaan Amylea AF3.


Sentuhan Amylea

Sebelum ini, Neiyl telah memiliki tiga album single bertajuk Andainya, Kenangan Manis Bulan September dan duet bersama Nurul Huda Wahab atau Nurul iaitu Persada.

Apa yang menyedihkan adalah lagu-lagu tersebut kurang menjadi mungkin disebabkan Neiyl tidak bersungguh-sungguh membuat promosi memandangkan dia ketika itu bergerak sendirian.

Kekesalannya itu dilupakan semata-mata mahu bergerak ke hadapan mencuba nasib. Telah bertemu dengan Amylea tahun lalu, Neiyl mengukir senyuman menyatakan bahawa dia telah mendapat lagu baru daripada artis kelahiran Akademi Fantasia 3 itu.

Lebih memberi makna apabila melodi pop untuk album single terbarunya berjudul Sering turut mendapat sentuhannya bersama Amylea.

“Waktu itu kami ada jemputan nyanyian di majlis yang sama. Saya minat dengan lagu Amylea iaitu Cinderella dan bila dengar dia nyanyi memang ia cukup menarik perhatian saya.

“Melodi untuk lagu Sering ini timbul ketika saya mandikan anak. Sementara, hasil kreativiti Amylea membuatkan lagu ini lebih bagus,” jelasnya yang cukup bertuah kerana suami tercinta bersedia mengeluarkan belanja untuk album tersebut.

Yakin dengan hasil yang telah dirakam selepas Aidilfitri tahun lalu, Neiyl telah melantik Ayurna Studio untuk mempromosikannya.

Kini lagu Sering sudahpun berkumandang di corong stesen radio Muzik FM. Selepas ini mungkin pendengar dapat mendengar lagu tersebut di frekuensi radio-radio lain.

Menampilkan konsep pop, Neiyl ingin mencuba aspek baru memandangkan sebelum ini dia lebih banyak mendendagkan lagu genre balada.

“Kali ini kita buat sedikit kelainan kerana ia sesuai dengan perkembangan muzik masa kini. Anak muda sekarang lebih suka pilih untuk dengar lagu rancak.

“Jadi apa salahnya saya cuba lari sedikit daripada imej asal saya,” terangnya yang turut menolak untuk berimej seksi.

Kesudahan untuk lagu Sering akan dilihat berdasarkan sambutannya terlebih dahulu sama ada mampu menarik pendengar atau sebaliknya.

Jika hasratnya tercapai, barulah Neiyl memilih untuk membuat penggambaran klip video.

“Tidak guna juga kalau buat klip video awal-awal tetapi lagu tidak meletup. Jadi kita selesaikan satu persatu kerana ia melibatkan kos yang banyak,” beritahunya.

Cadangannya lagi, mungkin suatu hari nanti lagu-lagunya akan disatukan di dalam sebuah album dengan mendapat sentuhan berlainan.

Ini kerana Neiyl masih sayang untuk melupakan terus lagu miliknya. Sedangkan jika diberi nafas baru yang lebih matang mungkin lagu itu dapat diterima umum.

“Saya perlu cuba, kalau tidak berani cuba kita tidak akan tahu apa kekurangannya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: